FAHRIN AHMAD : HATI BELUM TERISI
Oleh : Oleh Syanty Octavia Amry
Jarang muncul di kaca televisyen, pelakon kacak Fahrin Ahmad mengakui selesa bergelar pengacara ketika ini. Apatah lagi menjelang Ramadan beberapa hari lagi dia memilih untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga tercinta di samping mengerjakan solat terawih bersama-sama.
Ditemui pada majlis pelancaran Cherita Di Pagi Raya Habib Jewels baru-baru ini, Fahrin yang kelihatan segak berbaju Melayu mengakui gembira dengan kehidupan yang dilalui kini meskipun sedar hatinya masih kosong belum terisi.
“Kehidupan yang dilalui mengajar saya menjadi lebih matang, walaupun mengakui kadang kala cemburu melihat teman sekolah dan kawan-kawan sebaya sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak kematangan membuatkan saya lebih kuat.
“Kadang kala saya seperti tiada perasaan apabila melihat semua itu mungkin disebabkan kesibukan kerja sebagai pelakon juga menjadi salah satu sebab mengapa saya tidak terlalu memikirkan soal cinta. “Apa yang penting sekarang keutamaan adalah kerja selain menghabiskan masa bersama kedua-dua ibu bapa di Skudai, Johor. Lagipun ibu saya sakit sekarang dan terpaksa bergantung pada kerusi roda,” katanya.
Fahrin yang hadir sebagai pengacara majlis pada hari berkenaan turut diapit barisan artis jelita seperti Fouziah Gous, Nabila Huda dan Maria Farida yang turut memperagakan koleksi terbaru Habib sempena Hari Raya tidak lama lagi.
Antara koleksi yang diperkenalkan ialah Oro Italia 916, Arabesque yang menampilkan rekaan Islamik terbaik dan koleksi batu permata pelbagai warna yang diikat dengan paladium khusus untuk lelaki. Hadir sama melancarkan koleksi Hari Raya berkenaan ialah Pengarah Urusan Habib, Datuk Meer Habib dan isteri.
Berkongsi sambutan Ramadan tahun ini, Fahrin berkata, banyak tawaran berlakon yang terpaksa ditolak dan ada dalam pertimbangan lagi.
“Kerap menerima jemputan sebagai pengacara majlis membuatkan saya selesa untuk memberi fokus dalam bidang ini. Bukan tidak mahu berlakon tetapi apabila tibanya Ramadan saya lebih suka berehat dan menghabiskan masa solat terawih dan berkumpul bersama keluarga.
“Lagipun menjadi pengacara tidak mengambil masa lama berbanding berlakon berhari-hari saya akan berada di lokasi justeru banyak tawaran yang terpaksa dipertimbangkan.
“Selepas raya ada juga beberapa tawaran berlakon diterima namun saya masih belum memberikan sebarang jawapan. Bukan tidak mahu aktif berlakon tetapi untuk beberapa bulan ini saya ingin berehat sebentar dari bidang lakonan dan memberi fokus pada pengacaraan yang sekarang cukup selesa untuk saya,” katanya.
Selain aktif mengacara, Fahrin turut mengakui aktif menjadi penceramah sambilan dengan berkongsi pengalaman sebagai pelakon melalui aspek pembangunan sahsiah dan personaliti dandanan yang harus diambil kira sebagai seorang pelakon.
Masih kekal sebagai duta produk Garnier dan Shell, Fahrin turut disunting menjadi duta produk Ali Cafe yang mana iklan membabitkan Fahrin akan dikeluarkan tidak lama lagi. KREDIT : hmetro.com.my
Cc @outcast Last edited by adeqo on 7-7-2013 02:46 PM
|