|
11 December 2008 : Kosmo
EDDIE TIDAK MENYEPI LAGI - SETELAH 7 TAHUN HILANG
SUNYI dalam menghasilkan sebarang karya baru, baik dalam bentuk filem atau drama bukan bermakna kreativitinya lebur dan terkubur begitu sahaja.
Pengarah terkenal Eddie Pak mempunyai jawapan tersendiri berikutan kehilangan namanya dalam arena seni beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebenarnya Eddie Pak yang telah memeluk agama Islam pada tahun 1996 sepi selama tujuh tahun tanpa sebarang penghasilan karya.
Ini kerana dia lebih memberi perhatian pada beberapa penerbitan berbentuk dokumentari dan efek visual untuk iklan di TV.
Berkecimpung dalam penerbitan dokumentari, Eddie mengakui sepanjang menjalankan pengambaran berbentuk penerbitan sebegini ia cukup menghiburkan kerana berpeluang berkunjung ke banyak destinasi kesukaannya.
Namun, Eddie Pak, 44, atau nama Islamnya Mohd. Aliff Najmi Abdullah bukan terdiam begitu sahaja tetapi kerinduannya untuk mengarah drama ataupun filem tetap ada jauh di hati sanubarainya.
Kembalinya Eddie ke dunia pengarahan melalui filem terbaru Dimensi Cinta membuktikan bahawa cintanya kepada dunia seni tidak pernah berakhir.
"Perkembangan industri perfileman yang kian rancak telah memberi saya keyakinan untuk kembali aktif di dalam bidang pengarahan.
"Malah sebagai orang lama dalam industri ini, saya rasa rugi jika perkembangan sihat ini tidak direbut selepas mengarah filem terakhir saya Syukur 21 pada tahun 2000," jelas Eddie selepas pelancaran filem tersebut baru-baru ini.
Antara drama dan filem cereka di bawah arahannya ialah Kisah Benar, Skuad Elit, Di Antara Logik, Sir Tun Tan Cheng Lock dan Tin Gei Bin manakala filem pula ialah Operasi Cegah Penjenayah, Red Haired Tumbler In Malay dan Litar Kasih.
Filem Dimensi Cinta bakal memulakan sesi penggambaran bermula 6 Februari depan di seluruh negara.
Menceritakan detik pertama mendapat tawaran hebat ini, Eddie menjelaskan Dimensi Cinta telah mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat petroleum dan gas iaitu Harian Inovatif Sdn. Bhd dan Sunday To Sunday Services Sdn. Bhd.
Melihat kepada jalan cerita ketika dipertemukan dengan penerbit iaitu Raja Lela tahun lalu, hati Eddie terus terpikat untuk mengarah filem ini. Ini kerana dia merasakan jalan ceritanya begitu mengasyikkan dipenuhi dengan pelbagai konflik kehidupan masa kini.
"Kawan saya yang perkenalkan saya dengan Raja Lela. Selepas meneliti segala jalan cerita, saya rasa tertarik kerana ia juga berdasarkan sebuah kisah benar.
"Lagipun saya memang suka memilih untuk mengarah sebarang karya yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita," tambahnya lagi.
Jelas Eddie, walaupun penerbit filem ini tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam penerbitan malahan dunia seni tetapi idea cerita yang dilontarkan membuatkan dia tidak mahu ketinggalan untuk menjadikan cerita ini sebagai satu kenyataan.
Apa Dimensi Cinta?
Berinspirasikan kisah benar yang menjurus kepada kombinasi cinta dan kasih sayang sebuah keluarga, filem ini membawa kisah kehidupan yang penuh konflik.
Berdasarkan cinta yang diikhlas serta sokongan daripada keluarga, segala onak dan duri kehidupan dapat diatasi semata-mata untuk menggapai kejayaan yang terbuka luas di depan mata.
Memaparkan juga pahit maung seorang wanita bernama Raja Soffhilea yang telah menemui kegagalan dalam perkahwinan tetapi tabah mengharunginya demi kasih sayang mendalam kepada anak-anak, filem ini juga sarat dengan nilai feminisme.
Dalam pada itu, Eddie turut menjelaskan, menerusi Dimensi Cinta ia juga mengisahkan ketekunan seorang budak kampung, Imran yang merupakan seorang ahli perniagaan berjaya ketika berada di kampungnya.
"Cerita ini juga penuh dengan tekanan hidup. Imran telah ambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaannya lalu bertemu seorang gadis.
"Saat itu mereka telah menyimpan perasaan di antara satu sama lain setelah berkongsi perniagaan," cerita Eddie serba sedikit sinopsis filem terbarunya itu.
Begitu yakin dengan filem ini, Eddie menyifatkansubjek yang dipenuhi dengan elemen cinta ini mampu membuatkan penonton terpukau dengan jalan cerita yang disampaikan.
Tentunya cerita cinta dan kasih sayang bukan satu modal yang baru kepada banyak filem yang diterbitkan di negara ini. Terasa bagaikan tiada banyak keistimewaan jika melihat kepada jalan cerita Dimensi Cinta jika dibandingkan dengan banyak filem tempatan lain. Pun kepada Eddie, media atau penonton berhak membuat apa saja telahan terhadap filem yang menelan belanja 1.8 juta itu sebaik ia berada di pawagam.
"Kita tidak boleh menyekat persepsi setiap penonton. Masing-masing mempunyai kritikan tersendiri tetapi sekurang-kurangnya kita perlu berani mencuba dan menanggung risiko yang ada," akuinya dengan berani.
Pencarian Raja Soffhilea
Memulakan sesi pengambaran di sekitar ibu negara dan Kuala Terengganu pada 6 Februari depan, Dimensi Cinta sebenarnya masih mencari-cari siapakah pelakon wanita yang benar-benar layak memegang watak heroin menerusi filem ini yang akan digandingkan dengan Hairie Othman.
Penerbitnya, Raja Lela menyifatkan pemilihan untuk watak heroin bagi filem ini akan dipilih sebaik mungkin berdasarkan kepada beberapa faktor yang perlu dititik beratkan.
"Kita mahukan seorang pelakon yang sesuai dengan wajah dan penampilan wanita yang mempunyai anak berusia 16 tahun. Karakter yang perlu dibawa oleh pelakon ini juga mestilah berperwatakan seorang korporat.
"Jadi sebab itu kita masih mencari siapa yang benar-benar layak dan sesuai. Tetapi kami juga sudah ada beberapa calon-calonnya, namun kita perlu bincang terlebih dahulu sebelum kata putus dibuat," katanya lebih senang merahsiakan saja siapakah nama calon-calon pelakon yang telah dipilih setakat ini.
Namun, antara pelakon lain yang akan membintangi filem yang bakal ditayangkan pada tahun depan ialah Awie, Eman Manan, Mustapha Kamal, Catriona Ross, Abby Abadi, Rozita Che Wan, Linda Hashim, Sariyanti, Fahrin Ahmad dan Vanidah Imran.
credit : sinema Malaysia
[ Last edited by juliazafri at 26-12-2008 12:56 PM ] |
|