|
rasa sebak didada..
AIR DICENCANG TAK AKAN PUTUS: Encik Ahmad Lee Abdullah (kiri) memberikan hongbao kepada ibunya, Cik Anna Lee (kanan), sementara ibunya memberi beliau dua biji limau, sambil diperhatikan oleh isteri Encik Lee, Cik Suriyati Abdul Samat, dan anak-anaknya, (dari kiri) Muhd Danial, Muhd Ridwan dan Muhd Ridhaa. -- Foto JOHARI RAHMAT
 |
Mudah cetak
E-mel

3 Feb 2011

SINGAPURA

Berlainan agama bukan halangan ziarah Tahun Baru Cina

Oleh
Linilidia Abdul Hamid
SETIAP tahun, Encik Lee Kim Choon, 42 tahun, tidak pernah lupa mengunjungi keluarganya pada hari pertama Tahun Baru Cina.
Beliau tetap berbuat demikian walaupun sejak 22 tahun lalu beliau sudah memeluk agama Islam.
Encik Lee, atau nama Islamnya Ahmad Lee Abdullah, memeluk agama Islam ketika berusia 20 tahun dan masih menuntut di sebuah pusat pra-universiti. Namun, bak kata pepatah, 'air dicencang tidak akan putus'.
Keluarga Encik Lee, yang ketika itu penganut Katolik, dan kini beragama Kristian, tidak membantah keputusannya.
'Saya beruntung kerana ibu bapa saya bersikap terbuka tentang keputusan saya memeluk agama Islam. Walaupun kami berlainan agama, layanan mereka terhadap saya tidak pernah berubah,' ujar Encik Lee.
Menurutnya lagi, meraikan Tahun Baru Cina merupakan salah satu cara beliau mengekalkan hubungan dengan keluarganya.
'Lagipun, ustaz yang mengajar saya tentang agama Islam pernah memberitahu bahawa saya tetap ada tanggungjawab terhadap ibu bapa saya walaupun kami berlainan agama,' ujar bapa tiga anak itu.
Katanya, beliau tidak pernah rasa terasing ketika mengunjungi orang tuanya kerana mereka masih boleh duduk makan semeja.
'Di Singapura, mudah untuk dapatkan daging halal. Ibu saya akan pastikan beliau dapatkan daging halal ketika siapkan makanan untuk kami makan bersama. Jadi, kami tidak pernah ada masalah makan bersama,' ujarnya, yang bertugas sebagai ketua jabatan sokongan operasi di Outward Bound Singapore.
Katanya, isu agama tidak pernah dijadikan sebagai satu masalah atau sebab untuk berjauhan daripada keluarganya.
Katanya, mendiang bapanya, Encik Steven Lee, yang meninggal dunia sekitar lima tahun lalu, telah menunjukkan contoh yang baik kepada beliau dan anak-anaknya dengan bersifat terbuka terhadap budaya dan agama lain.
Memberikan contoh tentang keterbukaan sikap ayahnya itu, Encik Lee berkata, ketika baru memeluk agama Islam, mendiang ayahnyalah yang mengejutnya bangun bersahur pada bulan Ramadan.
'Beliau tidak perlu kejutkan saya untuk bersahur tapi beliau tetap melakukannya,' ujarnya.
Sementara itu, ibu Encik Lee, Cik Anna Lee, 72 tahun, pula berkata apa pun agama anaknya, beliau tetap anaknya.
Malah, katanya, beliau juga sayangkan cucu-cucunya yang memanggil beliau 'Nanny' dan kadangkala mereka bermalam di rumahnya.
'Sebagai seorang ibu, takkan saya sampai hati nak 'halau' atau pulaukan anak saya hanya kerana beliau tukar agama,' ujar Cik Lee.
|
|
|