Menteri atur pertemuan khas
SHABERY (kiri) berbincang sesuatu dengan Nadzmi di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya kelmarin.
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan mengadakan pertemuan 'enam mata' untuk memulihkan keadaan berhubung kontroversi perletakan jawatan jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek.
Shabery berkata, beliau akan menguruskan pertemuan tersebut di antara bekas jaguh perseorangan negara itu dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh sebaik sahaja beliau pulang dari lawatan rasmi dua hari ke Sarawak.
"Malam tadi (kelmarin) saya telah berjumpa dengan Misbun, yang telah sempat mencurahkan rasa hatinya tentang beberapa perkara yang menjadi perbezaan di antara beliau dan BAM," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Akuatik Negeri bernilai RM33 juta di Kompleks Belia dan Sukan di Kuching semalam.
Bagaimanapun, Shabery enggan menyatakan hasil pertemuan beliau dengan Misbun sebelum mengadakan satu sesi dialog dengan bekas jaguh badminton negara itu dan Nadzmi untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.
Beliau juga enggan memberitahu punca keputusan mengejut Misbun meletakkan jawatan pada 31 Disember lalu.
"Sudah tentu apabila berlaku luka, ia akan mengambil masa untuk menjernihkan suasana," kata Shabery yang diminta menyelesaikan perkara itu semasa pertemuannya dengan Nadzmi di Putrajaya kelmarin.
Sementara itu, beliau berkata, Pusat Akuatik Negeri yang dibina oleh kementeriannya dijangka beroperasi pada November tahun ini.
Shabery yakin ia akan menjadi satu tempat yang dapat dibanggakan oleh penduduk Sarawak, yang merupakan sebuah negeri yang paling banyak menyumbang kepada jaguh sukan khasnya dalam bidang akuatik renang dan terjun.
"Jadi amat sesuai sekali Sarawak memiliki satu pusat akuatik yang terbaik di luar Kuala Lumpur yang boleh menjana lebih banyak minat orang Sarawak untuk terlibat dalam bidang ini serta melahir ramai lagi ikon negara dalam bidang ini," katanya sambil menambah bahawa ikon seperti Daniel Bego telah memberi inspirasi baru kepada ramai anak muda tempatan.
Selain kolam akuatik, pusat itu dilengkap dengan asrama lelaki dan perempuan serta kemudahan untuk menjalankan kegiatan belia yang lebih moden dan canggih. - Bernama