sellie003 posted on 20-7-2012 08:11 AM
Oh yg tuh bukan kerna gene ke jin ke genie ke...itu terlebih manja...salah mama papa dia bg di ...
Aiman Hakim, Antara Rupa, Bakat dan Glamor
Figura ini antara wajah baru yang mewarnai pentas seni lakon tanah air. Memiliki fizikal tinggi lampai, wajah tampan dan manis serta bakat yang ada menjadi pakej untuk dirinya melangkau lebih jauh. Setelah beberapa kali memujuk, Aiman Hakim Ridza, akhirnya bersetuju untuk mengabadikan wajahnya di muka depan MASKULIN edisi Aidilfitri. MENJEJAKI DIRI AIMAN
Bagi bukan kaki drama Melayu, mungkin tertanya-tanya siapa Aiman? Tetapi bagi peminat rancangan realiti televisyen Mentor dan peminat tegar drama bersiri Vanila Coklat, nama Aiman Hakim Ridza tidak perlu diperkenalkan lagi. Penulis yakin, ramai yang sudah tahu mengenai pengalaman Aiman sebagai seorang pemain bola sepak. Zaman remajanya dipenuhi dengan aktiviti sukan ini. Bukan setakat suka-suka bermain bersama teman, tetapi Aiman sememangnya serius. Kalau tidak serius, tidak mungkin dia berusaha sehingga ke peringkat pemilihan terakhir untuk ke Youth World Cup Under 17. Ketika itu, usianya baru menjengah 16 tahun. Ditanya mengenai pengalaman manisnya, Aiman tersenyum. Pengalaman bermain dan menjalani latihan di Bayern Munich adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan. Bermain di sana satu hal, tetapi paling tidak dapat dilupakan apabila dia berpeluang bermain dalam satu padang dengan nama-nama besar pasukan itu. Penulis terus menyoal Aiman, kenapa beralih arah dari seorang pemain bola sepak menjadi seorang penyanyi dan pelakon? “Gila glamor ke Aiman?” seloroh penulis. Sambil ketawa, dia menggeleng dan menjawab soalan tersebut. “Bukan sebab gila glamor. Ada sebabnya. Kalau ketika remaja, saya ingin menjadi seorang pemain bola sepak profesional. Tetapi ketika berusia 17 tahun, lutut saya mengalami kecederaan. Doktor dan pakar fisioterapi mengambil masa setahun untuk mencari punca dan jenis sakit tersebut. Disebabkan itu, saya terpaksa membuat pilihan sama ada menunggu lutut saya pulih atau meneruskan pelajaran dan saya memilih untuk menyambung pelajaran. Semasa masih study lagi, minat saya dalam bidang seni makin kuat. Tetapi disebabkan saya perlu fokus pada pelajaran, saya sekadar menganggap seni hanya untuk suka-suka atau mengisi masa lapang. Tetapi fokus pada pelajaran tidak semestinya membataskan saya untuk bekerja separuh masa bagi memenuhi iklan-iklan komersial”, jelas Aiman rancak memulakan kisah
perjalanan cita-cita dan minatnya. MENTOR BERI LALUAN KE DUNIA SENI
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Ketika dia masih bergelar pelajar dan pada masa yang sama pelakon iklan yang sedang baru merangkak naik, muncul pula program realiti televisyen Mentor. Aiman memberanikan diri untuk ke pra uji bakat rancangan tersebut yang disertai 200 orang peserta lain. Rezeki menyebelahinya apabila terpilih menjadi protégé kepada mentor, Rahim Maarof. “Menjadi protégé kepada seorang bintang dan boleh dikatakan sebagai lagenda rock bukanlah sesuatu perkara mudah. Pelbagai ilmu dan pengetahuan ditangguk sepanjang perkenalan antara saya dan Rahim Maarof. Dia seorang mentor yang sangat membantu dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu dari segi teknik nyanyian dan ilmu dalam dunia seni,” ujar Aiman. Walaupun Aiman tidak berada di pentas akhir rancangan realiti itu, Aiman tetap bersyukur kerana dia diberikan peluang untuk belajar benda baru yang mungkin hanya berlaku sekali dalam seumur hidup. Selepas tersingkir daripada cabaran di Mentor 4, Aiman mendapat tawaran berlakon di dalam drama Kitab Cinta arahan Erma Fatima. Dari situ Aiman mula bertatih di dalam dunia lakonan dan tidak lagi menoleh ke belakang. Bukan hanya kerana peluang yang diberikan kepadanya, sebenarnya keluarga Aiman sendiri yang turut giat melakukan aktiviti seni. Anak ketiga daripada empat orang adik beradik ini mengakui saudaranya yang lain turut mempunyai bakat terutamanya dalam bidang muzik. Minat terhadap lakonan pula timbul kerana bapanya sering membawa mereka adik-beradik menonton wayang dan menayangkan filem-filem yang mempunyai nilai daripada pelakon-pelakon hebat dalam dan luar negara. Dari situlah timbul rasa minat dan mendapat inspirasi daripada pelakon-pelakon hebat untuk melatih dirinya menjadi seorang pelakon. POPULAR KERANA VANILA COKLAT
Nama Aiman lebih meningkat naik dan dikenali selepas membawakan watak sebagai Aamir dalam drama bersiri Vanila Coklat. Ditanya bagaimana Aiman berjaya menghidupkan watak Aamir yang sedikit nakal dan playboy itu, ini jawapan Aiman. “Watak itu adalah rekaan semata-mata. Watak sebenar saya bukanlah seperti yang digambarkan dalam watak Aamir. Ia dicipta dan dipupuk dalam diri saya dengan bantuan serta kerjasama daripada banyak pihak termasuklah pengarah, krew, serta gandingan saya dalam Vanila Coklat, Izara Aisyah. Mungkin ramai yang nampak watak itu hidup. Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan, ada juga yang memberi kritikan. Itu semua saya terima untuk mempertingkatkan mutu lakonan. Sejujurnya bagi menghidupkan watak Aamir, saya banyak melihat persekitaran. Dalam kata lain, saya seorang observer. Bagi saya semua orang adalah pelakon di pentas dunia”, jelas Aiman. Sebagai pelakon, pasti mereka mempunyai keinginan untuk melakonkan watak-watak tertentu serta menanam impian menjadi pengarah suatu hari nanti. Begitu juga halnya dengan Aiman. Apakah watak dan genre pilihannya?. “Watak yang lain dari yang lain. Saya teringin untuk membawakan watak pelik seperti Johnny Depp dalam filem Edward Scissorhands. Selain dari itu, saya juga inginkan watak yang lain daripada karakter sebenar saya iaitu watak yang bermula dari kosong dan saya perlu berfikir untuk bawakan watak itu. Pasti ia mampu memberikan impak kepada para penonton. Kalau sebagai pengarah pula, saya ingin mengarahkan sebuah filem yang lebih pada sains fiksyen tetapi masih menonjolkan nilai-nilai keagamaan. Untuk pengetahuan saudara, saya sebenarnya bercita-cita untuk berlakon dan bergandingan dengan pelakon tersohor negara iaitu Bront Palarae dan Umie Aida. Kedua-dua mereka mempunyai aura dan karisma tersendiri. Seperti Umia Aida, lakonannya sentiasa punya jiwa dan memberikan impak besar kepada penonton. Bront pula bagi saya adalah seperti Umie Aida, versi lelaki. Dia mampu membawakan karakter yang diberikan dengan baik serta mampu menonjolkan kelainan dalam setiap watak,” tambah Aiman lagi.
Credit : Maskulin Mag
|