BEKAS suami Yatt Hamzah, Abdul Mutalib Abdul Shukor.
KUALA LUMPUR: Sehari selepas Yatt Hamzah, 36, mengumumkan bakal bernikah dengan juruvideo berusia 10 tahun lebih muda, bekas suami pelakon itu, Abdul Mutalib Abdul Shukor, tampil meluahkan apa yang terbuku dalam hati.
Andai Yatt pernah menafikan bakal suami, Mohammad Zulfadhli Khiruddin sebagai punca runtuhnya mahligai yang dibina bersama Abdul Mutalib, bekas suaminya pula mendedahkan perkara sebaliknya.
"Mengenai bakal suami Yatt yang didakwa sebagai 'orang ketiga' dalam khabar angin perceraian kami, saya sama sekali tidak menafikannya.
"Bagaimanapun, saya sudah lama memaafkan mereka. Saya mendoakan yang baik-baik untuk mereka.
"Saya rasa berdosa mengiyakan secara langsung dengan menidakkan kebenaran yang nyata. Saya seperti bersubahat menipu masyarakat. Cukuplah komen saya mengenai hal ini," katanya kepada BH Online.
Abdul Mutalib menambah, dia tidak terkejut dengan berita perkahwinan Yatt dan Mohammad Zulfadhli.
"Seperti yang dijangka, saya tidak terperanjat dan terima berita itu dengan hati terbuka. Saya berdoa segala-gala dirancang berjalan lancar dan jodoh baharu Yatt kekal.
"Saya juga berharap Yatt hormat, jujur dan taat kepada suami baharunya dan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada anak kami, Suci Hanania Malikka," katanya.
Yatt atau nama sebenarnya, Haryati dan Abdul Mutalib, 36, bernikah pada 29 Mac 2009. Mereka berpisah, Ogos tahun lalu.
Yatt dijangka bernikah dengan Mohammad Zulfadhli pada jam 8 pagi di sebuah masjid di Shah Alam pada 27 Februari ini.
Tanpa majlis persandingan, Yatt menganjurkan jamuan makan sempena hari jadi Suci Hanania yang genap enam tahun pada hari sama.