Bot terbalik, 13 menjadi cuak lalu terselamat
Penulis asal: Maiamalina Mohamed
[email protected]
Kota Bharu: Sebelas mangsa banjir dan dua anggota tentera yang berdepan detik mencemaskan selepas bot dinaiki terbalik di Kampung Baru Hilir, Gua Musang, 3 petang tadi, selamat. Perkara itu disahkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Kelantan Azhar Mohamad Yusof selepas berita mengenai kejadian berkenaan tersebar di laman sosial. Beliau berkata, daripada 11 mangsa, seorang daripadanya kanak-kanak berusia antara tiga hingga empat tahun. "Ketika kejadian hanya kanak-kanak itu tidak memakai jaket keselamatan dan duduk di atas pangkuan ibunya, yang lain semuanya pakai jaket keselamatan. "Mereka berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas anggota keselamatan," katanya ketika dihubungi di sini tadi. Azhar berkata, kira-kira setengah jam kemudian bantuan menyelamat lain tiba dan semua mangsa dibawa ke pusat pemindahan sementara di SMK Tengku Indra Petra 1. Difahamkan, bot terbalik akibat arus deras dan enjin bot dipercayai hilang.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:08 PM
Last edited by famri7 on 23-12-2014 12:41 PM
|