Kuala Lumpur: Pemuda ini memiliki ketinggian 187 sentimenter (sm) hingga digelar lonjong dan tinggi macam galah oleh orang sekeliling.
Penampilan Zahareen Hamzah, 22, itu disifatkan satu kelebihan kerana membolehkan dirinya mencapai rak paling atas almari kabinet dan menyentuh kipas siling dengan mudah.
Menurutnya, dia mula menyedari mengalami ketinggian 'luar biasa' ketika berusia 16 tahun.
"Ketika di sekolah rendah hingga tingkatan tiga, saya paling rendah dalam kelas. Tapi, ketika berusia 16 tahun saya makin meninggi. Pada mulanya tak perasan sangat, tapi apabila berjumpa kawan dan beratur saya boleh nampak semua kepala.
"Bagi saya, tinggi ni pun ada kekurangan. Kalau nak pakai baju tak boleh bawah kipas sebab tangan pernah terkena bilah kipas hingga berdarah. Setiap kali berjalan dengan kawan pula, tanpa sedar saya akan membongkok.
"Sedangkan perkara itu tak bagus sebenarnya. Jadi, untuk elakkan itu, saya kena sentiasa berjalan tegak.
"Selain itu, semua baju kemeja juga terpaksa ditempah. Kalau beli siap akan pendek. Macam baju-T pula, saya kena pakai yang muat-muat. Kalau beli saiz besar akan menggelebeh pula sebab saya kurus saja," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, abang kedua, Alfie Azreen, 33, memiliki ketinggian 192 sm dan anak saudara perempuannya berusia sembilan tahun, antara 140-150 sm.
"Dulu sewaktu masih ada kekasih, setiap kali keluar berdua orang akan cakap saya jalan dengan adik. Kakak ipar pun sama sebab tinggi dia paras bawah ketiak abang saya.
"Jika pergi bercuti dan dapat 'shower' rendah, saya terpaksa bengkok dan rendahkan lutut. Sebab 'shower' tu betul-betul di kepala. Malah, saya pernah ke Jepun, bilik di sana kecil, jadi, saya terpaksa duduk atas mangkuk tandas untuk mandi," katanya.
Menurutnya yang kini bergiat aktif dalam dunia peragaan mengakui sering ditolak setiap kali pergi menjalani uji bakat lakonan.
"Mereka tak nak ambil saya sebab terlalu tinggi dengan alasan nanti 'overshadow' hero. Saya pernah berlakon membawakan watak tambahan, kru terpaksa mengubah ketinggian kamera jika membabitkan babak saya," katanya.