|
apa kes Ramadan ni?
Ramdan tagih sentuhan MisbunOleh NORZIE MOHD. KHASBI
[email protected]
KUALA LUMPUR - "Saya tinggalkan segala keistimewaan di BAM (Persatuan Badminton Malaysia), sedangkan saya tidak ada penaja... Itulah pengorbanan saya untuk pikat hati bapa dan berlatih bersamanya.'' Itu luahan bintang sedang meningkat, Misbun Ramdan Misbun ketika menjelaskan sebab mengapa dia meninggalkan skuad kebangsaan secara tiba-tiba.
Malah Ramdan mengakui, tindakannya mungkin berisiko apatah lagi dia tidak pernah berbincang mengenai perkara tersebut dengan Datuk Misbun Sidek, namun demi memenuhi impian untuk berguru bersama bapanya, dia mengambil keputusan nekad dengan harapan bapanya akan menerima.
"Saya tidak pernah bincang perkara ini (keluar BAM) dengan bapa. Dulu saya ada cakap hendak berlatih dengannya tetapi dia suruh saya kekal dalam skuad kebangsaan, sebab itu saya terpaksa ambil keputusan sendiri dan harap dia faham. Saya percaya, tidak mungkin dia akan membiarkan saya,'' akui Ramdan.
Mungkin tindakan Ramdan mengejutkan ramai pihak, namun bagi pemain yang genap 22 tahun pada 16 Mac ini, dia memang sudah lama mahu meninggalkan BAM untuk mengikut Misbun, namun niat itu terbantut kerana dihalang oleh bapanya sendiri.
"Bapa adalah idola saya sejak kecil. Saya tengok dia melatih bapa saudara saya, Rashid Sidek di Sukan Olimpik (meraih gangsa di Atlanta 1996). Dia bawa Hafiz Hashim muncul juara All England, kemudian bimbing Roslin Hashim jadi pemain No. 1 dunia. Terbaru, dia mengangkat (Datuk) Lee Chong Wei ke tahap sekarang.
"Sejak kecil, impian saya hanya mahu menjadi anak didiknya. Saya bermain badminton pun kerana bapa saya dan saya tidak pernah terfikir untuk berlatih dengan orang lain. Ketika masuk BAM, bapa yang bawa saya untuk menjadi sparring (rakan sepelatih) sebab itu bila dia keluar, saya kata... Saya hendak ikut tetapi dia tidak bagi.
"Dia kata, dari kecil saya selalu ikut dia ke mana-mana, sekarang saya kena berdikari, saya kena meluaskan pengetahuan dan ilmu, sebab itu saya kena kekal di BAM dan berlatih bersama Hendrawan. Sepanjang saya berlatih dengan skuad kebangsaan, dia langsung tidak pernah menyentuh mengenai program saya, kami tidak pernah bincang mengenainya.
"Dia tahu, hati saya memberontak hendak keluar daripada skuad kebangsaan dan berlatih bersamanya tetapi disebabkan dia tidak benarkan, saya tidak berani hendak minta. Saya sedar, dia seorang jurulatih hebat sedangkan saya hanya pemain muda yang tidak punya apa-apa, jadi siapalah saya hendak berlatih di bawahnya.
"Namun, kejayaan memenangi gelaran pertama di Terbuka Pahang (Oktober) dan muncul juara kebangsaan bulan lalu memberi kekuatan kepada saya untuk bertindak. Sejujurnya, bapa tidak tahu yang saya akan ambil keputusan ini, sekarang terpulang kepadanya sama ada mahu menerima saya sebagai anak murid atau tidak,'' kata Ramdan ketika ditemui selepas latihan bersama Nusa Mahsuri di Dewan Badminton Kompleks Sukan MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Ditanya apakah dia kini menyertai Nusa Mahsuri, kelab profesional yang diwujudkan oleh keluarga legenda Sidek, Ramdan menjelaskan, ketika ini dia hanya berlatih di sana dan tidak tahu apakah kelab itu mempunyai perancangan untuknya.
Dia juga mengakui, belum mempunyai penaja, malah tidak ada mana-mana pihak yang datang menawarkan tajaan kepadanya untuk meneruskan karier, namun dia sentiasa percaya, bapanya pasti mampu merencanakan sesuatu untuk masa depannya.
Ramdan turut menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Hendrawan, malah berterima kasih kepada jurulatih kelahiran Indonesia itu yang telah banyak meningkatkan permainannya sepanjang dua tahun ini.
Anak kedua Misbun itu juga menegaskan, dia tidak punya masalah dengan BAM biarpun pelbagai cerita keluar di laman sosial Facebook dan Twitter.
"Saya mendapat layanan yang baik daripada Hendrawan mahu pun BAM, itu yang boleh saya katakan. Saya berterima kasih kepada mereka kerana keistimewaan yang diberi kepada saya selama ini, tetapi saya mempunyai impian sendiri dan impian saya adalah berlatih dengan Misbun Sidek.
"Memang sekarang saya tidak ada penaja dan saya tidak ada perancangan, yang saya nampak hanya Misbun dan Misbun. Namun saya percaya, masakan bapa saya hendak biarkan saya, sudah tentu dia akan merencanakan sesuatu untuk saya, saya percaya kepadanya dan serahkan sepenuhnya karier serta masa depan saya di tangannya.
"Saya telah nampak sendiri di depan mata saya bagaimana dia melahirkan juara, sebab itu saya tidak pernah meragui kemampuannya untuk menaikkan saya. Mungkin, kalau kami dapat bermula dari sekarang, saya beri tempoh dua tahun lagi untuk berada pada tahap pemain terbaik dunia,'' kata Ramdan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130110/su_03/Ramdan-tagih-sentuhan-Misbun#ixzz2HX9C8IFC
© Utusan Melayu (M) Bhd |
|