"11 September 99, jam 6.30 pagi lahir Nurin Jazlin ke dunia, dipinjam hanya sementara dan meninggalkan keluarganya di dunia selama-lamanya pada 17 sept 2007. Selamat ulang tahun ke-21 kak ngah. Al-Fatihah dibaca," demikian hantaran Jazimin Abdul Jalil, bapa kepada Nurin Jazlin di Facebook, baru-baru ini.
13 tahun berlalu selepas pembunuhan kejam Nurin Jazlin
Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil, 47, telah berkongsi foto menziarahi pusara anaknya bersempena tarikh ulang tahun kelahiran yang ke-21 dan turut memuat naik gambar tersebut di Facebook.
 Kredit foto: Facebook Jazimin Abdul Jalil
Nurin Jazlin, 8, dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos 2007. Mangsa dikatakan dilarikan seorang lelaki menaiki sebuah van putih.
Pada 17 September 2007, polis menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor sebelum keputusan ujian DNA mengesahkan mangsa adalah Nurin Jazlin.
Untuk info, siasatan kes bunuh Nurin Jazlin, sentiasa aktif dan tidak pernah ditutup. Memetik laporan Harian Metro, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, bukti penting dalam kes berkenaan sentiasa berada dalam bank data PDRM.
Kisah tragis kanak-kanak malang itu dibunuh memang sukar dilupakan. Ini kerana peristiwa Nurin Jazlin dibunuh kejam adalah kes pertama melibatkan kematian kanak-kanak secara tragis dan seterusnya kes melibatkan Sharlinie Mohd Nashar berusia 5 tahun yang hilang semasa bermain di taman permainan berhampiran rumahnya.
Semoga pelakunya dapat ditangkap dan menerima balasan setimpal atas perbuatannya. - CARI |