1. Lewis Hamilton Britain Vodafone McLaren Mercedes-Mercedes 58 laps 01:34:50.616
2. Nick Heidfeld Germany BMW Sauber F1 Team-BMW +5.48
3. Nico Rosberg Germany AT&T Williams-Toyota +8.16
Kedah kukuh cengkaman liga
Oleh Fazallah Pit, M Hifzuddin Ikhsan, Rizar Mohd Nor, Bashah Zainol Abidin, Hamid Salleh dan Kamudin Baharom
Belasah DPMM 4-1 sementara Selangor terus menghambat selepas menang di Kangar
CENGKAMAN Kedah di persada Liga Super bertambah kukuh selepas mengatasi DPMM FC 4-1 pada saingan Liga Super di Stadium Darulaman malam tadi tatkala Selangor terus menghambat.
Kedah yang kini mengumpul 47 mata selepas 19 perlawanan, hanya memerlukan dua minit untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan pemain sayap Badrol Bakhtiar daripada sebelah kiri pintu gol DPMM, hasil hantaran Fadly Bahrom.
Belum sempat pelawat bangkit, Badrol sekali lagi merobek gawang pelawat pada minit ke-29 apabila meledakkan sepakan kencang daripada sebelah kiri yang gagal diselamatkan penjaga gol DPMM, Mohd Wardun Yussof.
Selepas membantu Badrol menjaringkan gol pembukaan, Fadly mengambil giliran untuk gol ketiga tuan rumah pada minit ke-38 sebelum DPMM merapatkan jurang menerusi jaringan Didier Belibi, dua minit sebelum tamat babak pertama.
Tuan rumah melengkapkan kemenangan selesa menerusi Marlon Alex James pada minit ke-83.
Di Stadium Utama Kangar, dua jaringan Frank Seator pada minit ke-32 dan 44 hasil hantaran Elie Aiboy, membantu Selangor kekal mengekori Kedah selepas menewaskan Perlis 2-0.
Di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Pahang menewaskan Terengganu 2-1 dalam pertembungan dua jiran Pantai Timur dengan Hairuddin Omar memastikan barisan Zainal Abidin Hassan menggegar pada minit ke-39 dan pada masa kecederaan selepas Norfarhan Mohamad memadam pendahuluan pelawat pada minit ke-72.
Di Stadium Sarawak, Perak gagal merapatkan kedudukan dengan Kedah dan Selangor apabila sekadar seri 1-1 dengan tuan rumah selepas Sarawak membuka jaringan menerusi kapten pasukan, Ahmad Shahrul Azhar pada minit kelapan sebelum Nyom Nyom Aloys menyamakan kedudukan pada minit ke-58.
Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, hasrat Johor untuk mengukuhkan kedudukan tidak kesampaian selepas dikejutkan Negeri Sembilan 2-4.
Gol pelawat dijaringkan S Kunalan (minit ke-43), Udo Fortune (78, 84) dan Aidil Zaquan Abdul Radzak (90) sementara jaringan tuan rumah dihasilkan menerusi penalti Walter Silva pada minit ke-89 dan Gustavo Fuentes, tiga minit selepas masa tambahan kecederaan.
Di Stadium Bandaraya, jaringan hatrik Norshahrul Idlan Talaha membantu UPB-MyTeam menewaskan Pulau Pinang 4-2.
Pelawat memperoleh jaringan menerusi Norshahrul Idlan (3, 5 dan 49) selain Sasa Branesac pada minit ke-62, manakala dua gol tuan rumah menerusi Chun Keng Hong (7) dan Alex Cabrera (74).