|
Post Last Edit by supbunjut at 22-6-2010 12:42
KRU terbitkan filem seram
Oleh Zaidi Mohamad
2010/06/22DALAM kesibukan menyiapkan kerja-kerja terakhir untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa untuk tayangan awal 2011, KRU Studios sempat untuk memulakan kerja penggambaran bagi karya terbaru mereka berjudul Karak.
Urusan produksi filem itu diserahkan kepada Yusry Abdul Halim yang masih bertindak sebagai pengarah. Filem Karak yang bakal memulakan penggambaran bulan depan bercorak seram.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norman Abdul Halim berkata, hampir dengan kebanyakan filem terbitannya, Karak juga dijangka menggunakan teknologi 3 Dimensi (3D).
“Filem Karak adalah satu daripada dua filem yang sedang dalam perancangan kami. Satu lagi filem itu, biarlah saya rahsiakan terlebih dahulu.
“Tapi untuk filem Karak yang dijangka memulakan penggambaran bulan depan, kami juga sedang membuat kajian untuk menghasilkannya dalam bentuk 3D seperti yang dilakukan oleh beberapa filem dari Barat.
“Kalau semuanya jadi seperti yang dirancang, Karak akan menjadi filem dan produksi pertama memperkenalkan konsep 3D di negara kita. Ini secara tidak langsung kita boleh terus maju setapak lagi dengan penghasilan konsep sebegini di dalam industri filem tempatan,” katanya yang ditemui selepas sidang media pelancaran drama bersiri Arjuna di Istana Budaya, baru-baru ini.
Majlis ini turut dihadiri Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu bakar dan barisan pelakon yang terbabit dalam drama Arjuna.
Mengenai ura-ura untuk mengangkat drama bersiri Hotel Mania dalam versi filem, Norman menjelaskan KRU Studio mengakui perancangan memang ada tetapi mereka tidak mahu menghasilkannya secara terburu-buru.
“KRU Studios mahu menunggu sambutan daripada penonton terlebih dahulu terhadap drama muzikal ini. Segala-galanya masih dalam peringkat perbincangan.
“Kalau menjadi kenyataan, kita mungkin menggugurkan perkataan ‘hotel’. Mungkin kita menggunakan ‘mania’ saja. kami mahu menjadikan ‘Mania’ sebagai francais dan konsep muzikal. Ia akan menjadi satu jenama yang dipopularkan kami,” katanya.
Terdahulu ditanya mengenai drama bersiri Arjuna yang disiarkan di TV3 sejak 31 Mei lalu, Norman menjelaskan rancangan untuk menerbitkannya memang sudah lama dan idea itu tercetus sebelum KRU Studios menerbitkan drama bercorak fiksyen Bio-Nik.
“Selepas kejayaan drama Bio-Nik, kita rombak semula drama Arjuna kerana mahu mahu menambahkan kualiti untuk produksi drama. Kita mahu memberi impak tersendiri terhadap penerbitan drama seperti mana yang sering diraih penghasilan filem daripada syarikat kami.
“Bagaimanapun, seghairah mana pun, kami tetap tidak akan mengabaikan aspek penceritaan. Drama Arjuna ini masih menyelitkan aksi, nilai kekeluargaan, semangat setia kawan dan cinta. Drama ini bukan sejarah tetapi lebih kepada epik fantasi. Teknik janaan komputer (CGI) turut digunakan.
“Kita berfantasi dengan adanya kuasa ghaib dan magis. Drama ini membolehkan kita bebas berkarya. Malah ada watak dalam drama ini yang boleh berkomunikasi secara telepati. Apa saja kelainan yang dihasilkan, ia tak akan mengganggu gugat perjalanan cerita di samping membantu menaikkan rating,” kata Norman sambil memberitahu tugasan menghasilkan drama ini serentak diterima dengan drama Hotel Mania.
Drama ini dilakonkan Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, Remy Ishak, selain Nora Danish, Kuswadinata, Aman Graseka, Ana Dahlia, Riz Ainuddin, Erry Putra dan Fikree Bakar.
“Pemilihan Remy seiring dengan populariti yang dimilikinya. Tiada lain, dia memang Hero Malaya yang sedang hangat sekarang ini. Malah dia turut menyatakan kesediaan untuk melakukan aksi stunt sendiri, menghitamkan kulit badan.
“Saya yakin Remy berpotensi untuk pergi lebih jauh. Drama ini juga bukti bahawa dia bukan sekadar pelakon jiwang atau mat romantik, sebaliknya watak Arjuna yang dipegangnya mampu memberi dimensi baru terhadap perjalanan kerjaya seninya,” jelas Norman lagi. ![](http://ads.admaxasia.com/servlet/cookie?action=set&name=setsurvey&value=1&maxage=2592000) |
|