Cecair perisa 'Uncle Maniam' yang perisanya tidak diketahui dikeluarkan kerana tidak puas hati dengan tindakan Menterian Kesihatan merampas cecair elektronik mengandungi nikotin.
PETALING JAYA: Marah dengan tindakan Kementerian Kesihatan merampas cecair elektronik yang mengandungi nikotin, peniaga cecair rokok elektronik dan vape mengeluarkan cecair berperisa ‘uncle maniam’.
Botol cecair elektronik berperisa Uncle Maniam itu disaluti label hitam dengan tertera perkataan ‘uncle maniam flava.. most special produk’ (Perisa Uncle Maniam… produk berperisa khas) dan ‘unknown taste’ (perisa tidak diketahui).
Pada botol cecair vape itu tertera gambar seiras Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam manakala nama ‘Uncle Maniam’ yang digunakan itu dilihat seolah-olah merujuk kepada singktan nama menteri itu.
Perisa ‘uncle maniam’ itu menjadi viral sejak tindakan tegas Kementerian Kesihatan terhadap penjualan cecair elektronik yang mengandungi nikotin.
Kementerian mengeluarkan peraturan baharu untuk mengawal penjualan cecair elektronik mengandungi nikotin yang tertakluk di bawah Akta Racun 1952.
Menerusi peraturan baharu itu, hanya ahli farmasi dan pengamal perubatan berdaftar boleh menjual cecair berperisa mengandungi nikotin dan penjualannya perlu direkodkan.-FMT
|