|
Post Last Edit by Rorine at 21-3-2010 19:18
Peserta AF8 Masih Mencari Identiti
by Ashraf Abd Manaf | 21 Mar 2010
Berpeluang menyaksikan konsert sulung Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) di Dewan Seri Budiman, Bukit Jalil baru-baru ini, memang terasa kemeriahannya. Namun melihat bakat 12 finalis yang memberikan persembahan, ternyata terdapat beberapa orang di antara mereka yang gagal menarik perhatian penonton.
Mereka kelihatan masih tercari-cari identiti diri dan kurang selesa dengan lagu yang dipersembahkan. Akibatnya persembahan menjadi hambar dan aura seorang penghibur yang cuba diketengahkan melalui konsert sulung tersebut tidak mencapai matlamatnya.
Bercakap soal tersebut, pengetua AF8 Norman Abdul Halim ketika ditemui sejurus selepas konsert berakhir, mengakui terdapat beberapa orang peserta yang gagal memberikan persembahan menarik. Namun dia tetap berpuas hati dengan persembahan kesemua pelajarnya yang dianggap lebih baik daripada 'Konsert Tirai AF8' yang diadakan pada minggu lepas.
"Jika pada minggu lepas terdapat dua orang peserta yang saya anggap hanya mendapat 2/10 daripada markah yang saya berikan, tetapi pada minggu ini kesemua mereka mendapat 6/10 dan ke atas. Itu bermakna ada peningkatan dalam aspek persembahan mereka. Namun saya tak nafikan ada peserta yang kurang selesa dengan lagu-lagu yang diberikan pada minggu ini menyebabkan mereka kekok untuk menyanyi.
"Tetapi inilah cabaran AF8 kerana kami mahu mencari penghibur yang serba boleh dan dalam masa yang sama mencungkil kebolehan peserta. Untuk minggu-minggu pertama, kami mungkin akan memberikan lagu secara rawak kepada peserta kerana sekarang ada peserta yang kami masih kurang pasti dengan genre lagu yang sesuai dengan suara dan jiwa mereka.
"Tetapi saya yakin masuk sahaja persembahan minggu keempat dan yang akan datang, masalah ini akan dapat diatasi oleh tenaga pengajar," katanya yang berpuas hati dengan kritikan yang diberikan oleh pengkritik pada malam tersebut yang terdiri daripada Adlin Aman Ramlie, Aznil Hj Nawawi dan Edry Abdul Halim selaku pengkritik undangan.
Adira mencuri tumpuan
Mengimbau kembali persembahan 12 peserta pada malam itu, tirai persembahan dibuka oleh Maulana yang menyanyikan lagu "Ekstravaganza" yang sebelum ini dipopularkan oleh Bunkface. Persembahan Maulana mendapat reaksi berbeza daripada juri.
Edry mengatakan persembahannya agak baik sebagai pembukaan konsert namun buat Adlin dan Aznil, Maulana masih belum memberikan persembahan terbaiknya. Pergerakannya diatas pentas disifatkan tidak konsisten dan 'energy' yang ditunjukkan semakin lemah di hujung persembahan.
Walau bagaimanapun, persembahan Adira yang menyanyikan lagu "Bertamu Di Kalbu" (Jaclyn victor) berjaya meraih perhatian juri dan penonton. Malah ketiga-tiga juri menyifatkan persembahan Adira sangat baik dan jika dia terus konsisten dengan persembahan sebegitu pada setiap minggu tidak mustahil dia mampu melangkah ke peringkat akhir AF8.
"Saya tidak pernah dengar lagu ini sebelum ini. Tetapi apa yang awak persembahkan sangat bagus. Saya dapat rasakan awak punya perasaan yang cuba disampaikan dan persembahan awak yang cukup dramatik di bahagian-bahagian tertentu sangat memberi kesan. Dari saya awak mendapat markah penuh," ujar Adlin puas hati.
Selepas Adira, shahir muncul menyerikan pentas dengan menyanyikan lagu "Khatimah Cinta" yang sinonim dengan kumpulan 6ixth Sense. Ketiga-tiga juri nampaknya berpuas hati dengan persembahan Shahir yang disifatkan sebagai simple tetapi mencapai objektif yang cuba disampaikannya.
Nad, Daus & Farina masih gagal
Usai Shahir, giliran Nad dan Daus menghangatkan pentas. Namun percubaan kedua-dua peserta yang masing-masing menyanyikan lagu "ERT" (Farah Asyikin) dan "Cari Jodoh" yang pernah dipopularkan oleh Wali Band dianggap gagal oleh para juri. Malah Adlin dan Aznil menyifatkan cerita serta karektor yang cuba disampaikan oleh mereka berdua melalui lagu tersebut gagal dijayakan dengan baik.
"Lagu tersebut tidak sesuai dengan awak. Lagu ini cukup nakal tetapi awak kelihatan sangat kasual di atas pentas. Ekspresi, 'attitude' dan karektor awak tak ada dalam lagu ni. Pada saya keseluruhannya persembahan awak tidak menarik dan membosankan," ujar Adlin berterus terang.
Manakala Aznil menyatakan lagu "Cari Jodoh" bukan sahaja dinantikan oleh peminat Daus, malah lagu tersebut dinantikan oleh semua orang termasuklah golongan makcik-makcik yang menyukai lagu tersebut. Namun melihat cara dan penghayatan Daus menyampaikan lagu tersebut, lagu yang sepatutnya 'catchy' menjadi hambar dan membosankan.
Persembahan diteruskan oleh peserta paling senior, Farina yang berasal dari Bintulu, Sarawak. Menyanyikan lagu "Paparazzi" yang mengangkat nama Lady Gaga, ibu tunggal berusia 28 tahun ini dilihat tidak selesa menyanyikan lagu itu. Akibatnya, persembahannya kurang berjaya dan mendapat kritikan pedas daripada juri.
"Lagu ini bercerita. Awak perlu bermain dengan ekspresi muka. Awak perlu menarik perhatian orang ramai supaya melihat awak. Tetapi saya lihat di pentas, para penari lebih menyerlah daripada awak. Awak perlu belajar lagi macam mana caranya untuk menarik perhatian orang ramai," ujar Aznil yang kelihatan sedikit kecewa dengan persembahan tersebut.
Namun Edry menyatakan Farina sebenarnya mampu menyanyi dengan baik cuma mungkin plihan lagu yang diberikan kepadanya kurang sesuai dengan jiwa serta kemampuannya.
Aliff perlu lebih 'macho'
Pelajar jurusan vokal, Aliff ternyata tidak mengecewakan para juri. Namun kebanyakan juri mahu Aliff yang menyanyikan lagu "Kau Aku" pada malam tersebut tampil lebih 'macho' pada konsert yang akan datang.
"Saya tak ada maslah dengan suara awak kerana ianya jelas dan matang. Namun aksi awak nampak terlalu kebudak-budakan di atas pentas. Saya rasa awak ni seorang yang perasan dan suka melihat cermin di rumah. Kalau boleh, matangkan lagi persembahan awak supaya sesuai dengan suara awak yang matang itu," komen Adlin.
Jika minggu lepas Anum menyanyikan lagu "Pelesit Kota" sambil berbaring dan merangkak di atas pentas, Anum tampil nakal kali ini. Menyanyikan lagu "Aku Tak percaya Cinta" yang dinyanyikan oleh Liyana Jasmay, Aznil menyifatkan Anum berjaya membawa karektor yang terdapat di dalam lagu tersebut.
"Saya suka persembahan awak. Awak nampak comel dan bertenaga di sepanjang persembahan. Jika pada minggu lepas saya ingat persembahan awak kerana ianya buruk tetapi pada minggu ini saya ingat persembahan awak kerana ianya bagus," ujar Aznil.
Selepas Anum, Shah yang berasal dari Klang tampil membuat persembahan dengan menyanyikan lagu "Bengang" yang dipopularkan oleh Akim. Kesemua juri tiada masalah dengan persembahan Shah cuma menurut Edry. Shah perlu mencari identiti diri agar tidak terikut-ikut dengan cara penyanyi asal lagu tersebut.
"Saya tak nampak beza sangat awak dengan Akim. Sepatutnya awak jadikan lagu ini seperti Shah bukan Akim. Selain itu awak perlu perbaiki teknik nyanyian awak. Tidak semestinya apabila tiba di bahagian 'tinggi' awak perlu menjerit. Sebaliknya awak perlu kawal suara awak," ujar Edry yang lebih banyak memberikan komen 'selamat' pada malam tersebut.
Ain gagal menyerlah
Meneruskan persembahan ialah peserta berusia 23 tahun, Ain yang menyanyikan lagu "Hey Ladies" yang pernah dipopularkan oleh Rossa. Jika pada minggu lepas Ain berjaya memukau perhatian juri dan penonton, pada minggu ini persembahannya di anggap sebagai gagal oleh pihak juri.
"Persembahan awak tidak sehebat minggu lalu. Awak dan nyanyian awak kurang menyerlah di atas pentas," jelas Aznil walaupun Edry mengakui Ain mempunyai kualiti vokal yang bagus.
Sementara itu Ema yang menyanyikan lagu "Yang Terbaik" juga gagal meraih pujian juri. walaupun Adlin menyatakan persembahannya tiada gangguan teruk, namun bagi Aznil, Ema gagal menyampaikan jalan cerita lagu tersebut dengan baik.
"Ini satu lagi lagu yang bercerita. Saya lihat pergerakan awak sangat kebudakan-budakan. Saya tidak pasti tujuan Shah di pentas kerana ianya langsung tidak membantu anda. Maaf, pada saya ini bukan yang terbaik," katanya.
Menutup tirai persembahan, peserta kacukan Melayu dan Cina, Iwan berjaya meraih pujian juri. Dia yang menyanyikan lagu "Haven't Met You Yet" yang pernah dipersembahkan oleh Michael Buble kelihatan nakal dan menyanyi dengan keadaan terkawal.
"Persembahan yang bagus. Tetapi ianya perlu dirancang dnegan lebih baik supaya persembahan awak menjadi lebih menarik," jelas Edry yang juga merupakan adik kepada pengetua AF8.
Secara keseluruhannya, 12 peserta AF8 diakui juri mempunyai bakat dan mampu menyanyi dengan baik. Namun masih ada di antara mereka yang gagal menyerlahkan kekuatan diri yang sebenar. Akibatnya, persembahan yang sepatutnya bertenaga menjadi hambar dan kurang bermaya. |
|