Update:
KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menyaksikan beberapa menteri dan timbalan menteri dalam Jemaah Menteri sebelum ini bertukar portfolio.
Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini Menteri Pertahanan, dilantik sebagai Menteri Luar, menggantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Zambry dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilantik menerajui Kementerian Pertahanan.
Sementara itu, Datuk Armizan Mohd Ali, yang sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Lima bekas menteri membuat kemunculan kembali dalam rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani, yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua dalam Kabinet Kerajaan Barisan Nasional (BN) di antara 2016 hingga 2018, dilantik mengetuai portfolio baharu, Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga bekas Menteri Kesihatan ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan pada 2018-2019, kembali memegang jawatan sama.
Naib Presiden DAP, Gobind Singh Deo, yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia di bawah Kerajaan Pakatan Harapan pada 2018-2019, dilantik sebagai Menteri Digital, iaitu kementerian baharu yang diwujudkan daripada pecahan Kementerian Komunikasi dan Digital.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional, dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran, yang juga bekas Menteri Sumber Manusia ketika pentadbiran Pakatan Harapan, kembali semula dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1188122/lima-bekas-menteri-kembali-sertai-kabinet
|