Hairul cabar ketakutan diri
Oleh Murshid Eunos
[email protected]
SELEPAS berjaya mencipta nama dalam filem Hantu Kapcai, bintang baru berwajah komersial, Hairul Azreen kini perlahan-lahan membina empayar mengukuhkan jenama diri.
Menariknya, bukan sekadar dalam lakonan, pelakon muda yang pada mulanya memegang profil sebagai pelakon lagak ngeri ini menembusi satu lagi kelainan dalam lapangan seni lakonannya.
Hairul yang mudah mengukir senyuman kini bersedia mencabar dirinya dengan menyertai program TV yang diadaptasikan dari Barat, Fear Factor.
Mula berangkat ke Afrika Selatan yang menjadi lokasi penggambaran keseluruhan produksi Fear Factor Malaysia pada malam Isnin lalu, Hairul bersama beberapa lagi selebriti tanah air termasuk Elfira Loy, Dafi, Zoey, Johan Ashari, Iz Sulaini dan Kaka memegang satu prinsip, belum cuba mana tahu.
Jelasnya yang menyifatkan keputusan menyertai program itu adalah satu tindakan beraninya secara peribadi, ada yang menjadi keutamaannya kini adalah berusaha dan menyerahkan segala-galanya kepada takdir.
“Saya pernah menonton program Fear Factor dulu dan memang jujurnya saya meminati konsep program itu yang mana mencabar peserta untuk melakukan sesuatu di luar imaginasinya. Mana tidaknya, makan makanan yang pelik, menggelikan dan melakukan pelbagai aksi yang mencabar ketakutan namun itulah keistimewaannya.
“Malah tidak pernah pula saya terfikir akan berpeluang menyertai program ini dan siapa sangka ruang itu terbentang buat saya selepas pihak Astro bersetuju untuk membawa konsep yang sama untuk penonton tempatan,” katanya.
Tambah Hairul lagi, soal cabaran yang akan diberikan tidak mahu difikirkan kerana bimbang akan menyekat semangatnya sebaliknya apa yang penting adalah perjuangan di sana (Afrika) dan pertaruhan yang akhirnya menguji keberaniannya sendiri.
“Saya memang menyertai program ini kerana ingin melihat sejauh mana saya mampu pergi dan adakah saya benar-benar sedia untuk berdepan pelbagai kemungkinan.
Mujur pihak produksi sudah menjelaskan kepada saya akan keseluruhan cabaran dan tahap pertandingan itu dilakukan. Saya melihat ia sebagai satu cabaran selain berseronok bersama teman-teman artis yang lain,” katanya.
Fear Factor Malaysia yang akan diacarakan Aaron Aziz akan ditayangkan di Astro Ria.
Hairul yang mula dikenali sebagai pelakon ‘stunts’ dalam siri Bionik sebelum diberikan peranan dalam Ponti Anak Remaja dan Indera Joned, kali ini ingin meletak sepenuh fokus kepada kerjaya lakonan yang kian menunjukkan sinar selepas kejayaan Hantu Kapcai.
“Membintangi Hantu Kapcai adalah peluang terbaik yang diberikan pengarah Ghaz Abu Bakar kepada saya. Syukur juga Zizan, Fizz dan Remy sendiri banyak membantu dan tidak henti-henti memberikan tunjuk ajar. Maklumlah saya masih terlalu baru untuk beraksi di depan kamera filem dan mereka semua selalu pastikan saya tidak tersasar jauh baik dalam aspek lakonan.
“Alhamdulillah saya bersyukur dan berterima kasih dengan peluang ini dan insya-Allah saya akan lebih berusaha lagi untuk percaturan akan datang,” katanya yang akan muncul dalam filem Gila-Gila Remaja II dan Pak Pong tidak lama lagi.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/28
|