Anak gadis bawah umur termasuk kanak-kanak seawal usia tiga tahun di Yaman terpaksa dikahwinkan kerana kesempitan hidup dalam situasi negara yang sedang bergolak, lapor Oxfam seperti dipetik Daily Mail.
Difahamkan, mas kahwin yang diterima akan digunakan untuk membeli makanan.
Kredit foto: Daily Mail/Getty Images
Menurut Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), perang di Yaman mencetuskan krisis kemanusiaan paling teruk di dunia hingga mencatatkan lebih 10 juta orang berdepan risiko kebuluran.
Laporan terbaru PBB menyatakan lebih dua pertiga anak gadis di Yaman akan dikahwinkan pada usia 18 tahun. Namun, konflik perang memaksa mereka dikahwinkan pada usia lebih muda.
Kebiasaannya, kanak-kanak tidak akan disetubuhi dan mereka hanya akan melakukan kerja rumah di kediaman suami mereka hingga mencecah usia 11 tahun.
Dalam laporan PBB, salah seorang kanak-kanak yang dikahwinkan itu, Hanan, 9, dari Amran berkata, dia terpaksa berhenti sekolah sejak dikahwinkan.
Menurutnya, dia sering dipukul ibu mentuanya, malah bapanya turut memukulnya apabila dia lari dari rumah suaminya.
"Saya tak mahu dikahwinkan, saya hanya mahu bersekolah," katanya.
Selain Hanan, adiknya berusia tiga tahun turut dikahwinkan ibu bapanya.
Kredit foto: AP/Daily Images
Mereka mengakui tindakan mereka salah, namun terpaksa melakukannya untuk kelangsungan hidup keluarga. - CARI |