CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12
Return to list New
Author: mbhcsf

Insan Yang Memanfaatkan Umat : Imam Al - Ghazali - Updated article - 3

[Copy link]
 Author| Post time 19-3-2018 06:35 PM | Show all posts
Setelah mengajar selama empat tahun, pada tahun 488H/1068M, al-Ghazali meninggalkan dunia akademik atas alasan berhadapan dengan pelbagai konflik dalaman (skeptik dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki) dan luaran (penghargaan yang diterimanya termasuk memperoleh kedudukan sebagai pensyarah kanan universiti). Keadaan ini diceritakan sendiri oleh al-Ghazali mula berlaku pada awal bulan Rejab 488H:

“..I was continuously tossed about between the attractions of wordly desires and the impulses towards eternal life. In that month the matter ceased to be one of the choice and became one of compulsion. God caused my tongue to dry up so that I was prevented from lecturing. One particular day I would make an effort to lecture in order to gratify the hearts of my following, but my tongue would not utter a single word not could I accomplish anything at all.”[9]

Beliau kemudiannya meninggalkan Baghad mengasingkan diri selama 10 tahun, termasuk dua tahun memencilkan diri ke Damsyik, Syria. Kisah pengasingan diri itu diceritakan seperti berikut:

“In due course, I entered Damascus, and there I remained for nearly two years with no other occupation than the cultivation of retirement and solitude, together with religious and ascetic exercises, as I busied myself purifying my soul, improving my character and cleansing my heart for the constant recollection of God most high, as I had learnt from my study of mysticism. I used to go into retreat for a period in the mosque of Damascus, going up the minaret of the mosque for the whole day and shutting myself in so as to be alone…I continued at this stage for the space of ten years, and during this period of solitude there were revealed to me things innumerable and unfathomable.”[10]
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-3-2018 06:35 PM | Show all posts
Keadaan ini menggambarkan bahawa al-Ghazali sebenarnya tidak pernah berhenti untuk mencari kebenaran. Sikap tersebut telah diakui bermula sejak kecil lagi dan perubahan itu menjadi begitu ketara selang dua puluh tahun: ketika berumur 20 tahun beliau mengambil keputusan berkahwin; dan ketika menghampiri tempoh dua puluh tahun kedua membuat keputusan meninggalkan dunia akademik. Atas keyakinannya untuk mencari kebenaran, oleh kerana berlakunya pertembungan antara keraguan dan syak terhadap kepercayaan terhadap bentuk pemikiran, hampir semua bidang ilmu dikajinya, termasuk pelbagai aliran falsafah sama ada yang tidak percayakan Tuhan (zindik) ataupun ilmu yang bersandarkan kepada akal.[11] Ketika pengasingan tersebut, al-Ghazali sebenarnya meneruskan pengembaraan mencari ilmu, dengan merantau ke beberapa tempat untuk berguru dengan ulama’-ulama’ sezamannya. Meskipun semasa berada di Baghdad dan sudah bergelar professor misalnya, al-Ghazali masih merasakan dirinya serba kekurangan, sedangkan dalam sesetengah keadaan telah berjaya mengalahkan kedudukan pembesar, pemimpin-pemimpin tersohor (darul khifalah) dan para ulama’.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-3-2018 06:35 PM | Show all posts
Al-Ghazali juga pernah dilantik sebagai Imam Iraq selepas Imamah Khurazan yang tsiqah iaitu Abdul Ghafir.[12] Kesan dari sikap skeptiknya, setelah melakukan pengasingan selama sepuluh tahun, al-Ghazali sebenarnya memperoleh pengetahuan yang jelas mengenai ilmu-ilmu halus (ad-Daqiqah) yang menyebabkan perubahan besar dalam dirinya. Kemuncak kepada perubahan itulah akhirnya al-Ghazali berjaya menyusun kitab Ihya Ulumudin[13] dan kitab-kitab yang diringkaskan seperti al-Araba’in dan risalah-risalah yang lain. Bagaimanapun penerbitan kitab Ihya Ulumudin itu di sebalik mendapat pujian yang tinggi, turut dikecam atas alasan penggunaan hadits-hadits oleh al-Ghazali dikatakan tersangat lemah, kerana beliau banyak mengambil hadits-hadits daif. Menurut Hamka, hal ini berlaku disebabkan al-Ghazali bukanlah seorang yang mendalami bidang hadits, bagaimanapun kesan yang ditinggalkan oleh kitab ini amat besar kepada manusia kerana al-Ghazali telah berjaya mengembalikan jiwa agama dalam diri orang Islam yang sudah mula terjebak dalam pelbagai aliran pemikiran yang berdasarkan ketakjuban ilmu rasional atau ilmu Kalam.[14] Bagaimanapun, kelemahan dan serangan yang pernah dilakukan ke atas kitab tersebut akhirnya dapat dimaafkan setelah ramai para ulama’ mengiktiraf Ihya Ulumudin sebagai sebuah kitab terbaik.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-3-2018 06:36 PM | Show all posts
Menurut al-Subki, kalaulah orang Islam tidak mempunyai buku lain selain buku Ihya Ulumudin, itu sudah memadai dan al-Nuri pula berpendapat, “buku Ihya Ulumudin hampir menjadi al-Qur’an. Abdullah al-Yafi menjelaskan, seorang ulama’ terkenal dari Maghribi, Abu Hasan Ali bin Hadzam amat membenci dan mengingkari kitab ini. Ia memerintahkan agar kitab ini dibakar. Pada suatu malam, Ali bin Hadzam bermimpi bahawa seolah-olah beliau memasuki ke dalam masjid, di situ ternampak Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar as-Siddik, Umar al-Khattab dan al-Ghazali. Kesemuanya berada di sekeliling Nabi Muhammad SAW. Dalam mimpi tersebut, beliau melihat Nabi Muhammad SAW, para sahabat terdekat membenarkan isi kitab Ihya Ulumudin dan memberikan penilaian baik. Akhirnya, Ali bin Hadzam bertaubat dan sejak itu beliau mempelajari kitab Ihya Ulumudin sehingga turut terkenal sebagai ahli ilmu zahir dan batin[15].
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-3-2018 06:36 PM | Show all posts
Selepas menyedari mengenai penggunaan hadits dalam karya besar tersebut ada kelemahannya, al-Ghazali selepas itu mempelajari dengan begitu tekun dengan berguru dengan Abu Shal Muhammad bin Abdullah al-Hafsi bin Sunan Abi Daud, yang merupakan murid kepada al-Hakim Abu Fath a-Hakimi mengenai Shahih al-Bukhori; berguru dengan Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad al-Khawani mengenai Maulid an-Nabi; berguru dengan Abu al-Fatyan ‘Umar al-Ru’asai dalam Shahih al-Bukhori dan Shahih Muslim. Al-Ghazali merupakan seorang ulama’ besar yang sentiasa berada dalam keadaan dahaga kepada ilmu pengetahuan dan kerana itulah beliau dikatakan telah mengamalkan usaha pembelajaran sepanjang hayat, walaupun pada hakikatnya beliau adalah seorang ulama’ besar. W Montgomery Watt menyifatkan, selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, al-Ghazalilah merupakan tokoh ilmu yang paling layak mengambil alih peranannya dengan berkesan dalam menjadikan Islam sebagai agama dakwah dan mendidik manusia sejagat.[16]
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-3-2018 06:36 PM | Show all posts
Sebagai seorang pengkaji yang serius, al-Ghazali bukan sahaja menjadi penghafal tegar bahkan ikut menguji sejauhmanakah kebenaran ilmu yang diperolehnya. Keadaan itu sebenarnya yang menjadi punca kenapa beliau pada tahun 488H, meninggalkan Baghdad untuk menunaikan haji dan kemudiannya beruzlah ke Syam dan seterusnya menetap di Baitul Maqdis selama 10 tahun. Kebanyakan waktu digunakan untuk beruzlah (bertapa) dan khalwat, riadah (latihan) dan  mujahadah diri, sibuk mensucikan dan menjernihkan hati dengan berzikir kepada Allah SWT serta beriktikad di menara masjid Damsyik sepanjang siang.[17]Pada tahun 499H, al-Ghazali pulang ke kampong halamannya untuk mengajar dengan uslub baharu, niat yang baharu, yang sama sekali berbeza dengan kaedah yang dilakukan semasa di Madrasah an-Nazamiyyah.  Dalam catatannya, al-Ghazali menjelaskan perkara ini:
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 19-3-2018 06:37 PM | Show all posts
“Aku tahu bahawa sekalipun aku kembali menyebarkan ilmu, maka aku tidak kembali, kerana kembali ialah melakukan semula perkara yang sudah berlalu, dan aku pada zaman itu menyebarkan ilmu yang aku memperolehi kedudukan, dan aku menyerukan kepadanya dengan perkataan dan amalanku, dan pada waktu itu menurut maksud dan niatku, adapun sekarang maka menyerukan kepada ilmu yang dengannya meninggalkan kedudukan, dan dengannya diketahuinya darjat kedudukan. Inilah dia sekarang niat, maksud dan cita-citaku, Allah mengetahui yang demikian daripadaku. Dan aku ingin memperbaiki diriku dan orang lain, dan aku tidak tahu adakan aku akan sampai kepada tujuanku, atau akan dininasakan maksudku?”[18]

Sekembalinya dari beruzlah, beliau menetap di Nisabur dan mengajar semula di Madrasah Nizamiyyah atas permintaan sultan. Pada ketika itu beliau dilantik sebagai presiden di Universiti Nizamiyyah dan selepas empat tahun kembali ke Tus untuk menyerahkan diri kepada cara hidup bersendirian dan bertafakur. Pada tahun 499H, atas desakan Fakhr-Mulk, anak kepada penaung universiti tersebut, Nizamul-Mulk, sekali lagi al-Ghazali didesak untuk menerima jawatan sebagai ketua ilmu kalam. Dengan rasa berat hati, al-Ghazali akhirnya menerima tawaran tersebut dan tidak lama kemudian, mengundurkan diri untuk mengasaskan sebuah madrasah untuk mengajar ilmu Kalam dan tasauf. Di samping mengajar, al-Ghazali terus menumpukan perhatiannya menulis dalam pelbagai bidang dengan menyesuaikannya fahaman sufi yang dipeganginya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-3-2018 06:37 PM | Show all posts
Al-Ghazali mempunyai ramai murid, antaranya ialah: Abu Thahir Ibrahim Ibn Muthahir al- Syebbak al-Jurjani (w.513 H); Abu Fath Ahmad Bin Ali Bin Muhammad Bin Burhan (474-518 H), berasal dari mazhab Hambali dan akhirnya bertukar ke mazhab  Sya’fie, penulis kitab, antaranya, al-Ausath, al-Wajiz, dan al-Wushul;Abu Thalib, Abdul Karim Bin Ali Bin Abi Tholib al-Razi (w.522 H), amat memahami kitab Ihya Ulumuddin  dan turut mempelajari ilmu fiqah; Abu Hasan al-Jamal al-Islam; Ali Bin Musalem Bin Muhammad Assalami (w.541 H) , menulis kitab Ahkam al- Khanatsi;Abu Mansur Said Bin Muhammad Umar (462-539 H), beliau belajar fiqah pada imam al-Ghazali sehingga menjadi ulama’ besar di Baghdad; Abu al-Hasan Sa’ad al-Khaer Bin Muhammad Bin Sahl al-Anshari al-Maghribi al-Andalusi (w.541 H), belajar fiqah dengan Imam al-Ghazali ketika di Baghdad; Abu Said Muhammad Bin Yahya Bin Mansur al-Naisabur (476-584 H), belajar fiqah dan menulis  kitab al-Mukhit fi Sarh al- Wasith fi Masail, al-Khilaf;dan, Abu Abdullah Al Husain Bin Hasr Bin Muhammad (466-552 H), belajar fiqah dan menulis kitab Minhaj al- Tauhid dan Tahrim al- Ghibah.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-3-2018 06:38 PM | Show all posts
Pada tahun 484 H/1091M, semasa bertugas sebagai professor kanan di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad, al-Ghazali begitu tekun mempelajari bidang falsafah terutama pemikiran al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Miskawih dan Ikhwan al-Shafa sehingga berjaya menghasilkan buku falsafahnya yang berjodol Tuhaful al- Falasiyah dan Maqasidul-Falasafiah. Buku al-Munqidh min al-Dala’l turut mempunyai perbahasan mengenai falsafah. Menurut Prof. H.N. Rafiabadi, pengaruh al-Ghazali melangkau pelbagai disiplin ilmu tetapi bagi orang Islam mereka lebih mengenali beliau dalam bidang teologi berbanding masyarakat Barat memberikan perhatian terhadap falsafah dan kesufian:

“Ghazali’s views concerning metaphysics and epistemology have been altogether neglected by people. If some research has been done, it is confined only on paying tributes and regards to al-Ghazali. But a systematic or problem-wise study of Ghazali’s philosophy is still awaited. In modern world, unless Ghazali’s philosophy is presented in the content of contemporary philosophers, no fruitful or rewarding work can be produced.”[19]
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-3-2018 06:38 PM | Show all posts
[1] Dikutip dari Muhammad Abdulloh Suradi.2009. op.cit.hal. 98-99.

[2] Bermaksud Imam dari dua kota suci.Nama penuhnya ialah Abdul Malik bin Abdullah bin Yusof al-Juwayni al-Nisaburi dan merupakan murid kepada Abu al-Qasim al-Isfarayni. Al-Qasim adalah murid kepada Iman Abu Ishaq al-Isfarayni. Abu Ishaq pulan berguru dengan Imam Abu Hasan as-Asy’ari yang kemudiannya menjadi pelopor kepada aliran pemikiran al-Asy’ari yang mengambil pendekatan “jalan tengah” atau wasata bagi menyelesaikan aliran pemikiran yang wujud dalam ahlis-sunnah wal-jama’ah. Pertama ialah aliran Mu’tazzilah yang melihat akidah agama melalui pandangan akal sehingga mengecilkan kedudukan nas agama. Kedua ialah aliran falsafah Masya’iyyah, yang cuba menyesuaikan nas agama dan hakikat falsafah. Bagaimanapun, idea penyesuaian itu tidak memberikan manfaat kepada Islam. Dalam aliran ketiga, iaitu Assy’ariah, akidah Islam mestilah lahir dari dalam jiwa Islam, mendahulukan nas dari akal, dan memberikan nas akan hak dan kedudukannya dalam maknanya yang hakiki selagi tidak bukti yang kuat untuk mengeluarkannya dari makna hakiki kepada makna yang majazi.Lihat, Mohd Sulaiman Yasin. Ahlis-Sunnah Wal-Jama’ah.Bangi, Selangor: Yayasan Salman, 1997, bab VI.

[3] Lihat Syeikh Dahlan al-Kadiri, tanpa tarikh. Sirajut-Tolibin ‘ala Minhajil ‘Abidin. Jilid 1 & 2, Beirut, Lubnan: Darul Fikr.

[4] Shaleh Ahmad Asy-Syami. 2007. Op.cit. hal. 19  dan turut dicatatkan oleh al-Hafiz Abdul Ghafir bin Ismail, al-Ghazali sebagai “seorang yang bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga dapat menyelesaikan pendidikan dalam waktu yang singkat, mengalahkan generasi-generasinya, menghafal al-Qur’an, lebih tajam pandangan dari kalangan ahli zamannya, dan satu-satu dari generasinya pada zaman Imam al-Haramain.”

[5] Nizamul-Mulk juga dikenali sebagai Nazzam al-Malik dan nama penuhnya ialah al-Hassan bin ‘Ali at-Thusi, yang kemudiannya digelar sebagai Qiwamuddin (408-485H). Beliau merupakan seorang Perdana Menteri yang mencinta ilmu pengetahuan dan sentiasa mendalami ilmu hadits. Lihat, Shaleh Ahmad Asy-Syami.2007. op.cit. terutama pada halaman 19 notakaki 19.

[6] Universiti Nizamiyah telah dimulakan pembangunannya pada tahun 457H dan siap pada tahun 459H. Pemilihan para pensyarah dibuat oleh Khalifah Abbasiyah. Prof Dr Raghib as-Sirjani. Sumbangan Peradaban Islam Pada Pada Dunia. Terjemahan Masturi Irham dan Malik Supar. Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 2012. hal. 225  mencatatkan: “Atas perhatian yang begitu besar tersebut, sampai khalifah Abbasiy langsung menentukan sendiri guru-guru yang mengajar. Ada yang mengajar masalah fikih dan hadits dan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Di mana telah mengajar pula di sekolah itu seorang terkenal sebagai intelektual dan cendekiawan seperti hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali penulis kitab Ihya Ulumuddin. Pada masa itu, turut mengajar juga dalam sekolah Nizamiyah, Naisaburi Imam Harmain, Abu al-Ma’ali al-Juwaili (nama penuhnya ialah Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf al-Juwaini 419H-478H/1028-1085M)…Infak yang diberikan Nizam al-Mulk pada setiap tahunnya kepada para pengajar sekolah dan fuqaha serta ulama sebanyak 300 ribu dinar. Ketika hal ini hendak dipertimbangkan kembali oleh Sultan as-Saluji Malkasyah, seorang menteri yang terkenal alim mengatakan, “Allah memberikan anda dan memberiku apa yang tidak diberikan kepada salah seorang pun dari makhluknya. Tidaklah hal itu kita kembalikan untuk membawa agamanya dan memelihara kitab-Nya dengan infak 300 ribu dinar.”

[7] Atas kepetahannya berhujah itulah al-Ghazali turut dikenali sebagai Hujatul Islam.

[8] Kelompok aliran pemikiran yang memusatkan kebenaran makna berdasarkan nas agama dan akal. Selagi makna tidak bercanggah dengan nas agama, ia adalah sesuatu yang betul dan benar. Bagaimana, jika makna hakiki sudah berubah menjadi makna majazi, nas agama akan diterima sebagai betul dan benar. Aliran inilah menjadi pegangan kuat al-Ghazali sehingga beliau dianggap sebagai ulama’ ahlis-sunnah wal-jama’ah terulung dan tiada gantinya hingga sekarang. Lihat, Dr M Dhiauddin Rais. Teori Politik Islam. Terjemahan Abdul Hayyie al-Kattani et.al. Jakarta: Gema Insani Press, 2001. hal. 51-54. Lihat juga Mohd Sulaiman Yasin.  Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah. Bangi, Selangor: Yayasan Salman, 1997. hal. 145-148 dan 154-155.

[9] Al-Ghazali. al-Munqidh min al-Dalal, diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh W. Montgomery Watt. 1953. Al-Ghazali: Deliverance From Error and the Beginning of Guidance. Revised Edition 2005 K.Lumpur: Islamic Book Trust, Reprinted 2010. hal. 50. Terjemahan tersebut berdasarkan edisi ketiga yang ditahkikkan oleh Jamil Saliba dan Kamil ‘Ayyad pada tahun 1358H/1939 dan diterbitkan di Damaskus. Buku ini telah ditulis oleh al-Ghazali pada tahun 1109-1111M, salah sebuah karyanya yang terakhir sebelum kematiannya, iatu selepas mengalami gangguan fizikal dan mental pada tahun 1095 “yang sering dikaitkan dengan (diduga) kegalauan yang melanda fikirannya; fase skeptisisme tampaknya telah mendorongnya untuk mempertimbangkan kembali seluruh pandangan dan cara hidupnya.” Seperti dikupas oleh Anthony Black. Pemikiran Politik Islam: Dari Masa Nabi Hingga Masakini. Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2001. hal.190

[10] Ibid.hal. 52-53.

[11] Mengikut al-Ghazali, “As a result, most people’s knowledge only makes them bolder in disobeying God most high. Genuine knowledge, however, increases a man’s reverence and fear and hope; and these come between him and sins (in the strict sense) as distinct from the unintentional faults which are inseparable from man in his times of weakness. This propeness to lesser sins does not argue any weakness of faith, however. The believer when he goes astray, repents. He is far from sinning intentionally and deliberately.” W Montgomery Watt.1953. op.cit. hal. 83-84.

[12] Lihat,  Muhamamad Aizat Farhan. op.cit. hal. 259. Beliau merupakan imam, hafiz, muhaddith, tsiqah, lahir tahun 451H dan meninggal pada tahun 529H.

[13] Kitab ini ditulis antara tahun 489-495H/1069-1075M. Dalam cetakan Darul Kutub al-‘Ilmiah, Beirut kitab ini terdiri daripada lima jilid. Kitab ini diterjemahkanke pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu dan didalamnya mengandung persoalan falsafah akhlak, ibadah dan muamalah. Huraian fiqah yang terkandung dalam kitab ini bersandarkan pendekatan ahlis-sunnah wal-jamaah aliran Asya’ari. Ihya Ulumudin terbahagi kepada empat bahagian utama: ibadah dengan 10 perbahasan (ilmu kaedah tentang akidah, rahsia bersuci, rahsia solat, rahsia puasa, rahsia haji, etika membaca al-Qur’an, berzikir dan berdoa serta berwirid); muamalah 10 perbahasan (etika makan, etika perkahwinan, etika bekerja, etika berkawan, etika bermusafir, etika mendengar, etika amar makrug nahi mungkar, halal haram, uzlah dan kenabian; faktor kerosakan kehidupan manusia (keajaiban hati, riadah al-nafs, bahaya nafsu perut dan kemaluan, bahaya marah, mengasut dan hasad dengki, kecelaan urusan dunia, kecelaan bakhil dan terlalu cintakan dunia, sikap takabur, sombong dan keburukan menipu); dan kaedah menyelamatkan manusia daripada pelbagai kesesatan (taubat, sabar dan syukur, takut dan harap, fakir serta zuhud, tauhid dan tawakal, kasih dan sayang, niat disertai ikhlas dan buat betul-betul, berfikir atau tafakur dan mengingati mati. Kitab ini dianggap yang terbaik pernah dihasilkanoleh mana-mana ulama dan masih belum dapat ditandingi hingga sekarang. Abdul Salam Yusoff, Idea-idea Pendidikan Berkesan al-Ghazali & Konfusius. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2010, hal. 25-27; dan, Anthony Black menyifatkan Ihya Ulumudin sebagai “sebuah karya ensiklopedik yang menghimpun dan menguji kembali seluruh wilayah ilmu-ilmu agama—sebuah karya yang sebanding dengan Suma Theologiae-nya Thomas Aquinas yang ditulis dua abad kemudian. Buku ini dimaksudkan sebagai sebuah pegangan tentang kehidupan kontemplatif dan moralitas sosial, yang meliputi—layaknya syariat—bidang hukum, ekonomi dan politik”. Lihat, Anthony Black. Pemikiran Politik Islam: Dari Masa Nabi Hingga Masa Kini. Terjemahan Abdullah Ali & Mariana Ariestyawati. Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2001. hal. 191-192

[14] Lihat Hamka. Tasauf Moden. K.Lumpurarul Nu’man, 1998; dan dalam buku Tasawuf, Perkembangan dan Pemurniannya. cetakan ke-8, Jakarta: Penerbitan Yayasan Nurul-Islam, 1980. hal. 212-214 dan 221-223,  Hamka menjelaskan “Pada abad kedua Hijrah, tasawuf hanya terkenal di Kufah dan Basrah, tetapi pada permulaan abad ketiga Hijrah ia telah mengembang keluar dari kedua-dua kota itu sehingga ke Kota Baghdad, pusat kekuasaan Kerajaan Abbasiyah. Pada masa itu kemewahan memuncak dan kepincangan akhlak berlaku, maka tumbuhlah tasawuf sebagai tindak balas terhadap unsur tersebut, melahirkan pengislah akhlak dari ulama sufi…Tasawuf tidak sunyi daripada penyelewengan daripada as-Sunnah sehinggakan seorang ahli fiqah dan failosof besar, Ibnu Hazm al-Andalusi yang wafat pada tahun 466H telah menyatakan bahawa tasawuf sudah membahayakan agama. Dengan itu pada akhir abad ke-5 dan awal abad ke-6 Hijrah, Imam al-Ghazali rahimullah, telah cuba mengalirkan kembali dalam as-Sunnah. Beliau telah mengarang kitabnya Ihya Ulumudin yang bertujuan menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama yang nyaris mati….Pemerhatian al-Ghazali lebih banyak tertumpu kepada pembangunan akhlak untuk kebersihan dan kemurniaan jiwa dengan memperbanyakkan zikir, puasa, jangan menoleh ke kiri dan ke kanan, biar miskin, biar pakaian tidak dibeli baru sampai satu tahun, jangan pedulikan huru-hara dunia, terimalah takdir Allah Ta’ala dengan sabar dan tahanlah menderita kezaliman raja-raja kerana itu adalah cubaan… Banyak ulama menentang al-Ghazali, antaranya, Abdul Walid at-Tortosi, Ibnu Solah dan Abdul Latif al-Hambali. Sehingga raja Maghribi telah menerima fatwa ulama membakar kitab Ihya.”

[15] Dikutip dari Abdul Salam Yusof. Op.cit. hal. 27.

[16] Lihat W Montgomery Watt. The Muslim Intelectual: The Struggle and Achievement of al-Ghazali, Edinburgh: Edinburgh University Press, 1963; W Montgomery Watt. Islamic Political Thought, Edinburgh: Edinburgh University Press, 1968; dan W Montgomery Watt. Islamic Fundamentalism and Modernity, London: Routledge, 1988.

[17] Shalleh Ahmad asy-Syami. op.cit. hal. 24.

[18] Ibid. hal.25-26.

[19] Prof. H.N. Rafiabadi. Al-Ghazali and Western Thought. New Delhi: Adam Publishers and Distributors,2007.hal. v

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-3-2018 03:14 PM | Show all posts
NARATIF AL GHAZALI  SIRI III


Imam al-Ghazali diasuh ahli sufi
By Editor Yadim - Tuesday, 16 January, 201



sumber  pautan asal :

http://www.yadim.com.my/v2/iman-al-ghazali-diasuh-ahli-sufi/






Oleh : Dr. Alies Anor Abdul

Terdapat dua kemungkinan asal muasal perkataan tersebut, iaitu nama sebuah daerah tempat kelahirannya, iaitu Ghazalah dan sejenis pekerjaan yang ditekuni oleh orang tuanya, iaitu sebagai penenun benang bulu biri-biri (wool) . Pekerjaan utama ayah al-Ghazali selain menenun benang wool, ialah menjual hasil tenunan tersebut di sebuah kedai di pekan kecil Tus. Pekerjaan sebagai penenun benang itu dipanggil  Ghazzal. Bagaimanapun, Abu Hamid mengakui bahawa nama al-Ghazali sebenarnya diambil sempena tempat kelahirannya dan kerana itulah ia dieja dengan satu “z”.[1] Dengan itu, al-Ghazali membawa makna “orang Ghazalah.”



Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450H (1058M) di sebuah kampung bernama Ghazalah. Kampung kecil itu terletak di sebuah pinggir pekan kecil bernama Tus,[2] berhampiran bandar Meshad dalam wilayah Khurasan. Khurasan pada ketika itu merupakan salah sebuah pusat ilmu pengetahuan Islam yang penting di Parsi (sekarang dikenali dengan nama Iran). Al-Ghazali mempunyai seorang saudara lelaki yang dikenali sebagai Ahmad. Ahmad terkenal dengan panggilan Mujahiddin dan juga Abul Futuh, yang kemudiannya menjadi terkenal sebagai seorang pendakwah.[3] Ketika al-Ghazali dilahirkan, kerajaan Dinasti Saljuk baru berusia dua puluh tahun.














Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-3-2018 03:15 PM | Show all posts
Ini bermakna sejak awal lagi al-Ghazali sudah meyaksikan perkembangan awal dinasti itu yang diperintah oleh Taghril-Beg, Alp-Areselan dan Maliksyah, yang berjaya menewaskan Mas’ud dari Ghaznah pada tahun 1040M. Al-Ghazali juga turut mengalami kehadiran pemerintahan Saljuk di Khurasan dalam misi perluasan kuasanya ketika masih beliau berusia remaja.[4]Al-Ghazali berasal dalam keluarga miskin tapi taat beragama. Ayahnya adalah seorang pemintal dan penjual wol sebagai punca pendapatan untuk menyara hidup keluarga. Di sisi lain, ayahnya juga merupakan seorang pengamal tasawuf dan dalam satu sumber dicatatkan bahawa “ayahnya seorang yang mencintai ilmu dan ulama.” Selepas bekerja, dalam keadaan tenang bapanya sentiasa “mengunjungi para fuqaha, pemberi nasihat, duduk bersamanya sehingga apabila ia mendengar nasihat para ulama tersebut ia terkadang menangis dan lebih rendah hati, dan memohon kepada Allah SWT agar dikarunia anak seperti para ulama tersebut.”[5]Doa seorang ayah menjadi kenyataan, bagaimanapun, tidak dapat disaksikan sendiri semasa hayatnya. Ayahnya meninggal al-Ghazali dan adiknya, Ahmad masih kecil.  Sebelum meninggal, ayahnya sempat mewasiatkan kepada salah seorang sahabat baiknya agar dapat mendidik kedua puteranya dengan ilmu pengetahuan agama. Kepada sahabat karibnya, ayah al-Ghazali berpesan:

“Sesungguhnya aku begitu sedih kerana tidak tahu menulis, dan aku ingin memperbaiki apa yang telah berlalu bagiku kepada dua orang anakku ini, maka ajarlah kedua-duanya dan tidak ada halangan ke atasmu pada yang demikian untuk menghabiskan seluruh harta-benda yang telah aku tinggalkan kepada kedua-duanya.”[6]
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-3-2018 03:15 PM | Show all posts
Setelah kematian ayahnya, al-Ghazali dan Ahmad telah diasuh oleh ahli sufi tersebut sebagaimana diamanahkan. Kedua anak yatim itu diasuh dengan baik sehingga harta yang ditinggalkan itu hampir kehabisan, ahli sufi itu kemudiannya meminta maaf tidak dapat melanjutkan wasiat tersebut. Dicadangkan agar al-Ghazali dan adiknya, Ahmad memasuki sekolah yang disediakan oleh kerajaan atas alasan makan, minum dan kebajikan mereka lebih terjaga. Ahli sufi itu kemudiannya menjelaskan:

“Ketahuilah kalian berdua, saya telah membelanjakan untuk kalian dari harta kalian. Saya seorang fakir dan miskin yang tidak memilik harta. Saya menganjurkan kalian berdua untuk masuk ke madrasah dan belajar seperti mana penuntut ilmu yang lain, sehingga memperoleh mekanan yang dapat membantu kalian berdua.”[7]

Al-Ghazali dan Ahmad kemudiannya bersetuju meneruskan pengajiannya ke sebuah sekolah yang disediakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Nizam ul-Mulk, di Tus. Atas kecintaan Nizam ul-Mulk terhadap ilmu, beliau menubuhkan sekolah dan menyediakan peruntukan bagi menguruskan persekolahan rakyat secara percuma.  Menurut Muhammad Abdulloh Suradi, al-Ghazali dan adiknya Ahmad kemudiannya bersekolah di Tus  dan berguru dengan Imam Ahmad al-Razkani. Kedua beradik itu belajar ilmu fiqah termasuk menghafal al-Qur’an, asas-asas membaca dan menulis diikuti oleh pelajaran tatabahasa Arab dan nahu, matematik dan lain-lain sebagaimana kanak-kanak sebaya.[8]Meskipun dibesarkan dalam kehidupan yang begitu sederhana, al-Ghazali dan Ahmad begitu tekun mempelajari ilmu pengetahuan dan akhirnya kedua mereka muncul sebagai ulama’ dan pendakwah yang besar.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-3-2018 03:15 PM | Show all posts
Ahli sejarah sepakat mengatakan al-Ghazali sebenarnya hidup dalam keadaan begitu sederhana sekali sebagai seorang sufi sehingga umurnya berusia 15 tahun  (450-456H). Datuk saudara al-Ghazali, iaitu Abu Hamid al-Ghazali (meninggal 435H/1043M) merupakan seorang ahli Kalam dan pakar undang-undang yang dihormati. Mungkin juga kerana kemasyhuran datuk saudaranya itulah telah memotivasi al-Ghazali dan didorong oleh semangat ayahnya begitu mencinta ilmu pengetahuan serta dijadikan teladan.  Al-Ghazali berkahwin ketika berusia 20 tahun, bagaimanapun tidak terdapat satu pun tokoh yang menulis biografinya yang menyebut nama isterinya. Bagi al-Ghazali, rumah tangga yang dibina itu begitu bahagia sekali. Ketika berumur 53 tahun, iaitu pada 14 Jamadul Akhir 505H (bersamaan 19 Disember 1111M), al-Ghazali telah meninggal dunia . Hasil perkahwinan tersebut, al-Ghazali mempunya tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelakinya, bernama Hamid telah meninggal dunia ketika masih bayi. Pada hari sebelum kematiannya, adik al-Ghazali, iaitu Ahmad menceritakan:

Pada waktu subuh hari Isnin abangku Abu Hamid mengambil wudhu lalu bersembahyang. Kemudian dia berkata, “Bawakan kain kapanku”. Lalu diambil dan dicium lalu diletakkan di mata sambil berkata lagi, “Aku patuh dan taat untuk masuk kepada malaikat.” Kemudian al-Ghazali mengunjurkan kakinya dan menghadap ke kiblat dan meninggal dunia sebelum matahari terbit.”[9]
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-3-2018 03:16 PM | Show all posts
Imam Al-Ghazali atau nama lengkapnya ialah Zainudin Abu Hamid Muhamad bin Muhamad bin Muhamad bin Ahmad al-Ghazali al-Tusi al-Shafi’e[10]. Versi lainnya menyebut nama lengkap al-Ghazali ialah Syeikh al-Ajal al-Imam al-Zahid, al-Said al-Muwafaq Hujjatul Islam[11]; al-Ummah Abi Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Tusi[12]; dan Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali[13]. Bagaimanapun, al-Ghazali lebih dikenali sebagai Abu Hamid Muhammad al-Ghazali dengan alasan bahawa beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Hamid. Hamid telah meninggal dunia ketika masih bayi, maknanya Abu Hamid bererti bapa kepada Hamid. Namun,  nama ringkas yang terus digunakan kini ialah al-Ghazali.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-3-2018 03:16 PM | Show all posts
Rujukan

[1] Lihat, Abdul Salam Yussof. Idea-Idea Pendidikan Berkesan: Al-Ghazali dan Konfusius. Bangienerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2010. hal.13.

[2] Ada juga yang mengeja naa bandar tersebut sebagai Thawus. Tus merupakan bandar yang kedua terbesar dalam wilayah Khurasan setelah Naisabur. Tus terdiri dari dua kawasan, iaitu al-Thabran dan Nauqan. Kedua-dua kawasan tersebut terdapat lebih seribu buah kampong. Di Tus, terdapat makam al-Imam Ali bin Musa al-Ridha dan makam Harun ar-Rasyid. Pada tahun 617H, tentera Monggol melakukan serangan ke atas Tus, tetapi gagal menguasainya. Lihat, Biografi Imam al-Ghazali dalam Imam al-Ghazali.t.t. Bergaul Seperti Penghuni Syurga. Terjemahan dan edisi Malaysia  dari bahasa Arab, Adabu Shubbah wal Mu’asyarah. K.Lumpur: Synergy Media, 2012. hal. 11.

[3] Lihat, Margareth Smith. Pemikiran dan Doktrin Mistis al-Ghazali. Terjemahan Amrougi M.Ag. Jakarta: Penerbit Riora Cipta, 2000; Zainal Abidin Ahmad. Riwayat Hidup Imam al-Ghazali. Jakarta: Bulan Bintang, 1968; dan Imam al-Dzarabi berkata: “Aku membaca dalam tulisan tangan al-Nawai, dia berkata: Syeikh Taqiyuddin ibnu Shalah ditanya mengapa al-Ghazali dinamakan demikian. Dia menjawab: Orang yang aku percayai menceritakan kepadaku, dari Abu Haram al-Makisi al-adib: Abu  Tsana’ Mahmud al-Fardi menceritakan kepada kami, dia berkata: Tajul Islam Ibnu Khamis menceritakan kepadaku: Al-Ghazali berkata kepadaku, “Orang yang menyebutkan al-Ghazzali (tukang pintal), padahal aku bukanlah al-Ghazali. Tetapi aku adalah al-Ghazali, nisbat kepada sebuah kampong yang bernama Ghazalah.” Lihat “Biografi Pendek Imam al-Ghazali” dalam Imam al-Ghazali.Jadilah Orang Yang Menjiwai Iman dan Hidayah, terjemahan dari Bidayah al-Hidayah oleh Khadijah Rahman dan disemak oleh Dr Mohd Puzhi Usop.Batu Caves, Selangor: al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd., 2012

[4] Lihat Pengantar Penterjemah, Ahmadie Thaha dalam buku  al-Ghazali. Peringatan Bagi Penguasa.Jakarta: Penerbit Hikmah, 2000. hal. xiv.

[5] Dr H Abuddin Nata. op.cit.hal.56

[6] Shaleh Ahmad As-Syami. Biografi Imam al-Ghazali: Hujattul Islam dan Pembaru Kurun ke-5 (450-505Hijrah). Terjemahan Arifin Ladari. K.Lumpur: Jasmin Enterprise, 2007. hal.15.

[7] Dikutip dari Muhammad Aizat Farhan. Mendekati Peribadi Imam-Iman Pewaris Nabi. K.Lumpur: Mulia Terang Sdn. Bhd., 2012.hal. 257

[8] Muhammad Abdulloh Suradi. Lembaran Hidup Ulama’:Warisan Ilmuan Islam. P.Jaya, Selangor: Hijaz Records Publishing, 2009.hal.97.

[9] Seperti dicatatkan oleh Abu Fajr Ibnu al-Jauzi dalam bukunya al-Thabat  ‘Ind al-Mamat. dikutip dari Abdul Salam Yussof. 2010, op.cit. hal. 15.

[10] Lihat, Osman Bakar, Hierarki Ilmu:Membangun Rangka Fikir Islamisasi Ilmu Menurut al-Farabi, al-Ghazali dan Qutb al-Din al-Syirazi. Terjemahan Purwanto. Bandungenerbit Mizan, 1997.

[11] Ensiklopedi Islam, Jilid 1, Jakarta: Ichtiar Baru van Hoeve, 1993.hal.25

[12] Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, Minhajul Abidin, Mesir: Dar al-Ihya li al-Kutubu al-Arabiyah, t.t., hal.2.

[13] Zainudin Syaraf, dikutip dari Dr H Abudin Nata. Perspektif Islam Tentang Pola Perhubungan Guru-Murid: Studi Pemikiran Tasawuf al-Ghazali,  Jakarta: PT Raja Grafindo Persada, 2001,. hal. 55
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-3-2018 03:19 PM | Show all posts
Naratif Al-Ghazali
Siapa Al-Ghazali


http://www.yadim.com.my/v2/siapa-al-ghazali/








Salah seorang ahli Teologi, ahli falsafah, dan sufi terbesar dalam Islam ialah al-Ghazali. Beliau dilahirkan pada 450 H/1058 M di kota Ghazalah dekat Tus, Khurasan, Iran Utara. Namanya diambil sempena tempat kelahirannya. Nama lengkapnya ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi al-Ghazali. Dalam bidang keilmuan, pertama sekali beliau mendalami ilmu fikah, kemudian mempelajari secara mendalam ilmu kalam dan falsafah. Setelah mencapai keharuman nama sebagai seorang sarjana, pada 1091 al-Ghazali dilantik menjadi guru besar hukum oleh Nizam al-Mulk (1018-1092), perdana menteri Sultan Maliksyah (1072-1092) dari Kerajaan Saljuk, di Madrasah Nizamiyah di Baghdad. Beliau sempat mengajar di perguruan itu selama 4 tahun dan dalam tempoh itulah beliau menulis karyanya Maqasid al-Falasifah (Maksud Ahli Falsafah) dan Tahafut al Falasifah (Kecelaruan Ahli Falsafah).

HUJJATUL ISLAM

Al-Ghazali dilihat sebagai pembela kebenaran Islam yang terbesar sehingga digelar hujjatul Islam (hujjah al-Islam) atau pembela Islam. Hingga sekarang orang Islam tetap tekun membaca karyanya yang terbesar, Ihya’ ‘Ulum al-Din (Menghidupkan Kembali Ilmu Agama). Al-Ghazali sangat berpengaruh dalam Islam, sehingga tidak menghairankan jika ada yang mengatakan bahawa beliau adalah salah seorang tokoh terpenting setelah Nabi Muhammad s.a.w., ditinjau dari segi pengaruh dan peranannya dalam menata dan mengukuhkan dajaran keagamaan.

- advertisement -

HALAQAH

Pada 1095 al-Ghazali meninggalkan Baghdad dan mengembara dari satu tempat ke tempat lain kerana kehidupannya tergoncang oleh krisis kepercayaan dan keraguan. Pada mulanya beliau pergi ke Damsyik, lalu ke Hebron dan Baitulmuqaddis, kemudian ke Makkah dan Madinah. Beliau menjalani kehidupan zuhud (asketisme) dengan mengembara selama 10 tahun. Setelah itu, beliau kembali ke Nisabur pada 1106 untuk mengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah. Tidak berapa lama kemudian, beliau meninggalkan Nisabur, pergi ke Tus, dan mendirikan halaqah (sekolah calon sufi) di tempat kelahirannya ini. Beliau mengasuh halaqah ini sehingga ke akhir hayatnya. Perjalanan intelektual dan spiritual dalam menemukan kedamaian batin dan mengikuti jalan sufi dicurahkannya dalam autobiografinya al-Munqiz min al-Dalal (Pembebas daripada Kesesatan).

TASAWUF –SYARIAT

Al-Ghazali dipandang paling berjasa dalam mendamaikan tasawuf dan syariat sehingga tasawuf dapat diterima oleh sebahagian besar umat Islam. Beliau juga berjasa mengembangkan dan menyebarkan aliran Asy’ariyah yang dianut oleh majority Ahli Sunnah Wal Jamaah.

KRITIKAN TERHADAP AHLI FALSAFAH

Al-Ghazali mengkritik ahli falsafah dan akhirnya memilih tasawuf sebagai jalan menuju Tuhan. Dalam kritikannya terhadap ahli falsafah menerusi Tahafut al-Falasifah, beliau mengatakan bahawa ada tiga pendapat ahli falsafah yang telah membawa mereka kepada kekufuran, iaitu: alam ini adalah kadim, dalam erti tidak bermula dalam waktu; Tuhan tidak mengetahui bahagian sekecil-kecilnya dalam segala kejadian alam ini; dan tidak ada kebangkitan jasmani pada hari kiamat.

-Al-Ghazali mencapai kepuasan dan menemukan dirinya dalam dunia mistik (tasawuf). Ternyata krisis hidupnya bukan bererti ragu, tetapi berbalik arah dari dunia ke dalam batin. Al-Ghazali berkata, “Pada akhirnya saya sampai kepada kebenaran, bukan menerusi jalan akal budi serta pengumpulan bukti, melainkan  menerusi cahaya yang dipancarkan oleh Allah S.W.T. ke dalam jiwaku”.

-Karya terbesar al-Ghazali Ihya’ ‘Ulum al-Din diterjemahkan dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Melayu.

-Selain mahir berbicara, al-Ghazali juga sangat produktif menulis. Beliau sempat menulis lebih daripada 228 buku atau risalah tentang pelbagai disiplin ilmu; falsafah, kalam, logic dan tasawuf.

AL-GHAZALI

1058 – Lahir di Ghazalah dekat Tus, Khurasan, Iran Utara.

1077-1085 – Berguru dengan al-Juwaini (m. 1085 M), ahli fikah serta kalam, guru besar Madrasah Nizamiyah.

1090-1094 – Belajar falsafah.

1091 – Mengajar di Madrasah Nizamiyah Baghdad.

1095 – Mengalami konflik batin, krisis kepercayaan, dan sakit parah.

1095-1105 – Meninggalkan Baghdad, melakukan pengembaraan rohaniah dan menjalani hidup zuhud.

1106 – Kembali di Nisabur dan mengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah

1108 – Meninggalkan Nisabur dan mendirikan sekolah sufi di Tus.

1111 – Meninggal dunia di Tus


Reply

Use magic Report

Post time 26-3-2018 05:10 PM | Show all posts
assalam para ikhwan, disini perkongsian yg sgt bagus dgn tajuknya
bagi saya, maseh ada beberapa tokoh yg dapat menandingi atau secara pendek disebut yg maseh berilmu sptmana hujjatul islam alghazali kita, di antaranya adalah,
sultanul ariffin awliyak kita iaitu - Syekh Abdul Qder alJilani,
Syekh Abu Hassan Syazuli - pendiri tarekat syazuliyah - dlm mertabat ahlillah makrifatullah beliau  memiliki 5 lautan dunia & 5 lautan akhirat - satu pangkat yg sgt tinggi
ibnu Sina - gelaran beliau terlalu byk dalam segala lapangan ilmunya

alGhazali sempat dianugerah wali qutb ghaus 3 hari sebelum beliau wafat. Itulah penghormatan dan kemulian yg Allah berikan pada wali waliNya dimuka bumi. Tidak semua wali Allah mendapat pangkat qutb ghaus.
Reply

Use magic Report

12
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-12-2024 03:38 AM GMT+8 , Processed in 0.243599 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list