Telefilem ganti filem?
Oleh Norhadiani Baharom
[email protected]
STATUS penggambaran filem Vanila Coklat yang sepatutnya berlangsung Mei lalu, sehingga kini masih belum diputuskan tarikhnya. Apakah ia akan direalisasi mahupun berkubur begitu saja, jawapan terhadap persoalan itu hanya mampu dijawab pihak produksi Asia Media Content (AMC) selaku penerbit drama popular berkenaan. Mungkinkah juga pembikinan telefilem Vanila Coklat Raya yang tiada dalam perancangan asal AMC, dihasilkan sebagai menggantikan perancangan tergendala itu?
Apa yang pasti, filem mahupun telefilem naskhah Vanila Coklat itu sememangnya dinanti-nantikan penggemarnya tambahan pula, karya berkenaan antara drama bersiri paling popular di TV3 dengan catatan rating 4.5 juta penonton pada siaran terakhirnya Mac lalu.
Pada 27 Julai yang lalu, RAP berkesempatan meninjau pembikinan Vanila Coklat Raya yang diadakan di Templer Park Resort, Rawang.
Masih mengekalkan barisan pelakon asal iaitu Izara Aishah dan Aiman Hakim Ridza sebagai teraju utama, ia turut bintangi Liza Abdullah, Zuhairi, Arash Mohd. dan Emma Akma.
Berlaku sedikit perubahan pada senarai barisan produksi di mana Vanila Coklat Raya kali ini dipimpin oleh pengarah Jamal Khan serta pertukaran krew.
Sebagaimana diketahui umum, menerusi siri ia diarahkan oleh Emi Suffian Sabhe.
Tiada kontroversi di sebalik penggantian tangan itu sebaliknya inilah kelainan yang cuba ditampilkan menerusi Vanila Coklat Raya yang bakal bersiaran jam 9 malam pada lebaran pertama.
Jamal Khan, 37, berkata, tiada perubahan besar dilakukan malah, memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelakon untuk membawa watak mereka sebagaimana yang diterima penonton menerusi drama bersiri Vanila Coklat sebelum ini.
“Saya sedar bahawa drama bersiri Vanila Coklat sebelum ini yang ditangani Emi Suffian sangat berjaya. Memang satu cabaran besar untuk memastikan telefilem ini diterima ramai sebagaimana sirinya.
“Sebagai pengarah walaupun saya punya cara tersendiri, namun, saya tidak mengekang artis-artis untuk menggayakan watak mereka seperti mana sebelumnya.
Itu yang penonton justeru kita kekalkan.
“Jika hendak dikatakan cara pengarahan saya berbeza dengan Emi, sebenarnya saya secara peribadi merasakan tidak jauh berbeza kerana saya sendiri adalah anak murid Emi.
“Saya banyak belajar daripadanya selok-belok dunia pengarahan, cuma kalau adapun cabaran saya adalah untuk mengekalkan sentuhan Emi yang disukai ramai, memanfaatkan durasi 90 minit dengan menyampaikan wadah yang menghiburkan.
“Mungkin kalau adapun perbezaan dari segi permainan ‘lakon layar’. Saya seorang yang gemar memberi fokus kepada ‘syot’ yang menggambarkan ekspresi dan emosi dengan jelas kerana saya percaya penonton sukakan sesuatu mesej disampaikan secara telus kerana mereka menonton untuk berhibur bukan untuk berfikir,”
katanya. Berkisar perkahwinan muda, Vanila Coklat Raya mengisahkan Zara dan Aamir bergaduh lagi selepas pulang dari bulan madu mereka yang ketiga kerana persoalan yang ditimbulkan Aamir kepada Zara mengenai keengganan Zara untuk mengandung.
Zara belum bersedia dan merajuk kerana dia merasakan Aamir tidak faham akan keadaannya. Perubahan sikap Aamir menimbulkan kesangsian rakan-rakan Zara bahawa Aamir ada teman wanita lain.
Mereka mencadangkan Zara untuk mengubah penampilan diri daripada seorang yang kasar kepada lemah lembut. Kesibukan Aamir yang sedang menjalankan latihan praktikal di sebuah majalah sebagai jurufoto tanpa disedari mengabaikan Zara dan memberi peluang kepada Kamal untuk menambat semula hati Zara.
Pada masa yang sama, Liya muncul secara tiba-tiba dan secara kebetulan dia menjadi model sambilan untuk majalah yang Aamir berkerja.
“Dalam konflik serta pertengkaran yang berlaku antara Zara dan Aamir, saya perlu membawa penonton melihat keindahan hidup berumah tangga. Ini kerana, tidak semua perkahwinan muda gagal sebaliknya ada yang berjaya.
“Bagaimana kita ingin memaparkan keindahannya, ia terletak di tangan pengarah di mana tidak seharusnya permasalahan dialami pasangan muda ditonjolkan tanpa membawa penonton melihat sisi keindahannya.
“Jika tidak, orang akan takut untuk berkahwin muda sedangkan perkahwinan itu sangat dimuliakan dalam agama. Di sini, saya mengangkat watak kedua ibu bapa pasangan muda itu yang memainkan peranan mereka dalam menyelamatkan hubungan anak-anak.
“Pendek kata, dalam menyalurkan komedi hubungan kekeluargaan sangat dititikberatkan dalam Vanila Coklat Raya ini. Mudahan ia menjadi hiburan yang baik buat penonton di Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 17/08/201
_____________________________________________________________________________________________
Harian Meteruk yg x sabar jugak nak tengok VC the movie direalisasikan....
btw, pengarah tukor katanya... mesti lain sikit kot drp series
Kamal pekebun ada ke? kat pic BTS AMC xde nampak kamal pon.... mutip tibe rindu kat kamal pekebun Last edited by ahkiluz on 17-8-2012 08:45 AM
|