Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan pengurungan salah susulan pendedahan anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, Ummu Atiyyah yang mendakwa menjadi mangsa keganasan dan dipaksa berkahwin dengan seorang pemimpin Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam berusia 41 tahun itu sudah membuat laporan polis mendakwa dipaksa berkahwin dengan seorang pemimpin GISBH di Turkiye sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar, Perak.
Menurutnya, pengadu menyatakan di perkampungan terbabit dihuni oleh ramai remaja dan dewasa dalam lingkungan usia 13 tahun dan ke atas.
"Dia mendakwa dikurung dalam sebuah bilik rumah setingkat kira-kira sebulan serta tidak diberi kemudahan menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.
"Pengadu menyatakan bahawa dia cuba melarikan diri kerana tidak tahan perbuatan pengikut GISBH yang kurungnya dan memisahkan dengan anaknya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Razarudin berkata, mangsa pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Taiping sekitar tahun 2018 dan kini sedang mengambil ubat di Hospital Melaka.
"Laporan dan keterangan perubatannya sedang dalam proses diperolehi.
"Mangsa juga akan hadir dan menunjukkan semula lokasi rumah dia dikurung esok bagi membantu siasatan," katanya.
|