|
Penghormatan buat AsriOleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
[email protected]
Gambar HARUN OSMAN
NAMA Rabbani sudah cukup sinonim dengan konsert Malam Sinar Maulidur Rasul yang dianjurkan setiap kali tibanya hari keputeraan junjungan yang dikasihi, Nabi Muhammad S.A.W.
Ini merupakan kali ketiga konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1431 Hijrah diadakan selepas kali pertama pada tahun 2006 dan kali terakhir, tahun lalu.
Kali ini, bagaikan sudah menjadi kemestian kumpulan nasyid popular itu sekali lagi mengajak umat Islam di seluruh tanah air khususnya para peminat mereka yang tinggal di Terengganu untuk sama-sama turun padang memeriah serta menghayati makna sebenar di sebalik sambutan tersebut.
Mencari kelainan, bertempat di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Terengganu konsert yang turut melibatkan persembahan daripada beberapa artis terkenal tempatan ituakan berlangsung pada 19 Februari ini pukul 8 malam.
Artis-artis lain yang turut menjayakan konsert tersebut ialah Jamal Abdillah, Aishah, Datuk Sharifah Aini, Yasin dan Joe Flizzow.
Turut serta ialah penceramah tersohor, ustazah Datuk Siti Nor Bahyah.
Apa yang menariknya, konsert tersebut kali ini dibuat secara terbuka dan tanpa sebarang tiket.
Ia sebagai memenuhi hasrat bekas solo utama kumpulan itu, Allahyarham ustaz Asri Ibrahim sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 13 Ogos tahun lalu.
Salah seorang anggota kumpulan itu, Azadan Abdul Aziz atau Azadan pada sidang akhbar konsert Malam Sinar Maulidur Rasul dan pelancaran album terbaru mereka, Mahabbah di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, ia sebagai memenuhi kehendak Allahyarham Asri yang mahukan mesej daripada konsert tersebut dikongsi tanpa had. |
|