Warganet berkongsi tangkap layar apa yang mereka dakwa sebagai kapsyen ‘disunting’ dan kapsyen ‘asal’ membayangkan Azmin Ali ke Turki bersama keluarganya. (Gambar Twitter)PETALING JAYA: Seorang pemandu pelancong Turki meminta maaf berhubung sekeping gambar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali di Turki yang muncul dalam talian dengan kapsyen membayangkan beliau melawat Hagia Sophia bersama keluarganya.
Warganet berang dengan cadangan yang mendakwa menteri Kabinet terbabit membawa keluarganya bercuti bersama, sedangkan rakyat Malaysia menderita disebabkan krisis Covid-19 yang semakin meruncing.
Gambar berkenaan dimuat naik satu akaun agensi pelancongan Turki @Turkishlocalguide kira-kira 15 jam lalu bersama kapsyen “Gembira menjadi pemandu pelancong Encik Muhammed Azmin Ali (Menteri Kanan Malaysia). Beliau bersedia dan bersabar mendengar kisah Hagia Sophia”.
Pentadbir akaun media sosial itu kemudiannya menjelaskan hantaran berkenaan dengan berkata, Azmin ke sana bersama deligasi kementerian dalam sebuah program anjuran kerajaan Turki.
Hantaran itu kemudiannya dipadamkan, tetapi warganet sudah berkongsi tangkap layar gambar itu dan apa yang mereka dakwa sebagai kapsyen asal, “Gembira menjadi pemandu pelancong Encik Muhammed Azmin Ali (Menteri Kanan Malaysia) dan keluarganya. Beliau bersedia dan bersabar mendengar kisah Hagia Sophia.”
Warganet membandingkannya dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh ketika ini dan sekatan perjalanan yang menyebabkan ahli keluarga terpaksa berjauhan.