Edited by Ipo at 4-4-2015 11:36 PM
3. Kasih Akhir Hayat
MELUR senyum melihat ibu bersungguh meniup bara pada ranting kayu yang dijadikan kayu api.Sesekali dia ketawa mengekek bila melihat muka ibu sudah penuh dengan debu dari kayu api yang terbang bila ditiup. Selesai membasuh beras pulut, dia segera ke belakang dapur menolong ibu membakar lemang.
Selesai meletakkan daun pisang dalam buluh, Melur masukkan pula beras pulut dan sedikit santan. Memang setiap kali menjelang hari raya, seminggu sebelum itu mereka sudah mula menerima tempahan dari jiran yang suka lemang yang ibu buat.
Melur segera mengambil kipas tangan dan mengipas kayu api yang mula padam. Sesekali mereka ketawa bila wajah masing-masing hitam dek abu dari bara kayu api yang mula terbang.
“Bonda rehatlah..biar Melur yang buat semua ni..”
Melur terharu melihat kesungguhan ibu menyiapkan lemang yang ditempah. Tahun ini, tempahan yang diterima lebih dari tahun lepas. Alhamdulillah, rezeki melimpah ruah nampaknya tahun ini. Pagi tadi, pagi-pagi lagi ayah sudah ke hutan mencari buluh untuk buat lemang. Kadang-kadang rasa kasihan melihat ibu dan ayah memerah keringat semata-mata untuk mencari rezeki halal dan menyara mereka sekeluarga.
Sejak dulu, ayah memang kuat bekerja. Orang kampung macam ayah, hanya kerja-kerja kampung sajayang mampu dia lakukan. Sekolah pun hanya setakat tingkatan lima. Sejak mendirikan rumah tangga dengan ibu,ayah begitu rajin mencari rezeki. Bermacam-macam kerja dia lakukan. Bila kami lahir, ayah semakin sibuk mencari rezeki. Dari seorang nelayan biasa, ayah melangkah setapak lagi menjadi seorang peniaga cendol. Modal yang diberi oleh pihak pengurusan zakat negeri, ayah gunakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Bermula dari situ, perniagaan cendol ayah mendapat sambutan walaupun hanya kecil-kecilan. Ibu pula membuat nasi lemak dan lemang bila ramadhan menjelang setiap tahun. Kasih ayah pada ibu sungguh murni, tidak berbelah bagi. Walaupun sibuk, ayah tetap menolong ibu dalam apa jua keadaan. Pernah ayah bangun pukul tiga pagi semata-mata ingin membantu ibu menyediakan nasi lemak dan kuih untuk dihantar di kedai-kedai makan sekitar kawasan rumah mereka.
Bila ibu demam,ayah setia menanti di tepi katil ibu yang terlantar di situ. Malah ayah melarang kami dari membantu ibu menyediakan bubur nasi. Ayah akan membuat sendiri untuk ibu. Melur menyeka air mata melihat kasihnya ayah terhadap ibu.Pernah terlintas di hatinya suatu hari nanti, dia akan bertemu dengan lelaki yang mempunyai sikap seperti ayah.
Bila bulan ramadhan tiba, ayah akan bangun sepertiga malam untuk tahajud bersama ibu.Melur dan kembarnya, Mawar pula kadang-kadang ikut sama. Maklumlah masih muda remaja, baru tujuh belas tahun. Usia begitu, memang masa untuk berseronok.Itulah yang selalu difikir oleh Melur dulu. Dia dan Mawar selalu bergaduh bila disuruh membuat kerja rumah. Ibu dan ayah tidak pernah marah malah mereka menasihati dengan berhemah.
“Melur..Mawar..hanya satu pinta ayah..ayah tak minta kamu berdua membuat kerja rumah dengan terpaksa. Jika rasa terpaksa, tak usahlah buat kerana terpaksa itu tiada nilai di sisi Allah jika tidak dengan hati yang ikhlas.”
Melur senyum lagi. Selepas itu dia dan Mawar malu sendiri. Bukan mereka tidak tahu tapi sengaja buat tidak tahu. Bermula saat itu, Melur dan Mawar tidak lagi bergaduh. Mereka mula melakukan kerja rumah dengan rela hati, berbakti pada kedua orang tua.
“Kak..Mawar tengok bonda dan ayah macam loving couple! Kalaulah Mawar dapat suami macam ayah, penyayang, loving..kan best!” Mawar senyum sambil melihat ayah dan ibu sama-sama meniup kayu api untuk membakar lemang sambil bergurau.
“Ha’a ..akak pun suka tengok. Ingatkan akak je yang idamkan suami seperti ayah..hihihi..”
Melur senyum sambil menjeling ke arah Mawar yang muda hanya tiga minit darinya.
Melur dan Mawar sama-sama menyambung kerja memasukkan daun pisang dan beras pulut ke dalam batang buluh. Sesekali mereka ketawa melihat gelagat ibu yang mencubit paha ayah yang menyapu arang ke muka ibu.
MALAM itu mereka berbuka sama-sama. Ibu sempat masak lauk ayam kampung goreng berempah dan sayur pucuk ubi yang dipetik di belakang rumah. Sedikit sambal belacan bersama ulam raja.Mereka menikmati juadah berbuka dengan penuh selera dan sama-sama ke masjid menunaikan solat terawih. Melur senyum lagi bila melihat ayah setia berada di sebelah ibu dalam perjalanan ke masjid yang hanya beberapa meter saja jaraknya dari rumah. Melur dan Mawar turut berpegangan tangan sambil berjalan di belakang ibu dan ayah.
Pulang dari terawih, ayah akan mengira duit hasil jualan untuk hari itu dan disimpan didalam peti kayu empat segi yang diletak dalam almari bilik. Tidak mahu disimpan di bank katanya. Menurut ayah lebih senang untuk membeli ubat untuk ibu sekiranya ibu demam lagi. Ayah juga menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah.Itu yang ayah mampu. Bukan tidak terniat untuk mengerjakan haji namun jika dilihat hasil jualan memang tidak akan pernah cukup. Namun semua itu tidak pernah mematahkan semangat ayah untuk terus berusaha mencari rezeki. Ayah ingin menunaikan keinginan ibu yang begitu ingin melihat bumi suci. Siang malam ayah mencari rezeki.
Masih terngiang kata-kata ayah…
“Wahai anak-anakku…tanamlah dalam hati untuk melihat kebesaran Allah di bumi suci. Jika tidak mampu ke sana, cukuplah dengan amalan seusai solat subuh, bacalah Quran sehingga masuknya waktu dhuha, maka tunaikanlah solat dhuha semoga dimurahkan rezeki..insyaAllah..dengan amalan itu juga sebenarnya kita mendapat pahala satu umrah sempurna..ingatlah wahai anak-anakku.”
Melur hanya tunduk sambil menyeka air mata mendengar tazkirah ringkas dari ayah tercinta setiap kali lepas solat. Dia pandang Mawar di sebelah yang manis dalam telekung putih. Dipandang ibu yang sentiasa mengukir senyuman kepada ayah. Betapa bahagia melihat ayah dan ibu.
bersambung..........
|