Lin Dan tersingkir
KEJUTAN atau memang komplot yang sengaja dicipta China apabila menyaksikan juara Olimpik 2008, Lin Dan tewas mengejut kepada pemain Denmark, Jan O Jorgensen (gambar) di pusingan kedua semalam.
Ketika ramai yang menjangka Lin Dan akan memberi kemenangan kepada Chen Jin andai kedua-duanya bertemu di suku akhir hari ini, jaguh China itu menukar skrip lebih awal bagi menafikan andaian dua bekas juara Terbuka Malaysia lalu, Peter Gade dari Denmark dan Taufik Hidayat (Indonesia).
“Saya terkejut dengan kemenangan ini, bagaikan tidak terkata kerana dapat menewaskan Lin Dan,” kata Jorgensen mengenai kemenangan pertamanya ke atas juara dunia itu.
“Saya rasa Lin Dan bermain di bawah tahap sebenar. Mungkin dia kepenatan kerana banyak menyertai kejohanan.
“Saya nampak apa berlaku kepada Lin Dan agak sama dengan yang berlaku kepada Datuk Lee Chong Wei sebelum Krismas lalu. Kini giliran dia pula mengalami kemerosotan.
“Apapun memang saya akui mempunyai stamina di kejohanan ini kerana saya tidak beraksi dalam banyak kejohanan sebelum ini. Mungkin juga kerana saya dahagakan kemenangan mendorong saya untuk bermain baik ketika bertemu Lin Dan,” kata Jorgensen.
Kemenangan ke atas Lin Dan 14-21, 21-15, 21-15 itu membolehkan Jorgensen menempah pertemuan dengan Chen Jin yang hanya beraksi satu set semalam. Chen Jin ke suku akhir selepas menang 21-11 ke atas Dynosius Hayom Rumbaka sebelum pemain Indonesia itu menarik diri pada set kedua kerana kecederaan.
Sebelum Lin Dan dan Jorgensen turun ke gelanggang semalam, Gade dan Taufik masing-masing meramal Lin Dan akan mengalah kepada Chen Jin bagi membantu pemain itu memperbaiki ranking dunia yang kini berada di kedudukan kelima.
Menurut dua pemain terbabit, China merancang menempatkan tiga pemain mereka di kelompok empat teratas dunia bagi membolehkan negara itu mempunyai tiga wakil maksimum di Sukan Olimpik dalam acara perseorangan lelaki. |