Edited by Ipo at 8-7-2015 12:23 PM
#4
HAMPIR DUA bulan berlalu. Tiada apa-apa yang pelik berlaku. Nota ugut untuk Zamrul juga tiada apa-apa tindakan dari pengugut itu. Semuanya berjalan seperti biasa. Penat seharian mengadap kertas kerja, Danny pulang tepat jam lima petang. Kereta diparkir di halaman rumah. Danny jeling kereta Mercedes hitam milik ayahnya yang sudah tersadai di garaj. Dia pandang pula kereta Toyota kelabu milik abangnya turut tersadai di sebelah Mercedes hitam itu.
Danny melangkah malas ke ruang tamu. Entah apa yang mereka akan tanya lagi nanti.Walau ditengking sekalipun, dia tidak akan membuka rahsia itu. Itu rahsia yang terpaksa disimpan dan mereka berlima sudah berjanji tidak akan membuka rahsia itu sewenangnya demi keselamatan masing-masing. Namun rahsia itu jugalah yang menjadi punca kematian Razif dan Jeff. Mungkin kerana rahsia itu juga menyebabkan kehidupan mereka mula menjadi kucar kacir.
Langkah Danny terhenti sebaik terpandang wajah papa dan abang yang sudah sedia menunggunya di set sofa diruang tamu yang luas itu. Dia menyambung langkah dan duduk di depan abang dan papa.
Datuk Lukman hanya melihat tingkah Danny yang sudah hambar lagaknya. Seolah tiada apa yang pelik berlaku sebelum ini. Padahal sudah dua orang kawan rapatnya meninggal dalam jangka masa tidak sampai dua bulan.
“Kerja yang papa suruh buat tu dah siap?” Datuk Lukman mulakan mukadimah urusan kerja.
Danny menjeling. Apa hal papa aku ni?Soal kerja pula ditanya masa di rumah. Mana peraturan yang dia buat dulu? Soal kerja tidak boleh dibawa ke rumah dan soal rumah tidak boleh dibawa ke tempat kerja!
“Dah..” Danny jawab juga. Malas nak bertekak.
“Bagus. Mulai minggu depan, Darwis akan mula bekerja sepenuh masa di syarikat kita. Papa nak Danny dan Darwis sama-sama mengendalikan kerja dan projek yang baharu kita dapat. Papa kekurangan pekerja yang mahir dalam bidang ni. Jadi, Danny kena bekerjasama dengan Darwis nanti.” Datuk Lukman senyum lebar. Lega bila Darwis setuju bekerja sepenuh masa di pejabat.
“Ya Danny. Abang akan mula kerja minggu depan. Jadi apa-apa yang abang perlu tahu, kau serahkan fail sahaja. Nanti abang periksa dokumen tu semua.” Darwis mengiakan kata papa.
Danny lega. Bukan lega kerana Darwis sudah mula bekerja di pejabat tetapi lega kerana bukan soal kes kematian misteri Razif dan Jeff yang jadi bahan topik. Dia sudah penat berdolak dalik.
“Tapi...macam mana dengan kerja abang tu? Wartawan tu?” Danny pula risau mengenai siasatan ke atas nota yang diberikan oleh Zamrul yang dia suruh Darwis lakukan dulu.
“Oh..itu abang dah bagi surat resign tapi abang masih boleh jadi part timer kat sana jika diperlukan.”Darwis menjawab perlahan. Mata tepat memandang Danny yang sudah gelisah.
Danny lega. Bermakna siasatan itu masih berjalan.
Datuk Lukman mula minta diri untuk ke bilik. Danny hanya memerhati papa menapak naik ke tingkat atas. Bila kelibat papa sudah hilang dari pandangan, dia mula duduk di sebelah Darwis.
“Bang..macam mana siasatan tu? Ada apa-apa perkembangan tak?” Muka Danny sudah serius.
“Abang masih siasat tapi abang rasa elokZamrul tu berhati-hati. Kita tak tahu apa yang bakal berlaku. Abang rasa orang yang hantar nota ugut tu tahu gerak geri korang semua. Cuma satu yang abang masih tertanya-tanya. Kenapa kau dan kawan-kawan kau saja yang menjadi tumpuan pengugut tu?”Darwis pandang Danny tidak berkelip.
“Ma..maksud abang?” Danny menelan liur.
“Kau jangan nak sorokkan apa-apa dari abang. Dulu lagi abang dan papa dah syak ada sesuatu yang tak kena. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur. Abang tak nak kau mati macam kawan kau yang lain tu. Sekarang ni dia targetZamrul. Lepas tu, mungkin kau atau Kyle. Cuba beritahu abang apa sebenarnya yang korang dah buat?” Darwis masih tidak putus asa mengorek cerita sebenar dari Danny.
Danny diam seketika. Lemah bila timbul soal itu. Dia sudah berjanji dengan mereka yang lain. Rahsia itu tidak akanterbongkar dari mulut dia orang sendiri.
“Kalau kau masih diam macam ni, macam mana abang nak tolong?” Darwis sudah mula putus asa.
Danny masih diam. Dia jadi serba salah.
“Kau tak kasihan ke kat Zamrul. Dia sudah terima nota ugut tu. Dan abang pasti tak lama lagi kau pun terima nasib yang sama. Kau nak ke jadi macam tu??” Suara Darwis sudah tegas.
Danny masih tunduk. Kalau dia ajak abangnya pergi jumpa bomoh, sudah tentu segala rahsianya selama ini akan terbongkar. Dan kalau dia ajak pula abangnya ke Kampung Senduduk bersama, sudah tentu juga abangnya akan tahu siapa gadis itu dan apa yang terjadi pada gadis itu.
“Err..entahlah bang. Tak apalah..nanti saya fikirkan macam mana.” Danny mula bangun. Dia menapak lemah ke bilik.
Darwis masih di ruang tamu. Sikap Danny tadi cukup membuatkan hatinya merasa geram. Danny seperti tidak mahu bekerjasama bila ditanya soal itu.
“Tak apa..aku akan tahu juga rahsia tu.”Darwis pandang ke tingkat atas. Dia juga mula bangun dan melangkah ke tingkat atas menuju ke biliknya. Sudah dua hari dia bermalam di rumah orang tuanya.Mulai minggu depan juga, dia terpaksa berpindah ke rumah ini atas arahan papa.
MEREKA sekeluarga mula menikmati makan malam bersama. Papa dan mama asyik tersenyum dari tadi. Darwis jeling Danny yang menguis-nguis nasi dari tadi. Mungkin tidak ada selera. Yalah, sudah dua orang kawan rapatnya meninggal. Matanyaberalih pula pada mama dan papa.
“Apa yang mama dan papa senyum-senyumni?” Darwis akhirnya bersuara. Dari tadi suasana di meja makan itu seperti kena tuba. Senyap semuanya.
“Papa dengar Darwis dah ada teman istimewa? Betul ke?” Datuk Lukman jeling isterinya di sebelah kemudian beralih pula pada Darwis.
Darwis senyum. Oh itu rupanya yang mereka asyik senyum saja dari tadi. Dia jeling Danny yang masih mengelamun.Nasi dalam pinggan hanya dikuis. Tidak luak sedikit pun.
“InsyaAllah papa, mama. Kalau semua dah okey nanti, Danial akan kenalkan dengan papa dan mama. Insya Alllah, kalau ada jodoh, tahun ni juga saya nak masuk meminang.” Senyuman Darwis semakin lebar.
“Alhamdulillah...dia kerja apa? Kat mana?”Datin Suhaila pula bertanya anak bujangnya.
“Dia sebenarnya pegawai kerajaan tapi dia juga penulis novel.” Teruja Darwis bercerita kisah kekasih hati kepada orang tuanya.
“Oh really? Novelist la ni! Bagus! Sesuailah dengan Darwis yang suka menyiasat dan jadi wartawan!” Datuk Lukman pula mencelah.
“Lebih kurang macam tulah papa.” Darwis mula malu-malu.
“Danny, macam mana? Sudah ada?” Datin Suhaila berpaling pula pada anak bujangnya yang seorang lagi, saudara kembar Darwis.
“Danny! Mama tanya tu!” Darwis cuit lengan Danny yang masih mengelamun dari tadi.
“Hah? Apa dia mama?” Danny mendongak.
“Budak ni kalau dah mengelamun, tak ingat apa dah! Tak baik mengelamun depan rezeki.” Datuk Lukman geleng.
Danny senyum kelat. Dia jeling Darwis di sebelah, memberi isyarat apa yang ditanya oleh mama tadi.
“Mama tanya ni, Danny dah ada calon ke?” Ulang Datin Suhaila.
“Calon apa mama?” Danny masih terpinga-pinga. Memang tadi dia mengelamun jauh. Otaknya sarat dengan kejadian yang menimpa Razif dan Jeff. Tak lama lagi, giliran Zamrul.
“Laa..calon isteri la takkan calon pilihanraya pula!” Datuk Lukman geleng lagi.
“Oh...itu ke..tak ada lagi..” Danny kembali tunduk. Nasi di dalam pinggan disuap ke mulut. Memang selama ini dia tidak pernah serius dengan mana-mana perempuan. Sehingga ke hari ini tidak ada lagi perempuan yang berjaya membuatkan hatinya tertawan atau jatuh hati.
“Kalau Danny belum ada calon, mama dah ada calon untuk Danny. InsyaAllah, mama jemput dia makan malam kat rumah kita nanti.” Datin Suhaila senyum lebar. Dia jeling suaminya di sebelah.
Darwis turut senyum sambil mata melirik pada Danny yang sudah membuntang mendengar kata-kata mama tadi. Memang dia tahu dari riak muka Danny, tentu Danny tidak suka pilihan orang tua. Yalah lelaki macam Danny lebih suka mencari calon isteri sendiri. Tidak susah untuk Danny mencari bakal isteri. Teman wanitanya keliling pinggang. Tinggal pilih saja lagi. Kalau tanya mereka itu semua,rasanya semuanya sanggup menjadi isteri Danny.
“Suka hati mamalah...” Suara Danny sudah lemah. Nasi di dalam pinggan masih tidak luak.
Darwis berkerut kening. Sikap Danny nyata sudah banyak berubah. Selalunya kalau soal permpuan atau calon isteri, Danny akan membantah habis-habisan tapi kali ini Danny seolah sudah mula putus harap. Lemah semangat untuk hidup. Mungkin di fikiran Danny sarat dengan persoalan kawan-kawannya yang sudah menyahut panggilan llahi. Kalau kematian mereka secara biasa mungkin Danny boleh terima tetapi mereka mati dengan cara yang cukup misteri!
“Danny...dah la. Nanti abang akan tolong kau siasat apa yang berlaku. Makan cepat. Tak luak nasi tu.” Darwis memujuk adik kembarnya yang sudah sugul sejak tadi.
|