Dek penangan drama itu jugalah telah membuatkan dirinya meraih pelbagai anugerah hingga berjaya mengangkat namanya sebaris dengan pelakon lain.
Dia juga boleh tersenyum selesa selepas bakatnya telah diterima sebahagian kelompok peminatnya sendiri. Begitu hebat penangan drama yang menjadikan Zara sebagai heroin bergandingan dengan pelakon lelaki Azlee Khairi.
Tetapi, mengikut resmi hidup yang ibarat roda ini, tak selamanya kita berada di atas, ditambah lagi jika bergelar anak seni yang saban hari pasti akan ada muka baharu antaranya Ayda Jebat, Atika Suhaime, Amyra Rosli dan banyak lagi berjaya mewarnai persada seni tempatan.
Pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd. Zainuddin ini turut menerima tempias yang sama kerana gadis bertubuh genit ini akui kurang menerima publisiti tetapi itu tidak bermakna dia terus senyap.
Kata Zara, biarpun kini semakin banyak pelapis baharu dapat dilihat di segenap medium media, dia bagaimanapun tidak sedikit pun berasa tergugat dan tidak menganggap mereka sebagai saingan sebaliknya dia berasa senang melihatkan peningkatan positif dari pelakon baharu.
“Hidup ini macam roda, kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang juga kita berada di bawah. Tak selamanya kita akan berada di puncak sahaja. Sesekali itu mungkin kita akan rasa duduk di bawah.
“Bukan saya seorang yang pernah rasa fasa ini, rasanya ramai lagi pelakon lain pernah rasai benda sama. Cumanya, mungkin tahun ini rezeki orang lain pula.
“Kalau mengulas mengenai pengiktirafan pula, saya sudah pernah memenangi anugerah yang selama ini saya idamkan tahun lalu. Jadi tak salah pun kalau kita bagi orang lain rasa pula,” katanya yang pernah memenangi enam anugerah dari pelbagai majlis penganugerahan.
Dia turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan jika dirinya kini sudah tiada tawaran lakonan hingga membuatkan popularitinya kian merudum.
“Walaupun wajah saya kurang dilihat di televisyen, tetapi Alhamdulillah tawaran berlakon tak pernah putus. Sekarang ini pun saya semakin sibuk di lokasi penggambaran yang akan disiarkan pada bulan Ramadan nanti untuk slot Samarinda berjudul Hidayahmu.
“Bulan ini juga drama lakonan saya bersama Aaron Aziz Dan Calonnya Adalah untuk siaran Tonton online. Mungkin kesibukan saya dengan kerja buatkan orang tak perasaan tentang kewujudan saya,” ungkapnya. - Gambar NUR AISYAH MAZALAN
Suka lelaki persis Adi Putra
Menyusuri kisah peribadinya, jika wanita seusianya sudah berumah tangga dan berkeluarga tetapi Zara, 30, bagaimanapun tidak menganggap itu sebagai batu penghalang untuk dia meneruskan hidup biarpun berstatus solo.
Jelas anak bongsu daripada empat orang beradik ini, dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan cerita tentang lelaki atau lebih tepat lagi soal teman hidupnya.
“Buat masa ini saya lebih selesa untuk cari duit dulu bagi dekat keluarga dan kemudian barulah fikirkan soal cinta.
“Saya masih belum bersedia untuk berfikir ke arah itu (kahwin) biarpun di usia saya sekarang ini memang sudah patut berkeluarga. Fokus saya lebih kepada kerjaya dahulu,” lembut bicaranya.
Menurut Zara, dia mahukan lelaki yang mempunyai ciri-ciri seperti aktor terkenal Adi Putra dan mempunyai karakter yang sedikit garang dan kemas.
“Sebenarnya lelaki yang garang ini dalam hati mereka baik. Kalau kita nilai dari segi luaran sahaja, memanglah selamanya kita akan cakap orang seperti itu garang dan tidak mudah mesra. Saya pun bukan jenis yang memilih lelaki. Pastinya saya suka lelaki Melayu, tetapi itu bukan jaminannya. Segalanya telah ditetapkan Tuhan dan saya terima sahajalah.
“Saya impikan lelaki seperti Adi Putra sebab waktu pertama kali saya berlakon dengannya untuk drama Zahira, saya memang takut-takut bila produksi cakap saya akan digandingkan dengan dia.
“Adi kalau dari luaran kita tengok sebagai seorang pelakon senior yang banyak pengalaman dan wajahnya agak serius ditambah lagi watak dalam cerita itu pun agak menakutkan juga.
“Tapi lama-kelamaan bila kami sudah serasi dalam set penggambaran, Adi seorang yang sangat cool dan sangat tak lokek berkongsi tentang dunia lakonan,” katanya yang turut membintangi filem Rembat arahan Shamly Othman yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
Antara produk makanan dan kecantikan
Bagaikan satu trend pula apabila melihat kebanyakan selebriti tanah air kini berjinak-jinak dengan perniagaan. Pantang ada sahaja ‘lubang’ untuk berniaga, pasti akan disahutnya.
Tapi jika difikirkan demi masa depan, sebenarnya bidang perniagaan ini sangat membantu pendapatan para peniaga dan mampu beri pulangan lumayan pada mereka yang sabar dalam berjualan.
Minat berniaga yang dipupuk sedari kecil lagi buatkan wanita kelahiran Lenggong, Perak ini bersemangat untuk meneruskan perniagaan produk makanan yang diusahakan oleh keluarganya.
“Dalam pada saya sibuk berlakon, saya ada usahakan perniagaan keluarga yang menjual aneka biskut, sambal bilis dan sambal penyet. Saya ligat buat jualan perniagaan ini sebab dari kecil memang minat berniaga.
“Berniaga ini sebagai jangka masa panjang dan kalau lakonan pula saya tak boleh nak tunggu lama sangat kan. Nak bina perniagaan ini bukannya benda yang boleh dipandang remeh. Banyak benda kita perlu fikirkan untuk pastikan apa yang kita jual dapat tarik pelanggan,” tuturnya yang turut menjual tudung dengan jenamanya sendiri.
Berceloteh panjang lebar, Zara juga tidak keberatan untuk berkongsi perancangannya yang bakal mengeluarkan satu produk kecantikan menggunakan jenana Miss Zara tidak lama lagi.
“Produk Miss Zara ini terdiri daripada produk penjagaan kulit dan kecantikan yang mengandungi BB Cream, Serum dan pencuci muka.
“Dalam pada cuaca yang tak menentu ini, memang kita kena titik beratkan penjagaan kulit wajah untuk sentiasa kekal awet muda,” katanya.
Ketika ditanya, apakah mungkin perancangannya yang mahu memperluaskan empayar perniagaan itu dipengaruhi dari sesetengah selebriti yang kini semakin ligat mengeluarkan produk kecantikan sendiri dan mungkinkah persaingan sengit itu menyukarkan dirinya untuk menjual produknya nanti.
“Saya tak ikut sesiapa pun bila nak keluarkan produk kecantikan ini. Ia datang dengan niat saya sendiri sebab tujuannya nak pelbagaikan lagi produk perniagaan saya.
“Kalau nak ulas pasal persaingan, saya rasa benda-benda macam ini menyihatkan untuk peniaga-peniaga macam kami lebih semangat nak jual produk sendiri,” jelasnya.