tak tau ms brp saya baca petikan online aje
“Selamat pagi encik! Ada apa yang boleh saya bantu?” Kataku apabila melangkah masuk ke dalam penthouse. “Morning sayang, sayang yang belikan semua ni kan?” Tanya Mr. F dengan nada lembut sambil menundingkan jarinya ke arah sayur-sayuran dan buah-buahan yang terdapat di atas meja. Sayanggggg?!! Sah Mr. F memang dah salah makan ubat! Melihat wajahnya yang masih tersenyum memandang ke arahku membuatkan debaran di dada semakin bertambah. Aduh, mahu pengsan aku pagi-pagi begini. Jangan-jangan apa yang dikatakan pakcik semalam itu benar belaka. Perasaan benci Mr. F kepadaku sudah bertukar menjadi sayang. Mr. F nampaknya telah dengan jayanya menjadi lelaki pertama dalam hidupku yang memanggilku sayang. Ini juga akan kucatatkan di dalam diari nanti. Panas terasa di muka saat ini. Pastinya mukaku sudah sedikit kemerahan. Degupan jantung pula semakin laju. Rasanya inilah pertama kali suaranya kudengar selembut ini ketika bercakap denganku. Romantiknya. Hatiku pula berbunga-bunga apabila pandangan matanya yang lembut itu menyapa wajahku. “Er..ni semua untuk encik. Sayur dan buah baik untuk kesihatan kerana mengandungi pelbagai jenis vitamin.” Ujarku malu-malu. Hish! Kenapalah dia panggil aku sayang? Mahu tak tidur aku malam ni kerana gila bayang. Noorul! Apa yang kau mengarut ni???! Fokus! Fokus! “Masalahnya, abang tak makan sayur dan buah ni. Nah. Sayang boleh ambil semua sekali.” Katanya yang memasukkan sayur bayam, sawi, dan beberapa jenis sayuran hijau lain serta beberapa jenis buah yang kubeli semalam ke dalam beg plastik. Sayang lagi?? A..a..a..bang??? Sabar, Noorul, jangan pengsan pulak kat sini. Aku sudah menjadi terlalu segan untuk memandang ke arahnya. Pandangan kuhalakan ke arah sayur-sayuran di tangan Mr. F. Kenapa si Haikal tidak beritahu yang abangnya tidak makan sayur-sayuran ni? Mungkin dia tidak tahu kot. “Eh, tak apa lah encik. Susah-susah saja nak bagi saya semua ni. Encik je lah yang makan..” Kataku dengan tenang, cuba untuk menyembunyikan debaran di dada sambil memandang ke arah 3 bungkusan beg plastik yang berisi sayur dan buah di hadapanku. Tapi, kalau dia paksa juga aku mengambilnya, tidak salah kalau aku bawa balik semua ni kan? “Eh..mana ada susah, sayang..ambil ni..” Katanya dengan senyuman sambil merapatkan diri ke arahku. Jantungku hampir gugur apabila lengannya tersentuh lenganku. “Kalau macam tu, terima kasih ye.” Kataku yang menjauhi lelaki itu sedikit sambil mengambil huluran plastik yang berisi buah dan sayur di tangannya. “Abang dah bayarkan harga semua barang-barang ni kat sayang semalam kan?” Tanya majikanku itu lagi sambil tersenyum. Tampan! Mungkin penyakit senyum Haikal sudah berjangkit kepada Mr. F. “Ye encik..” Jawabku lembut. Kalau hari-hari dia sebaik ini, pasti aman hidupku. Mesti buat kerja pun sambil tersenyum. Teruk kan aku ni? “Bagus. Semua sayur dan buah dalam beg plastik tu berharga RM 50.00. Abang akan tolak dari gaji awak nanti, ye sayang!.” Katanya lagi. Aku pula seperti baru bangun dari tidur cuba untuk memahami apa yang dikatakannya itu. Aduh, dah kuagak perangai jembalang berkepala manusia di hadapanku ini tidak akan berubah punya. “Erk..encik..saya tak jadi ambillah sayur dan buah ni..” Kataku yang meletakkan kembali sayur dan buah ke atas meja. RM 50.00, mahalnya! Geram kerana dipermainkan oleh si jembalang ini membuatkanku menolak dengan kasar plastik berisi sayur itu ke arahnya. “Habis tu! Saya juga tak makan semua sayur-sayur dan buah yang awak belikan ni. Saya tak peduli, awak ambil ke tak, saya akan tetap tolak dari gaji awak.” Tengkingnya. Ha, ini baru Mr. F yang sebenar. Bagaimanalah aku boleh tertipu dengan gayanya tadi. Hantu betul!
|