|
Utara: Pantai sepi
Kedai makan di kawasan sekitar tunggu masa tutup
BUTTERWORTH: Pantai Robina, Teluk Air Tawar, di sini yang sebelum ini 'meriah' terutama waktu malam, kini bertukar sepi hingga turut menjejaskan peniaga Medan Selera Taman Robina.
Daripada 14 lot gerai yang dibuka sejak lebih lapan tahun lalu, hanya tinggal tiga peniaga yang masih bertahan berikutan penurunan mendadak kedatangan pelanggan ke situ sejak kebelakangan ini.
Beberapa peniaga yang tidak mampu menjelaskan sewa sebanyak RM120 sebulan kepada Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), akhirnya mengambil keputusan menghentikan operasi, selain ada yang mencari pekerjaan lain.
Seorang pengunjung, Roslan Ahmad, 40, berkata dia terkejut dengan keadaan di sekitar Pantai Robina yang sebelum ini dipenuhi pengunjung, tetapi kini sepi.
"Tempat ini yang memang cantik selain lokasi tepi laut, tidak sepatutnya terbiar begitu saja. Pihak berkaitan perlu membuat sesuatu supaya kawasan ini kembali menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang," katanya.
Tinjauan Berita Harian mendapati selain kekurangan pelanggan, kawasan sekitar medan selera berkenaan juga kelihatan tidak terurus dengan khemah terbiar akibat dipukul angin kencang, manakala kerusi dan meja dipenuhi najis burung gagak.
Seorang peniaga, Juriah Saad, 50-an, berkata dia adalah antara tiga peniaga terawal yang masih bertahan, tetapi hanya menanti masa untuk 'gulung tikar' kerana kekurangan pelanggan.
Katanya, dia kini bukan saja sukar mendapat pelanggan, malah terpaksa mengeluarkan modal sendiri bagi menjelaskan sewa bulanan.
"Sebelum ini saya kehabisan beribu ringgit untuk memasang 'jeriji bagi mengelakkan kecurian, terutama sinki dan bekas aluminium.
"Sekarang hendak dapat seorang pelanggan pun susah, malah kadang kala tiada pelanggan langsung. Mungkin selepas ini saya terpaksa 'bercuti' dan menjaga cucu kerana tidak mampu bayar sewa," katanya.
Juriah berkata, keadaan sekitar medan selera seperti tidak terurus dengan dahan pokok tumbang tidak dibersihkan, tandas kotor selain lampu tidak berfungsi waktu malam.
"Kekurangan promosi antara sebab pelanggan semakin kurang. Sebelum ini ramai yang datang kerana ada pantai, tetapi sekarang tidak lagi sebab dipenuhi selut dan pokok api-api," katanya.
Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian |
|