|
SMS pengaruhi undian 'Top 5'
SERI KEMBANGAN: Hampir keseluruhan senarai lima calon akhir atau Top 5 bagi 16 kategori di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 bagi edisi ke-23, menyaksikan kemunculan wajah baru dalam dunia hiburan tanah air.
Pengumuman calon akhir Top 5 diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses (POTGH), petang semalam.
Antara wajah baru yang dipilih oleh pembaca Berita Harian untuk dicalonkan ke peringkat akhir dalam 16 kategori ABPBH2009 ialah kumpulan Bunkface, Yuna, Hujan, Akim, Hafiz, 6xith Sense, Scha Al Yahya, Remy Ishak, Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah, Didie Alias, Zizan Raja Lawak, Nik Sayyidah, Gambit, Aril, Putri Mardiana, Black dan Dira Abu Zahar.
Kategori dalam ABPBH2009 ialah masing-masing Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular, Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular, Penyanyi Nasyid Popular, Pelakon Filem Lelaki dan Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki dan wanita Popular, Penyampai Radio Lelaki dan Wanita, Pengacara TV Lelaki dan Wanita, Artis Baru Lelaki dan Wanita dan Artis Komedi Lelaki dan Wanita. Manakala kategori kemuncaknya ialah Bintang Paling Popular.
Pengerusi Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah berkata, format baru yang diperkenalkan tahun ini iaitu undian menerusi SMS mempengaruhi keputusan senarai Top 5 tahun ini.
"Apabila mengatakan mahu meremajakan ABPBH 2009, kita memilih untuk turut memperkenalkan format undian secara SMS. Ini bertujuan supaya ABPBH dapat menarik seramai yang boleh golongan muda terbabit dalam anugerah ini," katanya.
Turut hadir pada majlis ini ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid.
Selain pengumuman senarai Top 5, turut diumumkan adalah senarai penganjur yang terbabit kali ini. Penaja yang terbabit kali ini ialah Genting Highlands-Kota Keriangan, TV3, HotFM, Habib Jewels, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Empire Classic, Cosmopolitan dan POTGH. |
|