|
JOM SERTAI YOK SAHUR 2 SEKARANG
![](http://i357.photobucket.com/albums/oo12/gjown91/862009_yoksahurartistea.jpg)
Teks oleh Razif Rosdi
KUALA LUMPUR, 7 OGOS 2009: Atas sambutan hangat pada Ramadan lalu, program bersahur unik bersama selebriti anjuran murai.com.my iaitu Yok Sahur akan kembali bertemu anda tidak lama lagi bagu musim kedua.
Segmen Yok Sahur yang menghiasi ruangan khas Ramadan & Raya (R & R) di murai.com.my itu kembali lebih segar dan menarik dengan menjemput lebih ramai artis popular seperti Hafiz AF7, Lisa Surihani, Farid Kamil, Aliff Aziz, Alyah, Tomok dan ramai lagi untuk memeriahkannya.
Yok Sahur 2 menjanjikan keistimewaan apabila berubah angin dengan memilih 4 rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang untuk dijadikan lokasi selebriti bertandang ketika bersahur pada tengah malam dan awal pagi.
Ketua Editor murai.com.my, Roslen Fadzil, berkata tarikan utama Yok Sahur 2 adalah aktiviti amal dan santai membabitkan artis popular bersama penghuni rumah kebajikan serta GengMurai yang bertuah.
"Inilah antara acara paling menarik sepanjang Ramadan anjuran murai.com.my. Diharapkan program Yok Sahur kali ini lebih bermakna dengan pembabitan bintang-bintang Akademi Fantasia 7 (AF7) dan artis terkenal sedia ada," jelasnya.
Menjelaskan mengenai pemilihan artis, Roslen berkata rata-rata artis yang dijemput kali ini adalah wajah-wajah baru yang belum pernah menyertai Yok Sahur musim pertama. Namun katanya, murai.com.my masih lagi menjemput artis yang pernah menyertai aktiviti ini seperti Aizat, Hafiz Hamidun dan 6ixth Sense.
Penyanyi lagu Masih Jelas, Hafiz yang turut diundang menjayakan program ini berkata ia satu pengalaman baru selepas menjadi artis rakaman.
"Terima kasih kepada murai.com.my kerana menjemput Hafiz. Selalunya orang lebih tumpukan kepada majlis berbuka puasa tetapi murai.com.my memberi fokus kepada bersahur. Kita tahu bersahur juga sangat dituntut kepada orang yang hendak berpuasa," kata Hafiz.
Dalam pada itu, sesiapa yang berminat untuk menyertai program Yok Sahur bolehlah menghantar, foto, slogan kreatif serta memilih lokasi Yok Sahur yang sesuai kepada pihak murai.com.my. Hanya 3 pasangan bertuah saja yang bakal dijemput di setiap lokas untuk merasai suasana meriah di rumah kebajikan.
Sementara itu, selain Yok Sahur, anda juga boleh menyertai pelbagai agenda menarik dalam R & R seperti Perantau R & R, Karaoke R & R dan Balik Kampung. Anda juga boleh muat turun penghias Skrin R & R yang menampilkan wajah selebriti popular tanah air secara percuma. Selamat Berpuasa! |
|