Aril, Farish Ganti Jimmy Shanley!
10-Feb-2010 | Oleh: Murai Batu
Tahniah Murai Batu ucapkan kepada pengacara yang terkenal dengan tagline Yezza, Jimmy Shanley kerana diamanatkan untuk menjadi peneraju Akademi Fantasia 8 (AF8) bersama Sarimah Ibrahim.
Murai Batu banyak menerima komen positif mengenai pemilihan dua pengacara Astro ini. Ramai menyokong dan tak sabar menantikan keletah mereka berdua ini terutama sekali Jimmy.
Bagaimanapun, memandangkan Jimmy akan berkurung dalam AF8, timbul pula tanda tanya adakah Jimmy masih lagi terus menjadi pengacara Trek Selebriti yang begitu sinonim dengannya.
Bagi mendapatkan kepastian itu, Murai Batu cubalah mengorek rahsia dengan orang yang banyak tahu tentang Trek Selebriti.
Hasil dari siasatan tersebut, Murai Batu dapat tahu pada Sabtu lalu (6 Februari 2010) team Trek Selebriti telah pun mengadakan sesi uji bakat tertutup untuk mencari pengganti Jimmy.
Dari uji bakat tersebut, Farish Aziz dan Aril menjadi pilihan utama team produksi untuk menjadi hos baru Trek Selebriti.
Difahamkan, peratus Farish Aziz menjadi hos untuk program ini lebih besar memandangkan dia pernah menggantikan Jimmy untuk beberapa episod pada AF6.
Bagaimanapun, berkemungkinan besar Farish tidak dapat membuat demikian kerana dia ada komitmen dengan program TV lain dan sibuk menjadi pelakon.
Atas dasar ini, Aril berpeluang cerah untuk mengemudikan rancangan ini. Namun, keputusan masih belum dibuat kerana sesi timbang bakat dan impak masih lagi dalam proses penilaian.
Apapun, Murai Batu diberitahu penggantian ini hanya untuk sementara bagi episod istimewa trek AF8. Lagi pula Jimmy akan mengambil semula tugasan tersebut selepas mengetahui juara AF8.
Bagi Murai Batu, tak kisahlah siapa yang menggantikan Jimmy. Yang penting, biarlah orang itu betul-betul sesuai dan tahu apa yang perlu ditanyakan kepada artis jemputan.
Jangan pula pengganti Jimmy hanya tiru bulat-bulat apa yang Jimmy pernah lakukan. Carilah kelainan dan siapa tahu Trek Selebriti boleh lebih meriah dengan wajah baru ini.
MURAI BATU: Krew kecewa bila produser TV jadikan program hiburan kepada program korporat. Buang masa krew cari bahan sensasi.