|
Lena, Azri, Fina Akui Hazama Layak Bergelar Juara AF9
![](http://photo.murai.com.my/6132011_lenafinazriama-a.jpg)
Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto oleh Mazlan Photography
PUTRAJAYA, 13 JUN 2011: Kemenangan Hazama sebagai juara Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) nyata telah menepati ramalan ramai pihak. Kesemua finalis AF9 yang lain iaitu Lena, Azri dan Fina juga turut akur dengan keputusan pada malam tersebut.
Malah, Lena, Azri dan Fina juga turut mengakui Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 26, sememangnya layak menyandang gelaran juara AF9, sekaligus bergelar juara terakhir program realiti tersebut.
Lena atau nama sebenarnya, Lenaber Binti Haidir, 20, yang muncul sebagai Naib juara AF9 memberitahu. kemenangan Hazama merupakan rezeki yang memang sudah ditentukan olehNya.
"Saya tak terkejut dengan gelaran juara yang dinobatkan kepada Hazama, walaupun dia dalah antara peserta yang tidak perlu melalui proses audition untuk masuk ke AF9. Ini kerana saya percaya kepada rezeki masing-masing yang ditentukan olehNya.
"Apa-apa pun saya cukup bersyukur dengan kedudukan saya kini. Bukan senang untuk mencapai apa yang saya kecapi sekarang. Saya harap saya akan dapat mengembangkan bakat saya lagi dalam bidang nyanyian selepas ini," kata Lena.
Pada malam tersebut, Lena menerima sebuah trofi sumbangan Astro, wang tunai RM50,000, hamper serta wang tunai bernilai RM2000 tajaan Power Root dan sebuah kamera bernilai RM1499 sumbangan Sony.
Lena menyampaikan lagu Dunia nyanyian asal Bunkface dan lagunya sendiri Sisa Kisah Kita menyaksikan kemunculan istimewa Bintang Paling Popular 2010, Shaheizy Sam.
Kemenangan Hazama juga turut diakui layak oleh pemenang tempat ketiga AF9 iaitu Fina, atau Nurshafinaz Binti Jebat, 18,iaitu peserta yang diserap masuk bersama Hazama dalam AF9.
"Bagi saya dia memang layak bergelar juara. Dia seorang yang konsisten dalam persembahan. Lagipun saya lihat Hazama mempunyai semangat dan kesungguhan yang sangat kuat. Saya tahu dia telah memberikan yang terbaik.
"Biarpun saya tidak dapat bergelar juara, namun saya sudah cukup bersyukur dengan kejayaan yang kecapi malam ini. Bukan mudah kerana saya bukan sahaja peserta yang diserap selepas Operasi Gugur, malah saya telah diberi peluang lagi untuk ke final selepas menerima imuniti daripada pihak juri," kata Fina yang berhasrat untuk mengetengahkan kumpulan adik-beradiknya iaitu Sassu.
Fina menerima sebuah trofi sumbangan Astro, wang tunai RM20,000, hamper serta wang tunai bernilai RM1000 tajaan Power Root dan sebuah kamera bernilai RM1499 sumbangan Sony.
Fina mendendangkan lagu Satu Harapan nyanyian asal Jaclyn Victor di mana kakak dan adiknya tampil membuat persembahan bersama selain lagu singlenya sendiri, Menangis Lagi.
Dalam pada itu, Azri yang juga memenangi tempat keempat AF9 itu turut akui dan tidak menafikan Hazama memang peserta yang layak untuk dinobatkan sebagai juara selepas kehadirannya di AF9 dilihat memberi impak yang sangat kuat.
"Pada saat mula-mula Hazama masuk pun saya dan peserta AF9 lain sudah merasa sedikit tergugat. Apatah lagi kita semua sudah tahu yang dia memang sudah timba sedikit pengalaman bergelar penyanyi.
"Lagipun kehadiran Hazama pada awalnya juga telah membangkitkan kita seperti terjaga daripada 'alarm clok' yang sangat kuat. Jadi, saya sendiri telah jangka kejayaannya. Apa-apa pun saya tetap bersyukur selepas berpeluang beraksi di pentas final," kata Azri
Azri membawa pulang sebuah trofi sumbangan Astro, wang tunai RM5000 serta sebuah kamera bernilai RM1499 tajaan Sony. Lagu untuk Azri adalah Ku Tak Bisa nyanyian asal Slank dan Niskala yang merupakan singlenya sendiri.
Hazama mula menceburi AF sejak musim ke-4 namun hanya sempat hadir sebagai calon prelude. Namun, kejutan terbesar AF9 iaitu pengumuman Operasi Gugur di mana pelajar yang sedia ada akan digugurkan, dan dua calon baru dibawa masuk merupakan titik mula peluang kedua Hazama untuk teruws menyerlahkan bakatnya dalam program realiti paling popular di negara ini. |
|