|
Saya tak cinta
Oleh Ramlah Zainal
[email protected]
Rap
MUNGKIN ramai yang tidak tahu bintang I'M Not Single dan Jangan Pandang Belakang Congkak, Lisa Surihani pernah memakai tudung ketika di sekolah rendah.
Ketika itu, Lisa atau nama sebenarnya, Lisa Surihani Mohamad, 23, masih menuntut di Sekolah Kebangsaan Sri Inai, Kuala Lumpur.
Tidak hairanlah apabila diminta bergaya dengan penampilan Muslimah, Lisa tidak kekok.
Katanya, dia masih ingat lagi ketika itu ibu bapanya tidak menghalang hasratnya untuk bertudung ke sekolah.
"Tapi mereka tetap menerangkan kepada saya mengenai imej bertudung wanita Islam yang dituntut agama itu dan pada masa sama menasihatkan saya supaya bertudung apabila sudah benar-benar bersedia.
"Selepas mendengar nasihat ibu bapa, saya tidak lagi bertudung ke sekolah rendah sehinggalah melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Sri Inai, Kuala Lumpur," katanya.
Lisa yang juga anak keempat dari lima beradik dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom berkata, ibu bapanya sangat menekankan pendidikan agama kepada anak-anak sejak kecil lagi.
"Selain belajar di kelas agama, saya juga sudah tamat mengaji al-Quran ketika masih di bangku sekolah dan meneruskan kelas mengaji sehingga ke sekolah menengah.
"Bagaimanapun, kelas mengaji al-Quran dengan guru agama terhenti seketika apabila saya menyambung pelajaran ke United Kingdom," katanya.
Apabila sudah bergelar selebriti, Lisa yang menceburi iklan komersial dan lakonan pada usia 11 tahun berkata, dia juga tidak kekok bertudung dalam drama mahupun telefilem. Antara drama menampilkan Lisa bertudung ialah sitkom Kasih Abah bersama Allahyarham Shukery Hashim (watak abah) pada 2004.
"Saya bawa watak anak perempuan bertudung dalam cerita ini. Apa yang menarik, sitkom ini banyak memberi pengajaran kepada kanak-kanak.
"Saya juga tidak ada masalah apabila diminta bertudung dalam drama atau filem selepas ini kerana ia adalah tanggungjawab sebagai pelakon," katanya.
Apapun bagi Lisa yang berdarah Melayu-Bugis ini, bertudung adalah sesuatu yang sangat peribadi dan mengikut pandangan individu tertentu.
"Pada mulanya, saya memang tidak faham kenapa wanita Islam bertudung sehinggalah ibu bapa menerangkannya dengan jelas pada saya.
"Ibu saya (Siti Amira Ahmad, 59) mula bertudung ketika dia baru kembali dari mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah bersama Allahyarham bapa (Mohamad Mahbob) pada 1989. Ketika itu saya masih bayi lagi," katanya.
Lisa berkata, dia juga menyimpan hasrat mengerjakan umrah apabila mendengar cerita menarik daripada ibu bapanya yang sudah menjejakkan kaki ke sana.
"Menurut ibu, dia berasa seperti dilahirkan semula apabila berada di Tanah Suci. Dia juga beritahu nikmatnya tidak dapat diucapkan dengan kata-kata apabila kita menjejakkan kaki ke sana.
"Saya juga berasa terharu dan terpanggil untuk ke sana apabila ibu memberitahu dia turut berdoa di hadapan Kaabah untuk membawa anak-anaknya sekali ke Tanah Suci.
"Sebenarnya, sebelum saya menyambung pelajaran ke United Kingdom, saya juga bercadang menunaikan umrah terlebih dulu, tapi nampaknya seru belum sampai ketika itu.
"Bagaimanapun, saya tetap berhasrat untuk ke Tanah Suci bersama ibu dan adik beradik yang lain satu hari nanti," katanya.
Secara peribadi, kata Lisa, memang terdetik di hatinya untuk bertudung satu hari nanti.
Kata Lisa, dia akan memakai tudung apabila sudah bersedia kelak.
"Mungkin apabila saya sudah berumah tangga nanti. Sekalipun ibu bertudung, dia tidak pernah memaksa saya pakai tudung sepertinya kerana mereka ingin saya memakainya dengan kerelaan hati sendiri. Kalau saya tidak ikhlas, buat apa saya nak pakai tudung?," katanya.
Lisa yang juga Wajah Eksklusif Astro Megadrama serta artis residen MIG Talent, baru selesai penggambaran filem terbitan MIG Productions Sdn Bhd, Zoo arahan Azhari Zain di Zoo Negara, Hulu Klang.
"Selepas drama ini, saya juga sudah berbincang dengan MIG mengenai projek filem baru. Saya juga terikat untuk buat beberapa projek drama dengan Astro. Tapi, ia masih dalam perbincangan lagi," katanya.
Mengenai gosip hubungan intimnya dengan pelakon Farid Kamil, Lisa berkata, ia tidak benar sama sekali.
Apatah lagi kini timbul gosip Farid dengan seorang lagi pelakon muda jelita, Diana Danielle.
Kata Lisa, dia dan Farid berkawan baik sejak digandingkan dalam filem I'M Not Single.
"Saya suka berkawan dengan Farid kerana dia tidak kedekut ilmu dan banyak berkongsi pengalamannya di belakang tabir dengan saya. Terus terang, kami tidak bercinta dan saya melihat gosip saya dengan Farid itu sebagai asam garam dalam dunia artis," katanya.
PROFIL
NAMA PENUH: Lisa Surihani Mohamed
TARIKH LAHIR: 23 Mac 1986
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik (perempuan tunggal)
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari
University of Aberystwyth, Wales, United Kingdom (UK)
KERJAYA: Model dan pelakon
FILEM: Good Bye Boys, I'M Not Single, Cyber X Ancaman Penggodam,
Jangan Pandang Belakang Congkak, Remp-It V3 dan Kapoww
DRAMA: Obsesi, 3 Janda, Anak Merdeka, Mataku Nampak Hantu dan Ponti
Anak Remaja
PRODUK: Jurucakap Lip Ice
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) |
|