|
Tonton Video Klip Mawi, Stacy, Hafiz dan Akim Hari Ini
Berada di pentas hiburan dengan hanya album atau single, tidak lagi mencukupi untuk seorang artis menarik perhatian peminat-peminatnya. Pelbagai strategi dan usahasama perlu difikirkan jika seseorang artis mahu kedudukan dirinya terus unggul, popular, mengatasi barisan penyanyi sedia ada. Selain vokal atau audio, visual juga tidak kurang pentingnya dalam membantu memperkukuhkan ingatan pendengar terhadap penyanyi dan lagu dendangannya.
Menurut Pengurus Artis dan Strategi, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), Norizan Abu Samah, menerbitkan muzik video untuk lagu-lagu terbitannya adalah satu pelaburan.
”Bersandarkan formula audio-visual itu, AESB menerbitkan klip muzik video untuk 4 artis di bawah naungannya, mempertaruhkan lagu-lagu yang bakal atau telah menjuarai carta stesen radio tempatan. Kelebihan AESB adalah keupayaan menayangkan muzik-muzik video artisnya, di pelbagai saluran Astro dengan kekerapan berjadual. Pendekatan ini membantu memanjangkan hayat populariti lagu-lagu artis berkenaan berbanding tanpa diiringi sebarang muzik video,” terang Norizan.
AESB akan melancarkan klip muzik video bintang-bintang kelahiran program realiti popular Akademi Fantasia menerusi slot “Tayangan Perdana Muzik Video Terkini”. Artis-artis berkenaan adalah Mawi, Stacy, Hafiz dan Akim. Tayangan Perdana Muzik Video Terkini bakal ke udara pada Jumaat, 14 Ogos 2009, pukul 10.00 malam di saluran Ria (saluran 104, Astro) dan saluran interaktif @15.
Menerusi slot 30 minit tersebut, Mawi akan menemui peminat-peminatnya menerusi klip video Sujud, ciptaan dan lirik oleh Edry. Pernah berada di antara kedudukan teratas carta radio tempatan, muzik video lagu bergenre nasyid moden ini diterbitkan secara usahasama di antara AESB dan KRU. Bersesuaian dengan lirik berkonsepkan ketuhanan dan puji-pujian, muzik video Sujud banyak memberi fokus kepada keindahan alam, keluasan langit bagai tanpa garisan penghujung, yang mengambarkan kerendahan hati manusia kepada penciptaNYA.
Video seterusnya milik Stacy yang dikenali dengan kelincahan showmanship atau geraktarinya ketika berada di pentas. Video lagu Pakai Buang ciptaan dan lirik oleh Edry KRU adalah single ketiga dari album pertamanya, ”Aku Stacy”. Walaupun album ini telah berada di pasaran sejak Januari 2009, Pakai Buang masih sering diputarkan di stesen-stesen radio dan menjadi lagu pilihan penganjur-penganjur konsert. Muzik video Pakai Buang terbitan AESB menonjolkan kelebihan Stacy menari dengan penuh bertenaga, melahirkan perasaan memberontaknya terhadap sang kekasih yang tidak setia, sesuai dengan lirik lagu tersebut. |
|