Lagu untuk Siti Nurhaliza
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
[email protected]
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR
Nama Nik Nizam Jaafar atau lebih mesra dengan sapaan Nizam, sememangnya kurang dikenali di persada muzik arus perdana tanah air.
Tidak kira sama ada di kalangan penyanyi tempatan atau pun penggiat seni muzik, mungkin hanya segelintir sahaja yang mengenalinya. Itu pun jika mereka pernah bekerjasama dengan komposer yang berusia 41 tahun ini.
Jadi, siapakah Nizam ini yang memasang cita-cita untuk bekerjasama dengan diva nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza? Apakah kelayakannya?
Untuk menjawab persoalan itu, sebenarnya, penggubah skor muzik yang bertugas di Istana Budaya ini agak cemerlang selaku komposer. Pelbagai kejayaan telah dilakarnya.
Mengimbas kembali kejayaannya pada 2007, lagu ciptaannya, Malaysiaku Gemilang berjaya dipilih sebagai lagu tema sempena menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-50.
Sekali lagi kejayaan berjaya dicatatnya pada 2009 apabila lagu rasmi 1Malaysia gubahannya menjadi pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, individu yang bertanggungjawab memperkenalkan gagasan tersebut.
Dengan kecemerlangan yang direkodkannya itu, pasti ramai yang beranggapan bakat Nizam hanya tertumpu kepada lagu bergenrekan patriotik.
Sebaliknya, Nizam turut berkebolehan mencipta lagu-lagu komersial seperti pop, balada dan juga etnik kreatif.
Faktanya, lagu Hantaran Hati nyanyian Bob dan Allahyarham Rosiah Chik berjaya layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-21 (2006).
Bukan itu sahaja, beberapa artis kelahiran Akademi Fantasia seperti Khai, Zahid, Mila, Faizal, Stacy, Hafiz dan Shahir pernah menyanyikan beberapa lagu raya ciptaannya yang bertajuk Wal Hidayah Aidilfitri dan Impian Syawal.
Dengan rekod yang Nizam miliki, dia yakin hasratnya untuk menggubah lagu berentak irama Malaysia buat penyanyi kesayangan ramai itu mampu tercapai sekiranya Siti memberi peluang kepadanya. Tambahan pula, dia percaya Siti juga berkeinginan untuk kembali menyanyikan lagu bergenre sebegitu.
Jelas Nizam, dia sudah pun menyediakan lebih daripada 10 buah lagu yang digubah khas untuk penyanyi yang juga usahawan kosmetik itu.
"Saya tahu ramai komposer yang mempunyai hasrat sama untuk membuat lagu untuk Siti.
"Tapi tidak salah sekiranya saya mencuba nasib. Cukup bertuah jika Siti bersetuju. Tapi saya tidak akan kecewa sekiranya Siti menolak permintaan itu," luahnya mengutarakan hasrat yang terpendam sekian lama.
Untuk merealisasikan impiannya, Nizam akan mengatur satu pertemuan dengan penyanyi tersohor itu untuk memperdengarkan lagu-lagu ciptaannya.
"Saya akan hubunginya dalam masa terdekat untuk mengadakan sesi pertemuan dengannya jika Siti sudi.
"Saya harap ia akan berjalan dengan lancar," katanya yang pernah bekerjasama dengan Siti dalam beberapa projek khas ketika lagu Balqis dan Ya Maulai hit suatu ketika dahulu
SUMBER: UTUSAN
P/S: hmmm 2 album pada 2011... best jugak.. tapi boleh ke?? tk padat ke jadual? promosi kene buat besar besaran nih.... kot kot buat double album? tah lah.. jawapannya ada pada SNP..... kita hanya mampu menunggu dan membeli... 
(dalam hati, best jugak nih... ada dua album dalam tangan)