CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Ipo

KOLEKSI CERPEN - (6) Misteri Thriller- TAMAT) -page #7

[Copy link]
Post time 5-7-2015 08:53 AM | Show all posts
Ipo replied at 5-7-2015 01:26 AM
TIBA di klinikRazif, sudah ramai yang mengerumun tempat itu  di luar klinik. Pihak polis juga sudah  ...

darwis buat liputan.dua2 minat kejuteraan.


Suspek-Darwis.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 5-7-2015 11:45 AM From the mobile phone | Show all posts
Apa yg danny ngan geng die dah buat smp ada yg sakit hati neh?? Nakal tak hengat ke zaman skulah dulu? Ipo ko jangan ngada2 nak buat citer unsur2 pelangi kat sini eh
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-7-2015 11:46 AM | Show all posts
Esmiria replied at 5-7-2015 08:53 AM
darwis buat liputan.dua2 minat kejuteraan.

teka jangan tak teka
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-7-2015 11:46 AM | Show all posts
Edited by Ipo at 5-7-2015 11:56 AM
cmf_conan replied at 5-7-2015 11:45 AM
Apa yg danny ngan geng die dah buat smp ada yg sakit hati neh?? Nakal tak hengat ke zaman skulah dul ...

unsur pelangi??
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-7-2015 11:56 AM | Show all posts
cmf_conan replied at 5-7-2015 11:45 AM
Apa yg danny ngan geng die dah buat smp ada yg sakit hati neh?? Nakal tak hengat ke zaman skulah dul ...

oh baru ku tahu apa itu unsur pelangi..dot dot dot kan?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-7-2015 12:04 PM | Show all posts
Edited by Ipo at 25-7-2015 12:40 PM

PAGI lagi Danny sudah bangun dan bersiap untuk ke tempat kerja. Dia tidak perlu menyesakkan otaknya dengan kejadian malam tadi. Selepas bedah siasat ke atas mayat Razif nanti, dia sudah berkira untuk menziarahi keluarga Razif yang sudah tentu  terkejut menerima berita kematian Razif yang sungguh tidak masuk akal. Razif dikatakan membunuh diri kerana masalah tekanan kerja. Setahunya, Razif bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya malah tidak lama lagi Razif akan bertunang.

“Mama, Danny pergi dulu.” Danny mula mencium tangan ibunya.

“Tak sarapan dulu ke?”

“Tak, abang mana? Dia balik tak semalam?” Danny melihat sekitar ruang tamu.

“Entah! Dia kan suka tinggal di rumah pangsa dia tu!” Datin Suhaila mula duduk menikmati sarapan yang dimasak oleh MakJah.

Danny hanya senyum nipis. Dia faham dengan memek muka mama yang tidak suka kembarnya tinggal berasingan. Papa pula sibuk menyuruh Darwis bekerja di syarikat mereka di Ampang.  Apa yang dia tahu, sejak Darwis terlibat dengan penerbitan majalah di universiti dulu lagi, Darwis seolah suka melibatkan diri dalam dunia penyiasatan sehingga sanggup menjadi wartawan sambilan di bahagian jenayah disebuah syarikat media.  Malam tadi, Darwis mendapat arahan untuk mengambil gambar di tempat kejadian dan kesemua gambar itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk simpanan. Bermakna Darwis secara tak langsung sudah menjadi sebahagian warga polis dalam setiap kes kematian yang berlaku di negara ini.

Danny mula menaiki kereta BMW hitamnya menuju ke Ampang. Dia perlu berhati-hati sekarang ini. Segala apayang terjadi tidak boleh dipandang ringan. Dan dia juga tidak berani bercerita hal itu pada Darwis. Dia sendiri tidak tahu siapa yang menghantar mesej padanya dan perkara itu masih samar-samar. Kalau sudah rasa terpaksa,baharulah dia akan cerita semua itu pada Darwis walaupun terpaksa membuka rahsia yang disimpan kemas selama ini. Rahsia itu hanya dia dan kawan-kawannya sahaja yang tahu.

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 5-7-2015 12:27 PM | Show all posts
Edited by Ipo at 5-7-2015 12:31 PM

Sepanjang berada di pejabat hari itu, fikirannya tidak tenang. Kejadian yang menimpa Razif itulah yang membuatkannya merasa tidak senang duduk. Habis kerja nanti, dia akan ke rumah orang tua Razif.  Tadi dia baru saja menghubungi Jeff. Jeff setuju untuk bersama melawat jenazah buat kali terakhir. Zamrul dan Kyle pula akan menyusul kemudian.


SUASANA di rumah keluarga arwah Razif begitu hiba dan muram. Di ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu dipenuhi dengan sanak saudara yang datang dari dekat dan jauh. Jenazah Razif sudah selamat dikebumikan sebaik selesai dibedah siasat di hospital berdekatan.Suasana hiba masih menyelubungi keluarga arwah.

Danny memerhati ayah dan ibu Razif yang meratapi pemergian anak kesayangan. Razif adalah anak harapan keluarga mereka dan Razif juga adalah anak pertama yang berjaya bergelar doktor dan menjadi kebanggaan keluarga.

“Makcik, saya dan kawan saya juga rasa kehilangan Razif. Kami rapat dulu dari universiti sampailah sekarang. Tak sangka dia pergi dengan cara macam ni. Cuma...kami tak faham dengan apa yang telah berlaku. Selama ini dia periang dan ceria orangnya.” Danny menghampiri ibu Razif yang sudah bengkak matanya menangis seharian agaknya.

“Makcik pun tak nak percaya semua ni.Razif budak yang baik. Dia tak ada musuh. Minggu depan dia akan bertunang.”

Danny terdiam. Ibu Razif masih menangis teresak-esak. Dia jeling pula pada Jeff, Zamrul dan Kyle. Rasa sangat bersalah pada keluarga Razif yang selama ini tidak tahu siapa Razif sebenarnya.Rahsia yang disimpan mereka berlima sehingga ke hari ini masih kukuh dan tidak akan dibiarkan terbongkar.

“Kyle..anak pakcik ada musuh ke?” Dato' Sulaiman pula bertanya pada Kyle yang mengambil jurusan yang sama dengan Razif semasa di universiti. Sudah tentu ayah Razif kenal dengan Kyle, seorang pemuda kacak keturunan Serani.

Err..setahu saya tak ada pakcik. Kami tak ada musuh.” Tergagap-gagap Kyle menjawab pertanyaan ayah Razif. Sempat dia jeling kawan-kawannya yang lain.Masing-masing beri isyarat supaya zip mulut!

“Oh..pakcik tak boleh terima dia bunuh diri. Pakcik rasa ada sesuatu yang tak kena. Menurut siasatan polis, Razif sendiri yang menikam perutnya dengan gunting. Anak pakcik bukan macam tu. Dia masih waras lagi nak buat perkara gila macam tu!”

Danny pandang ayah Razif yang sudah meraup muka. Jelas ada titis jernih mengalir ke pipi tua itu. Siapa yang tidak sedih bila anak yang dijaga dan dibanggakan selama ini pergi dengan cara yang sungguh tragis.

“Sudahlah pakcik. Terimalah takdir Allah dengan hati terbuka.” Danny cuba tenangkan ayah Razif. Tubuh tua itu dipeluk seketika.

Zamrul, Kyle dan Jeff turut memeluk ayah Razif yang sudah sugul. Mereka mula minta diri.


BALIK dari rumah keluarga Razif tadi, Danny masih berfikir. Dia berehat di sofa di ruang tamu rumahnya.Terasa semua itu berlaku terlalu cepat. Baharu semalam mereka bersuka ria di kampus. Terasa baharu semalam juga mereka bergembira dengan kejayaan masing-masing menamatkan pengajian di universiti. Razif dan Kyle bergelar doktor, Jeff bergelar akauntan. Dia dan Zamrul pula bergelar jurutera. Semua itu masih segar dan indah sehingga malam kejadian meragut nyawa Razif dalam keadaan tragis dan ngeri.

Teringat kata-kata nasihat kepada ayah Razif tadi. Takdir Allah? Begitu senang dia mengungkap kata-kata itu sedangkan selama ini pun dia tidak pernah kenal tikar sembahyang. Tidak hiraukan halal haram! Ya,jauh terpesong dari kehidupan Islam. Saat ini, satu persatu rahsia yang disimpan kemas selama ini mula terbayang di ruang mata. Sikap suka berfoya dan mempermainkan gadis memang cukup sinonim dengan mereka berlima sewaktu di kampus dulu malah sehingga kini masih ada sikap buruk itu. Gadis polos yang tidak tahu apa-apa menjadi mangsa pertaruhan mereka dan kesudahan yang begitu tragis bagi gadis itu. Ya..segalanya bermula di  di sebuah kampung pendalaman. Apakah kerana itu maka Razif membunuh diri? Sungguh tidak masuk akal!

Danny meraup muka. Dia mula pejam mata.Sekarang sudah jelas apa yang terjadi pada Razif adalah balasan Allah.

“Ya Allah...aku bersalah. Aku berdosa..”Danny bingkas bangun. Dia duduk di birai katil sambil menundukkan wajah.Mengingati semua itu lebih membuatkan hatinya rasa semakin bersalah. Baharu sekarang perasaan itu menerjah di hatinya. Terasa menyesal yang amat! Ugutan dari mesej itu ternyata sudah memerangkap dirinya dan rakan yang lain. Dia harus tahu siapa yang menghantar mesej itu. Nampaknya orang itu tahu segalanya!


Reply

Use magic Report

Post time 5-7-2015 12:41 PM | Show all posts

unsur pelangi tu unsur lgbtla. disebut pelangi sbb flag lgbt tu cm warna rainbow. perkataan pelangis dah meluas kt fb including page yg bahan budk batak..tu..muahaha.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 5-7-2015 12:46 PM | Show all posts
Ipo replied at 5-7-2015 12:27 PM
Sepanjang berada di pejabat hari itu, fikirannya tidak tenang. Kejadian yang menimpa Razif itulah ya ...

ipo..cter ni ipo dh taip sampai hbiskn? sesaje siar part demi part kn?
Reply

Use magic Report

Post time 5-7-2015 12:46 PM | Show all posts
Ipo replied at 5-7-2015 12:27 PM
Sepanjang berada di pejabat hari itu, fikirannya tidak tenang. Kejadian yang menimpa Razif itulah ya ...

tunang razif kot..hmm..semua masih blur..
Reply

Use magic Report

Post time 6-7-2015 10:06 AM | Show all posts
mcm cerita mawar hitam juga ye?
cepat sambung...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-7-2015 10:27 AM | Show all posts
Esmiria replied at 5-7-2015 12:41 PM
unsur pelangi tu unsur lgbtla. disebut pelangi sbb flag lgbt tu cm warna rainbow. perkataan pelang ...

oh..gitu ka?

maklumlah ipo ni masih duk dalam gua kekdahnya...
now I know...nampaknya pelangi petang..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-7-2015 10:28 AM | Show all posts
Esmiria replied at 5-7-2015 12:46 PM
ipo..cter ni ipo dh taip sampai hbiskn? sesaje siar part demi part kn?

ya dah habis..tapi ada perubahan sebb asal tajuknya Rahsia Ichah...cerpen ni dah dibeli..
sebab tu kena ubah..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-7-2015 10:29 AM | Show all posts
prettyuglybabe replied at 6-7-2015 10:06 AM
mcm cerita mawar hitam juga ye?
cepat sambung...

ada juga persamaan..

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-7-2015 11:26 AM | Show all posts
Edited by Ipo at 6-7-2015 11:33 AM

#2

SEMINGGU berlalu. Selama seminggu itulah juga kes Razif disiasat setelah didesak oleh keluarga Razif. Mereka tidak percaya yang Razif membunuh diri. Seorang demi seorang saksi dan juga kenalan Razif dipanggil untuk soalsiasat termasuk Danny, Jeff, Zamrul dan Kyle. Namun semuanya tiada yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan. Akhirnya pihak polis membuat kesimpulan, kematian Razif dikaitkan dengan kes bunuh diri. Razif disahkan mengalami tekanan kerja sehingga membunuh diri dengan gunting bedah yang berada di dalam bilik rawatan di kliniknya ketika itu.

Danny letak suratkhabar di atas meja. Dia melepaskan keluhan panjang. Berita kematian Razif yang dibaca tadi cukup membuatnya merasa takut. Pihak polis juga sudah mengingatkan mereka supaya tidak meninggalkan negara sepanjang kes itu disiasat. Nampaknya mereka juga turut menjadi suspek polis dalam kes kematian Razif. Bingung memikirkan kematian Razif yang langsung tidak masuk akal. Dia kembali menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Seharian kerjanya di pejabat tidak menjadi. Otaknya sudah kusut. Langsung tidak boleh fikir benda lain. Benarlah..sampai bila dia harus begitu. Nasihat abang dan orang tua tidak pernah dipedulikan. Sekarang, setelah kematian Razif, segalanya sudah terasa kusut.

Jam lima petang, Danny terus saja keluar dari pejabat. Dia perlu tenangkan fikiran buat masa ini. Apatahlagi sekarang ini, dia dan rakan yang lain  menjadi perhatian pihak polis walaupun kematian Razif sudah dikategorikan sebagai bunuh diri. Itu tidak bermakna yang dia boleh bersenang lenang dengan keputusan itu. Bila-bila masa pihak polis boleh buka semula kes itu jika ada bukti lain.

Kereta dipandu ke arah sebuah tasik di tengah ibu kota. Taman tasik titiwangsa itu disusuri sambil melayan fikirannya sendiri. Segalanya masih kusut. Danny duduk di tebing tasik, melunjur kaki menghadap ke arah air tasik yang beralun lembut ditiup angin petang. Dia meraup muka. Sekali lagi benaknya mengenang semula pertemuan pertama dengan gadis polos itu di sebuah kampung. Ya, kampung di mana terdapat sebatang sungai yang cantik dan nyaman. Di situlah segalanya bermula. Dia bersama rakan yang lain bercuti ke situ bila tiba musim cuti semester. Pulang ke Malaysia bersama dan bersama juga merancang bercuti.

"Danny?"

Danny berpaling. "Abang?

“Buat apa kat sini?" Darwis duduk di sebelah Danny. Kamera yang dibawa bersamanya diletakkan di atas riba.

Danny melemparkan senyuman tawar. "Saja..nak ambil angin. Abang?"

"Abang jumpa kawan tadi kat sini. Nampak kau tadi." Jawab Darwis yang turut melepaskan matanya ke tengah tasik. “Abang nak tanya sikit. Kenapa takberitahu abang yang kau kenal Dr. Razif tu?”

“Maksud abang?” Danny pura-pura tidak faham.

“Siapa Dr. Razif tu pada kau sebenarnya?”

Danny mula berubah riak. Jemarinya dimain-mainkan seketika.

“Jawab! Siapa Dr. Razif tu? Kenapa polis panggil kau untuk soalsiasat?” Suara Darwis semakin tinggi. Dia terserempak dengan Danny yang berada di balai polis. Ketika itu dia ke balai untuk menyerahkan laporan dan gambar yang diambil kepada polis bertugas.

“Dia..dia kawan satu universiti dulu dengan saya...” Danny mula berterus terang. Takut bila ditengking abang kembarnya.

“Jadi selama ni kau memang kenal dengan Dr. Razif tu? Sebab tulah kau ada kat klinik Dr. Razif masa malam kejadian tu? ”Darwis inginkan kepastian dari Danny.

Danny mengangguk. Tidak berani dia menatap muka Darwis yang sudah menyinga.

Darwis pula sudah bingung. Apa yang disiasat selama ini ternyata benar. Kematian Dr. Razif ada kaitan dengan Danny dan kawan-kawannya yang lain.

“Tiga orang lagi tu, kenal juga dengan Dr. Razif?”

Danny angguk lagi.

Darwis menekup muka. Kali ini dia yakin,Danny dan kawan-kawan Danny akan menjadi mangsa seterusnya. Teringat nota yang dilihat pada mayat Razif. Jelas dari nota itu, ada nada dendam. Nota yang sama juga pernah diterima dulu dan tidak mustahil ianya dari orang yang sama yang ingin membalas dendam.

“Kau tahu tak, semua tu adalah kerana nak balas dendam!” Darwis mengetap bibir.

Pantas Danny mendongak dan berpaling ke arah Darwis. Mukanya sudah berkerut melihat riak abang kembarnya yang sudah berubah rona. Mana abang aku tahu? Atau..dia sudah tahu rahsia tu???
“Kenapa diam?”

Err...apa maksud abang?” Danny menelan liur. Dalam hatinya mengharapkan abangnya tidak tahu mengenai rahsia yang disimpan kukuh selama ini.

“Abang pergi jumpa keluarga Dr. Razif semalam. Abang kena buat siasatan untuk bahan berita sebab abang rasa kematian Razif tu sangat pelik. Mustahil seorang yang berpelajaran tinggi macam Dr.Razif tu ingin merobek perutnya sendiri dengan gunting! Jadi abang syak mesti ada pembunuh yang masih bersembunyi di luar sana. Atau mungkin juga Razif dirasuk atau dipukau. Tak mustahil itu semua. Dan apa yang abang sangka itu memang benar.” Darwis pandang Danny yang masih tidak lepas dari memandangnya dari tadi.

“Apa yang benar?”

“Keluarga Dr. Razif tidak puas hati dengan siasatan kematian anaknya. Mereka mula mencari alternatif lain. Mereka berjumpa seorang ustaz yang juga pengamal perubatan tradisional. Menurut ustaz tu, memang benar Razif dirasuk ketika dia menikam perutnya sendiri. Ustaz tu pergi sendiri ke klinik Razif. Dari situ dia dapat merasa, ada satu bayangan yang datang menghampiri Razif dan menyuruh Razif membunuh diri. Razif cuba menghalang tangannya sendiri dari merodok perutnya tapi kuasa bayangan tu lebih kuat menolak tangan Razif ke arah perut.” Darwis mula bercerita apa yang diberitahu oleh ayah Razif.

Danny mula ketawa. Gila! Memang betul-betul tak masuk akal!

“Kenapa ketawa?”

“Abang percaya semua tu? Semua tu bull shit!! Mana ada benda mistik zaman moden sekarang ni bang! I don’t believeit! It’s so ridiculous!!” Danny ketawa lagi.

Wait! Abang belum habis lagi! Bayangan yang datang ke arah Razif tu adalah bayangan seorang perempuan yang ingin membalas dendam!” Darwis menyambung semula kata-katanya.

Danny terdiam. Perempuan nak balas dendam?? Dia menelan liur berkali-kali. Tak mungkin perempuan tu!

“Kenapa diam?” Darwis mula merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan Danny dan kawan-kawannya. Ada sesuatu yang disorokkan selama ini.

Err..tak..tak ada apa. Cuma pelik, takkan semudah itu ayah Razif dan abang boleh percaya benda karut macam tu?” Danny sengaja berkata macam itu. Sebenarnya dia juga mula merasa sesuatu yang tak kena pada kematian Razif. Tiada bukti yang Razif dibunuh!

“Terpulang! Dalam quran pun ada menyebut jin dan syaitan ni! Sekarang ni itulah cara yang paling halus yang digunakan untuk membalas dendam atau mengkhianati orang. Guna bomoh dan ilmu sihir. Kau kena ingat, ilmu sihir sudah wujud di zaman nabi Musa a.s lagi!” Darwis geleng.Memang dia tahu sejak kecil Danny tidak suka dan tidak mudah percaya pada benda-benda mistik seperti itu.

“Ni..bila kau nak berubah? Abang tengok kau ni dah semakin liat nak solat. Jangan-jangan kau pun masih telan air setan tu!" Darwis sudah menyinga.

Hish!Mana ada!” Danny jeling Darwis. Menyibuk saja dia ni! Memang selama ini dia cuai dalam hal agama. Masa di universiti dulu pun, minuman setan itu sudah jadi macam air sejuk. Apalagi perkara haram yanglain.

“Kau jangan Danny! Mama dan papa dahbagi kita ilmu agama. Kau tak ingat ke kita pernah belajar di sekolah pondokdulu?” Darwis semakin menyinga bila melihat riak Danny yang hanya selamba badak sahaja tadi.

Danny hanya senyum. Entahlah hatinya mula menjadi keras sejak mula-mula belajar meneguk minuman setan itu bersama kawan-kawannya yang lain. Itupun disebabkan pertaruhan gila mereka berlima. Kyle yang mulakan dulu. Sejak itu, dia seperti seronok menogok air setan itu. Baginya hidup hanya untuk berseronok.

"Sudahlah bang. Kalau abang datang ni nak berceramah agama macam ni, baik abang balik je la.” Danny bingkas bangun.

Darwis hanya menjeling tajam. Perangai Danny sudah jauh berubah. Dulu semasa di sekolah menengah, Danny rajin solat dan mengaji quran. Sempat mereka berdua belajar di sekolah pondok di sebuah negeridi pantai timur semasa menunggu keputusan SPM. Selepas masing-masing  masuk universiti, dia sudah tidak tahu sangat kehidupan Danny di UK selepas itu kerana universiti mereka yang berlainan. Bila pulang bercuti sekali sekala sahaja,  dia dan Danny berada di rumah. Waktu itu dia memang nampak Danny menunaikan solat.

“Ingat! Kalau abang dapat tahu kau ada rahsiakan apa-apa dari abang, siap kau!” Darwis mula beri amaran sebelum dia beredar dari situ.

Danny ketawa sinis. Abangnya sudah beredar dari tasik itu. Sebiji anak batu kecil dicapai dari tempat duduknya dan dilontar kuat ke tengah tasik. Damn it! Siapa perempuan tu??”

Dia segera menghubungi Jeff,Kyle dan Zamrul. Mereka perlu berjumpa. Apa yang diberitahu oleh abangnya tadi mungkin juga benar. Semua itu berkemungkinan. Tadi sengaja dia berpura-pura tidak tahu dan percaya apayang disampaikan oleh Darwis. Dia tidak mahu Darwis mengesyaki apa-apa. Memang sebelum ini dia sudah ada rasa seperti itu. Tentu ada sesuatu yang merasuk Razif sehingga Razif begitu mudah merodok perutnya sendiri!

Reply

Use magic Report

Post time 6-7-2015 11:59 AM | Show all posts
Ipo replied at 6-7-2015 11:26 AM
#2

SEMINGGU berlalu. Selama seminggu itulah juga kes Razif disiasat setelah didesak oleh keluarga ...

sikitnya..hmnm
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 6-7-2015 12:27 PM | Show all posts
Edited by Ipo at 8-7-2015 12:08 PM

DANNY melangut menunggu Jeff dan kawannya yang lain sampai di tasik itu. Tadi dia sudah berjanji akan berjumpa di pondok di tepi tasik Titiwangsa. Dia jeling jarum jam di pergelangan tangan. Hampir enam petang.

“Danny!”

Danny menoleh. Dia tersenyum. Nampaknya Jeff, Zamrul dan Kyle sudah berpakat. Serentak mereka datang. Naik satu kereta agaknya. Dia turut melambai.

“Apa hal kau nak jumpa ni? Kat tasik macam ni..sepatutnya jumpa awek!” Gurau Zamrul. Tersengih sambil melabuhkan punggung di atas pangkin pondok.

“Kau ni tak habis-habis pasal awek. Kau dah nak nikah ke?” Jeff pula mencelah.

“Aku nak enjoy dulu bro. Bila dah nikah nanti, mana boleh dah ke hulu kehilir macam ni.” Zamrul sengih sumbing.

Danny masih diam dari tadi. Dia hanya mendengar celoteh kawan-kawannya yang lain bercerita hal perempuan. Memang sejak dulu hal perempuan tak akan terlepas dari topik perbualan  mereka. Memang kasanova semuanya! Tak perlu tunggu kahwin untuk merasa semua tu! Bila ingat semua itu, sudah jauh sebenarnya kehidupan mereka dari landasan agama. Islam hanya pada kad pengenalan. Realitinya?

Weh! Kau diam dari tadi ni apa hal? Kau yang nak jumpa kita orang kan?” Kyle pula mencelah.

Zamrul dan Jeff turut angguk mengiakan kata-kata Kyle tadi.

“Aku ada cerita terbaru pasal kematian Razif.” Danny pandang kawannya seorang demi seorang.

“Berita terbaru?” Zamrul berkerut kening.

Danny mula bercerita apa yang telah diceritakan oleh Darwis semasa di pejabat tadi. Dia jeling Zamrul yang sudah ketawa terbahak-bahak. Kyle dan Jeff pula hanya sengih.

“Kau ni otak je bijak tapi bodoh sebenarnya! Kau percaya ke semua tu?”Zamrul masih ketawakan Danny.

“Aku serius ni bro. Abang aku yang beritahu semua tu. Ayah Razif yang tanya sendiri dengan ustaz tu. Yang paling aku rasa tak sedap hati, bila  ustaz tu kata, bayangan tu adalah jelmaan seorang perempuan!” Danny pandang lagi seorang demi seorang. Kali ini di wajah masing-masing sudah pucat. Terdiam semua.

“Perempuan?” Jeff menelan liur.

Danny angguk.

“Kau rasa perempuan tu ke bro?” Kyle mula gelisah.

Masing-masing diam seketika. Tiada lagi suara ketawa dan sengih tadi.

“Aku rasa baik kita pergi semula ke Kampung Senduduk tu. Kita siasat apa yang sebenarnya berlaku. Manalah tahu..famili perempuan tu dah tahu kisah sebenar?” Usul Danny.

“Kau gila ke? Kau nak mampus! Kau tahu selepas kejadian tu, kita dah sepakat rahsiakan kejadian tu. Zip mulut!" Kyle mengetap bibir. Geram bila perkara itu dibuka semula.

"Danny, perempuan tu kita tinggal macam tu je. Kita tak tahu apa jadi lepas tu.Dia hidup ke, mati ke. Kalau dia hidup, dia mungkin diselamatkan oleh seseorang dan mana tahu lepas tu, dia beritahu mak bapak dia dan mereka mula cari kita? Sudah sah-sah mereka hanya tunggu masa saja nak bunuh kita. Kau pulak nak serah diri dengan pergi ke kampung tu semula buat apa?? Gila!” Zamrul merengus.

Masing-masing diam lagi. Sudah buntu apa yang perlu dilakukan.

“Jeff..macam mana kes  ugut kau hari tu,dia ada sms lagi tak?” Danny mula teringat kes Jeff yang diugut orang yang tidak dikenali.

Jeff menggeleng.

“Ugut? Siapa ugut kau?” Zamrul terpinga-pinga tidak tahu hujung pangkal cerita.

Kyle turut mengangguk.

“Aku dan Jeff ada terima sms ugut dari seseorang. Dia beri amaran pada aku. Jeff pulak, dia kata Jeff akan jadi mangsa seterusnya.” Danny terpaksa berterus terang.

Zamrul dan Kyle terdiam. Pucat muka masing-masing.

“Kau percaya sms tu?” Zamrul pandang Danny tidak berkelip.

Danny jongket bahu. Jeff juga turut geleng.

Petang itu pertemuan mereka menemui jalan buntu. Masih tidak percaya apa yang telah berlaku. Tambah lagi dengan cerita terbaru yang didengar tadi.

Reply

Use magic Report

Post time 6-7-2015 02:23 PM | Show all posts
Ipo replied at 6-7-2015 12:27 PM
DANNY melangut menunggu Jeff dan kawannya yang lain sampai di tasik itu. Tadi dia sudah berjanji aka ...

lemme gues. lima jntan x guna gangbang satu girl. Kesiaaan.ketagihlah girl tu.ish.ish.

adalah satu kes ni aku dengo.. dia kna gangbang..pahtu dh jdi ketagih..merata ikut jantan..kesian.....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-7-2015 11:50 PM | Show all posts
Edited by Ipo at 6-7-2015 11:58 PM

DARWIS menatap skrin komputer riba. Semua foto yang diambil di tempat kejadian jenayah diperhatikan satu persatu. Setakat hari ini, sudah banyak kes yang dia kendalikan untuk mengambil gambar dan bahan berita termasuk yang terbaharu, kes kematian bunuh diri Dr. Razif. Sesekali dia menggeliat kecil. Lehernya dipusingkan ke kiri dan ke kanan bila terasa lenguh. Dia jeling jam di atas meja. Menghampiri dua belas tengah malam. Malam itu, dia tidur di rumah orang tuanya. Dia perlu temankan Danny kalau apa-apa jadi nanti. Danny mudah patah semangat bila berlaku perkara yang dia tidak suka. Perkara yang terjadi pada Dr. Razif tidak boleh dianggap remeh. Sudah seminggu berlalu. Selama seminggu itu tiada apa-apa yang pelik berlaku. Apa yang menyedihkannya, Danny seolah tidak pernah serik dengan sikap berfoya dan suka  berhibur itu. Setiap kali lepas kerja, dia selalu juga terserempak dengan Danny yang berkunjung ke sebuah kelab malam bertemu rakan-rakannya di sana. Mungkin rakan rapat satu kampus dulu.

Dari siasatanya, rakan Danny semuanya mempunyai kerjaya hebat. Zamrul seorang akauntan muda yang berjaya dan selalu menghadiri persidangan perakaunan di luar negara.  Kyle yang juga mempunyai klinik sendiri juga sibuk dengan pesakit yang sentiasa memenuhi klinik dua puluh empat jam yang dibuka bersama seorang lagi rakan kongsi. Jeff, jurutera kapal terbang, sibuk mengendalikan enjin dan apa-apa kerosakan bahagian  kapal terbang di KLIA. Sejak kejadian Razif membunuh diri, Danny dan rakannya seolah tidak pernah mengingati semua itu lagi. Mereka menjalani kehidupan biasa tanpa ada sedikitpun rasa menyesal dan bersedih dengan kematian Razif, kawan rapat mereka sendiri.

Komputer ditatap lagi. Maklumat yang diperolehi itu lebih banyak menjurus kepada motif bunuh diri. Itu juga yang pihak polis simpulkan dulu. Akhirnya kes itu ditutup. Namun, ada satu yang bermain di benaknya ketika ini. Dari mana datangnya nota yang dijumpai di sisi mayat Razif dulu itu? Siapa yang letak sekeping kertas itu di situ?

"Ada yang tidak kena..." Fikir Darwis.

“Pergi!!! Jangan kacau aku!!!”

Darwis tersentak. “Eh, itu suara Danny!”

Bergegas Darwis melangkah ke bilik Danny.Berkali-kali dia mengetuk pintu.

“Abang...Jef..Jef..” Danny terus peluk Darwis sebaik pintu bilik dibuka.

Darwis masih terpinga-pinga. Dia biarkan Danny memeluknya dengan erat.

Danny tarik tangan Darwis masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik dikunci rapat. Mereka berdua duduk di birai katil.

“Tadi..saya ada terima sms. Dia pernah sms saya dulu masa kematian Razif.”Danny mula cerita apa yang telah berlaku tadi.

Darwis pula masih setia mendengar.

“Dia  kata malam ni Jef akan mati bunuh diri. Sama macam sms yang saya terima dulu pasal arwah Razif..” Danny tunduk.

“Sudah call Jeff?” Darwis juga sudah bingung.

Danny angguk.

“Jadi?”

“Dia tak jawab. Lepas baca sms tu, saya terus call Jeff banyak kali tapi tak jawab. Saya risau la.” Danny menekup muka.

“Tahu kat mana Jeff tinggal?” Tanya Darwis, turut risau.

Danny angguk lagi.

“Jom! Kita kena pergi ke rumah Jeff sekarang. Cepat!!” Darwis tarik tangan Danny yang sudah sugul di birai katil.

Mereka mula menaiki kereta Toyota kelabu milik Darwis menuju ke rumah Jeff yang terletak di Kota Damansara. Kereta meluncur meredah suasana tengah malam. Sesekali Darwis berpaling kepada Danny yang sudah kusut masai rambutnya. Pedal minyak ditekan semakin kuat.

Tiba di kondominium Dahlia, Darwis parkir di luar kerana pengawal di pondok keselamatan tidak membenarkan kereta luar masuk ke dalam  kawasan kondominium. Terpaksa mereka menapak dari luar pagar ke pintu lif. Darwis jeling lagi Danny yang sudah tidak bermaya. Nampak jelas di wajah Danny ada riak gelisah dan kebingungan. Mereka mula menaiki lif. Butang nombor sebelas ditekan. Rumah Jeff terletak di tingkat sebelas di kondominium yang mempunyai lima belas tingkat itu.

“Yang mana  satu rumah Jeff?” Darwis terus bertanya sebaik pintu lif terbuka di tingkat sebelas.

Tanpa jawapan, Danny  menarik tangan Darwis kearah sebuah unit rumah di hujung koridor di tingkat sebelas itu. Darwis memerhati sekeliling. Memang kondominium itu berjaga. Pokok bunga yang segar berderet diatur di sepanjang koridor dan di setiap pintu rumah disediakan ‘water cooler’dan ‘water heater’. Memang nampak mewah. Tiba di rumah hujung, Danny mula menekan loceng beberapa kali. Tiada jawapan. Dia tekan lagi sambil melaung memanggil nama Jeff. Masih tiada jawapan.

“Kau call dia.” Darwis menyuruh Danny menghubungi pula Jeff.

“Tak jawab...” Danny semakin gelisah.

Mereka berdua mundar-mandir di depan pintu rumah Jeff. Sekali lagi Danny menghubungi Jeff. Masih tidak berjawab.

“Macam mana ni?” Darwis sudah bingung.Dia pasti Jeff berada dalam bahaya.

“Cuba tanya guard kat bawah tu. Dia boleh buat apa-apa tak nak buka pintu ni?”Darwis mula menyuruh Danny turun ke bawah semula.

Danny menapak semula ke pintu lif. Darwis pula masih menunggu di depan pintu rumah Jeff. Sekali lagi dia menekan butang loceng pintu rumah Jeff. Masih tiada jawapan. Mundar- mandir Darwis di depan pintu rumah itu. Dia masih memikirkan apa yang bakal berlaku.

“Entah-entah dia tidur kut?” Darwis cuba sedapkan hati sendiri. Sekali lagi dia menekan butang loceng. Juga tiada jawapan. Telefon bimbitnya mula berdering. Nama Danny yang tertera di skrin.

“Ya Danny! Apa??”

Bergegas Darwis menapak ke pintu lif semula. Nasib baik sudah larut malam. Lif lengang. Sampai di bawah, dia terus ke tempat Danny. Kelihatan beberapa orang penghuni kondominium itu sudah berkerumun di tepi bangunan kondo itu dekat dengan tempat letak kereta.

“Danny!” Darwis lihat Danny yang sudah terduduk di atas jalan tar menuju ke arah belakang kondo.Dia mula menyelit dicelah orang ramai yang berkerumun di situ. Tangan Danny ditarik perlahan.Danny dilihat  masih menekup muka,menangis dan meraung.

“Apa dah jadi?” Darwisl pandang pada beberapa orang yang bercakap sesama sendiri.

“Bang, ada orang bunuh diri. Tu! Nampaknya dia terjun dari tingkat sebelas.” Seorang lelaki yang memakai jaket hitam dan memegang topi keledar menuding ke arah seorang lelaki yang berlumuran darah yang sudah terbaring di atas jalan tar dan kemudian menuding pula ke arah bangunan.

Darwis terkejut melihat lelaki yangsudah tertiarap di situ berlumuran darah dengan kepalanya sudah pecah. Tersembul otak keluar dari tempurung kepala. Tidak sanggup dia melihat lama-lama. Dia segera mendapatkan Danny yang sudah meraung di tepi kereta.

“Danny...itu ke ..Jeff?”Darwis  cuba bertanya. Inginkan kepastian.

Danny hanya mengangguk lemah. Dia masih menangis di tepi kereta.

“Ya Allah...” Darwis turut terkedu. Jadi apa yang diberitahu dalam sms itu adalah benar belaka! Bermakna juga orang itu tahu semua kejadian itu akan berlaku.

Darwis  cuba menenangkan Danny yang sudah hilang arah. Danny dilihat sudah lemah terduduk di situ. Dia pandang ke arah pondok pengawal. Sebuah kereta polis sudah mula sampai. Mungkin pengawal itu yang menghubungi pihak polis. Darwis berpaling pula ke arah mayat Jeff yang masih tertiarap di atas jalan tar. Semakin ramai orang mengerumuni di situ.

Polis mula membuat tali rentang dan menghalang orang ramai dari mendekati mangsa. Darwis tarik tangan Danny dan menyuruh adiknya duduk dalam kereta sementara dia ke tempat mayat Jeff tadi.Sempat dia perkenalkan diri kepada pihak polis dan dia mula mengambil beberapa keping gambar tempat kejadian. Malam itu juga mayat Jeff dibawa ke rumah mayat di hospital berdekatan. Beberapa orang di situ turut ditanya oleh pihak polis apa yang sebenarnyan berlaku. Darwis mula menghampiri seseorang yang begitu beria menjawab soalan polis tadi.

Err..maaf dik. Adik tahu ke apa yang berlaku sebenarnya?” Darwis menghampiri lelaki itu.

“Abang ni siapa?” Lelaki itu seperti teragak-agak  menjawab.

“Abang wartawan. Abang memang bekerjasama dengan pihak polis.” Darwis tunjukkan kad kuasanya.

Lelaki itu angguk-angguk. Dia mula cerita apa yang dia lihat sebelum Jeff terdampar berlumuran darah dengan otak terburai di atas jalan tar itu. Darwis mula mencatat semua keterangan lelaki tadi. Sesekali keningnya berkerut mendengar penjelasan lelaki itu.

“Terima kasih.” Darwis mula berjabat dengan lelaki itu.

Dia kembali ke kereta. Enjin kereta dihidupkan dan kereta dipandu perlahan meninggalkan kawasan kondominium itu. Keretanya membelok ke arah hospital.

“Kita nak ke mana ni?” Danny pandang keluar tingkap kereta.

“Hospital.”

“Buat apa?” Danny jeling abangnya yang sudah mula keluar dari kereta sebaik tiba di hospital di bahagian penempatan mayat.

“Mayat Jeff tu dibawa ke sini. Kau tak nak tengok ke?” Darwis berkerut kening.

“Abang...saya rasa saya tak sanggup tengok mayat dia. Really..please let’s go home..” Danny masih membatu di tepi kereta.

Nevermind.Kalau kau tak nak pergi tengok, biar abang saja yang pergi. Kau tunggu je kat sini.” Darwis menapak ke bilik mayat.

Danny masih di tepi kereta. Dia sebenarnya serba salah. Memang dia tidak sanggup melihat keadaan Jeff yang sudah pecah kepala. Tadi masa mula-mula dia tengok keadaan Jeff, dia sudah muntah. Terus kepala jadi pening. Dia terduduk di tepi kereta. Selepas itu, dia terus hubungi Darwis yang masih berada di tingkat sebelas di depan rumah Jeff.

Lama Danny menunggu Darwis di situ.Mundar mandir di tepi kereta. Sesekali dia lihat jam di pergelangan tangan.Hampir satu pagi. Dia pandang sekeliling. Meremang bulu roma bila melihat kawasan di sekitar hospital itu sunyi dan sepi. Terasa angin bertiup agak kuatdari sebelah kiri. Danny menoleh. Pokok-pokok yang agak rendang di situ mula meliuk lentuk daun dan rantingnya bila ditiup angin. Bunyi cengkerik dan unggas yang datang dari arah pokok-pokok itu jelas di telinganya. Dia segera menapak ke ruang legar di bahagian unit kecemasan. Di situ lampu sentiasa menyala. Agak cerah berbanding tempat lain.

Danny lega sebaik melihat Darwis sudah menapak keluar dari arah bilik mayat. Mereka berdua mula menaiki kereta semula.


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-7-2015 12:50 AM | Show all posts
Edited by Ipo at 7-7-2015 12:56 AM

#3


DARWIS masih memerhati setiap gambar yang dirakam malam tadi termasuk gambar kematian Dr. Razif. Dia menyusun setiap foto itu di atas meja. Dari gambar yang sempat dirakam, memang kematian kedua lelaki itu sungguh mengerikan. Kes kematian Dr. Razif, gunting yang digunakan untuk membunuh diri itu masih terpacak di perut doktor muda itu ketika pihak polis sampai di klinik. Jelas kesan rodokan gunting itu mengenai usus mangsa.Terburai  sebahagian usus dari perut mangsa. Darah memercik di setiap sudut bilik rawatan itu. Tetapi yang masih menjadi tanda tanya, bilik rawatan itu tidak bersepah. Kemas seperti sediakala.Tiada kesan pergelutan. Bermakna memang sah doktor muda itu membunuh dirinya sendiri dengan mengambil gunting dan merodok perutnya berkali-kali.

Kes Jeff pula, menurut lelaki berjaket hitam malam tadi, dia nampak Jeff buka tingkap dan mula terjun dari situ. Masa Jeff berdiri di tepi tingkap yang terbuka, keadaan Jeff masa itu seperti dia melihat sesuatu yang menakutkan di belakangnya. Seolah  ada sesuatu yang menyuruhnya terjun dari tingkat sebelas itu.

“Hmm...hairan juga. Takkan sebodoh itu mereka berdua tu nak ambil nyawa sendiri. Dr. Razif, dia seorang doktor yang bijak dan ramah dengan pesakit. Menurut pesakit yang pernah dirawat oleh doktor muda itu,mereka senang dengan cara doktor itu melayan pesakit. Tiada tanda-tanda doktor itu mengalami tekanan jiwa atau tekanan kerja. Jeff pula, apa yang Danny beritahu, Jeff seorang yang periang. Suka pada kerja malah pernah digelar workerholic. Takkan tiba-tiba dia nak bunuh diri.” Darwis masih berfikir. Dia mencatat semuanya dalam nota kecil.


Telafon berdering kuat. Dia pandang skrin. Tersenyum melihat nombor Joe. Malam  nanti, dia dia akan berjumpa dengan Joe. Joe banyak membantunya dalam kes jenayah dan mendapatkan gambar yang terbaik di tempat kejadian.


AGAK ramai pelanggan di restoran mamak malam itu. Joe mula memesan mi goreng dan segelas teh tarik. Darwis pula hanya pesan kopi o panas. Mereka mula bersembang dari satu bab ke satu bab. Sejak keluar dari universiti mereka berdua jarang berjumpa. Dulu mereka mengambil kursus yang sama, kejuruteraan elektrik. Joe pula aktif dalam sukan dan ko kurikulum yang lain termasuk ROTU yang melayakkan Joe bergelar Leftenan Muda Johari Osman. Begitu bangga ibu dan ayah Joe waktu itu. Namun Joe lebih berminat menjadi seorang jurutera projek di sebuah syarikat ternama di ibukota. Selayaknya Joe memegang jawatan itu setelah berhempas  pulas belajar dan bersengkang mata semata-mata untuk mendapat gred yang tinggi. Kini Joe boleh berbangga dengan jawatan sebagai jurutera projek yang sudahpun bergelar Ir. Johari Osman!

“Macam mana kerja kau?” Darwis mula bertanya soal kerja.

“Ok je, sekarang ni aku kena handle projek besar di Hulu Langat.Jadi, aku sibuk sikit. Selalunya masa gini aku sibuk di tapak projek tapi disebabkan aku nak jumpa kau, aku tolak tepi dulu kerja aku tu!” Joe teguk teh tarik yang masih berasap. Dia melemparkan senyuman lebar.

Darwis turut sengih. Dia mengangguk-angguk.

“Kau macam mana?” Joe sandar di kerusi. Sempat dia jeling ke arah pelayan restoran. Mi goreng yang dipesan tadi masih belum tiba.

“Aku macam nilah. Kerja macam aku ni tak tentu masa. Aku kena cari bahan berita untuk diterbitkan. Kerja ni bukan mudah.Silap haribulan, aku boleh terjebak dalam dunia jenayah.” Darwis ketawa seketika.

“Kenapa kau minat sangat nak jadi wartawan?” Joe betulkan duduknya di kerusi.

Darwis diam seketika. Dia teguk kopi o panas perlahan-lahan. Apa yang ditanya oleh Joe tadi memang sukar untuknya menjawab. Sepatutnya dia bekerja sebagai jurutera sama seperti Joe kerana bidang itu yang diambil dulu semasa di universiti. Setelah habis saja belajar,dia mencuba nasib memohon kerja sebagai wartawan di sebuah syarikat komunikasi dan media massa. Alhamdulillah, dia diterima dan ditawarkan sebagai wartawan  sementara di bahagian jenayah.

“Entahlah..kau kan tahu yang aku dulu suka buat kerja siasatan ni. Masa di universiti dulu pun, sudah banyak aku sumbangkan karya aku hasil dari siasatan dan gambar yang aku dapat untuk majalah UNIK universiti kita dulu. Tak sangka pula, dengan pengalaman sedikit tu, aku diterima juga sebagai wartawan ni.” Darwis senyum bila mengingati kehidupan di kampusnya dulu. Ke hulu ke hilir dengan kamera dan sebuah nota kecil yang sentiasa ada di dalam poket. Jadi, apa sahaja yang berlaku di sekitarnya akan dirakam dan ditulis. Segalanya cukup terperinci!

Joe anguk-anguk. Dia memang tahu itu minat Darwis sejak di universiti lagi.

“Kau sepatutnya jadi polis la Darwis!”Joe menambah lagi. Dia sudah ketawa mengekek.

“Entahlah..agaknya aku ni suka benda siasat ni. Kau ingat tak masa kita di tahun tiga, kita siasat kes siswi yang  gila tu!” Darwis sengih.

“Siswi gila?” Joe berkerut kening.

“Alah..student sains yang kusut masai rambutnya tu! Dia kan jadi sasau sekejap selepas habis je exam semester akhir tu.” Darwis cuba mengingatkan Joe.

“Oh...aku ingat. Student sains yang pakai baju kurung berkedut seribu  tu! Masa tu aku tolong kau siasat budak tu! Hmm...diabuat apa sekarang ni eik? Dah okey kedia?” Joe angguk-angguk.

“Entah. Mungkin dah kerja kut. Apa yangaku dengar, walaupun dia macam tu tapi dia lulus exam semester akhir.” Darwis turut senyum. Dulu dia tak pernah tahu kewujudan gadis itu di kampus. Tambah lagi gadis itu berlainan fakulti. Ambil bidang yang berlainan dengannya. Dia kenal pun atas sebab nak kena siasat dan buat liputan tentang gadis itu untuk disiarkan dalam majalah UNIK. Masa itu,sudah heboh satu kampus mengenai kisah gadis itu yang menjadi gila tiba-tiba.Kecoh pula bila gadis itu muncul di dewan kuliah dengan rambut menggerbang dan baju tak semenggah.

“Hmm..baguslah macam tu. Mungkin masa dia gila sekejap tu, dia diserang histeria. Yalah..masa exam akhir kan selalunya tension sikit!” Joe pula cuba mengingati kisah gadis itu yang menurut cerita kawan-kawan sekelas gadis itu, gadis itu tiba-tiba kena serang histeria tetapi dari cerita sebenarnya, gadis itu dikhianati dan ditinggalkan kekasih. Masa dia dan Darwis menyiasat hal itu, keadaan gadis itu sudah teruk. Muka sentiasa berconteng sana sini. Rambut mengerbang macam rambut afro! Baju pula tidak pernah bertukar. Gadis itu tidak kisah apa orang sekeliling kata padanya Dia lebih suka buat hal sendiri dan yang paling tak sangka, gadis itu berjaya menamatkan pengajiannya. Itu yang paling dia hormat pada gadis itu.

“Kau masih ingat nama dia?” Darwis pandang  Johari yang sudah mengelamun panjang,.

“Hmm...apa tak ingatnya. Nama dia Irene kan?” Joe sengih lagi.

“Betul tu. Cuma aku masih keliru sikit, dia tu orang melayu ke apa?”Darwis mula berminat untuk mengetahui kisah selanjutnya mengenai gadis misteri itu. Siasatannya dulu tidak sampai ke penghujung. Sebaik tamat belajar, cerita gadis itu turut terkubur.

“Aku rasa dia ada darah kacukan. Mungkin melayu campur cina, atau mungkin cina campur India. Dia bukan melayu tulen,  aku pernah dekat dengan dia dulu. Aku rasa dia tu seorang gadis yang cantik sebenarnya. Kalau tak kerana dia gila, rasanya ramai yang nak mengorat gadis tu.” Joe mula membayangkan wajah Irene yang sebenar. Selama  mereka berdua berada di kampus, tidak pernah sekalipun mereka melihat gadis itu bersihkan mukanya. Muka gadis itu selalu diconteng dengan gincu dan alat solek lain yang boleh ‘mencacatkan’ wajah cantik gadis itu. Sampai pelajar lain sering mengejek gadis itu tidak kira di mana pun. Malah di papan putih untuk pelajar menampal iklan apa jua kenyataan di situ pun menjadi tempat untuk menghina gadis itu dengan tulisan-tulisan yang cukup meloyakan bila membacanya.

“Aku ingat nak siasat balik la gadis tu.Mana tahu aku boleh sambung semula cerita aku semasa di universiti dulu. Ramai juga yang merungut sebab di ruangan slot kehidupan dalam majalah UNIK tu macam tergantung. Takkan aku nak reka cerita sendiri. Irene tu pun dah hilang entah ke mana selepas tamat belajar.” Darwis sedikit mengeluh.

“Bagus juga tu. Kalau kau buat novel lagi bagus. Aku akan jadi orang pertama yang baca novel kau!” Joe pula ketawa kali ini.

“Bukan baca saja, kau kenalah beli!”Darwis turut ketawa. Teringat pula pada kekasih hati yang juga seorang penulis novel.

Mi goreng yang dipesan baharu tiba dimeja. Joe mula menikmati dengan penuh berselera. Dari petang tadi dia tidak mengisi perut. Usai menjamu selera, mereka mula beredar dari situ.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 08:26 AM GMT+8 , Processed in 1.186051 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list