|
RUMAH yang diduduki dengan kadar sewa A$85 seminggu.
Modal RM9,000 hasil cuma dapat RM1,200
Kuala Lumpur: Pasti ramai yang pernah mendengar tawaran bekerja sebagai pemetik buah di luar negara terutama Australia dan New Zealand dengan gaji yang sangat lumayan melebihi gaji seorang eksekutif.
Siapa yang tidak tergoda dengan angka pendapatan RM200,000 setahun dijanjikan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bercita-cita memulakan perniagaan sendiri tanpa bergantung pinjaman bank.
Bagi bekas kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 32, pengalaman selama dua bulan di Melbourne, Australia, patut dijadikan rujukan bagi mereka yang berhajat meraih pendapatan lumayan dengan kerjaya memetik buah.
Menurutnya, penyebab utama menggerakkan dirinya merantau ke negara itu semestinya pendapatan lumayan dijanjikan dalam iklan di laman sosial.
Dia yang sebelum itu bekerja di sebuah syarikat besar dengan gaji hampir mencecah RM5,000 sebulan pada mulanya meletakkan jawatan selepas ibunya terpaksa memulakan rawatan dialisis dan dia saja yang masih belum berkahwin ketika itu.
“Mula-mula berhenti kerja, saya sangka mendapat sokongan adik-beradik lain kerana saya perlu membayar ansuran kereta serta pinjaman peribadi yang boleh dikatakan agak banyak jumlahnya setiap bulan.
Bagaimanapun, selepas hampir dua bulan menjaga ibu yang baru menyesuaikan diri dengan rawatan dialisis, saya dapati adik-beradik lain mempunyai tanggungan sendiri kerana masing-masing berkeluarga.
Dari situ timbul niat ke Australia memetik buah selepas membaca satu iklan di Facebook (FB) yang menawarkan gaji RM12,000 sebulan.
Bagaimanapun, mengenangkan keadaan ibu yang uzur saya hanya menyimpan niat itu di dalam hati, tanpa saya sedari, ibu saya sebenarnya tahu kesempitan dihadapi ketika itu.
Ibu saya memberikan cadangan supaya pergi ke sana memetik buah selepas mendengar cerita daripada kakitangan kakak saya mengenai suaminya yang dapat melangsaikan segala hutang dalam masa setahun selepas bekerja di sana.
Oleh kerana sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada ibu, saya mengeluarkan semua simpanan serta menjual motosikal kesayangan, malah meminjam daripada adik-beradik dan rakan untuk dijadikan modal.
Saya diperkenalkan dengan seorang ejen oleh rakan yang sudah ke sana, yang mengenalkan diri sebagai Mie dan dia menawarkan harga promosi RM1,500 kononnya sebagai kos menguruskan penginapan serta pengangkutan minggu pertama saya apabila tiba di sana nanti.
Memikirkan saya bergerak secara solo, saya mengambil keputusan menggunakan khidmat ejen itu dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya.
Jumlah keseluruhan dibelanjakan untuk ke sana, termasuk tiket kapal terbang dan upah ejen, hampir mencecah RM9,000 dan saya terbang ke Melbourne pertengahan Januari 2014.
Sebaik tiba di sana, ejen mengarahkan saya ke sebuah pekan kecil dikenali sebagai Robinvale dalam daerah Victoria berbekalkan satu nombor telefon yang dia sendiri tidak tahu siapa, tetapi mendakwa ia kontraktor yang akan memberikan saya kerja.
Selepas itu, saya tidak dapat menghubungi ejen itu dan di situlah bermulanya episod penipuan demi penipuan oleh beberapa individu yang rata-rata mendakwa sudah mendapat taraf penduduk tetap (PR) Australia.
Minggu pertama saya di sana, saya memetik anggur dan sepatutnya menerima bayaran A$450, namun, kontraktor hanya membayar A$150 atas alasan saya berhutang dengannya serta jumlah kotak anggur yang saya petik kurang daripada yang saya rekodkan.
Tidak berpuas hati dengan kontraktor terbabit, saya dan beberapa rakan yang ditipu berniat melarikan diri keesokannya untuk ke ladang lain, namun niat kami dihidu dan kami dihalau malam itu juga.
Selepas itu, kami berpindah ke sebuah lagi pekan dalam daerah Victoria iaitu Echuca untuk memetik tomato dan di sini, keadaan lebih baik berbanding sebelumnya kerana kami semua dapat berhubung terus dengan pemilik ladang.
Bagaimanapun, kontraktor menguruskan saya ketika itu sering bertengkar dengan pemilik ladang kerana kekurangan kerja dan itu mengakibatkan pendapatan kami terima tidak seperti yang diharapkan.
Memikirkan hutang semakin menimbun di tanah air, saya kuatkan semangat, namun semakin lama saya semakin rasa tidak berbaloi terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk bayaran yang sedikit.
Saya akhirnya mengambil keputusan menceritakan apa yang terjadi kepada ibu dan akhirnya ibu menyuruh saya pulang.
Berada di negara orang untuk bekerja tanpa permit sah membuat saya sentiasa berada dalam ketakutan, terutama apabila terserempak pihak berkuasa.
Cerita manis di FB dan juga blog menyatakan seminggu boleh meraih pendapatan A$1200 bukanlah tidak boleh dicapai, namun ia memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun sebelum pekerja diberikan kepercayaan untuk dibayar dengan jumlah itu.
Namun, sanggupkah anda bekerja tanpa sebarang dokumen yang sah serta dihantar pulang ke tanah air tanpa hasil sekiranya ditangkap pihak berkuasa?
Saya ke sana bermodalkan hampir RM9,000, dan pulang ke tanah air dengan hasil sebanyak RM1,200. Saya kini menanggung hutang keliling pinggang, selain sukar mendapatkan kerja.
SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/127034#sthash.37tZjSwN.dpuf
|
|