Isu Wang Lesap, PA Tegur Peguam Zamani[size=0.688em]Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2015 2:34 PM
[size=0.75em]Zamani (Slam) semakin pulih selepas mendapatkan rawatan dadah di sebuah pusat pemulihan.
[size=0.813em] (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Penyanyi Zamani tidak pernah memberikan sebarang pengesahan berhubung isu kononnya wang dia lesap daripada akaunnya.
Pengurus peribadi (PA) Zamani iaitu Aalan Ahmad ketika dihubungi berkata, dakwaan yang dibuat oleh peguam penyanyinya, Ahmad Zaharil Muhaiyar menerusi laman Facebook miliknya sama sekali tiada asas kukuh.
"Saya sudah bersama Zamani sejak 1994 dan dia tidak pernah cerita apa-apa kepada saya tentang kehilangan wang daripada akaun banknya.
"Persoalan di sini adakah benar kenyataan itu datang daripada mulut Zamani sendiri?," soalnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Terdahulu, Ahmad Zaharil menerusi status itu memberitahu Zamani ada memberitahu ke mana perginya wang hasil titik peluhnya selama ini dan siapakah membelanjakan wang tersebut.
Dalam pada itu, Aalan memberitahu, sekiranya benar Zamani mengeluarkan kenyataan sedemikian dia yakin pihak peguam sudah melakukan siasatan dan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Jelas Aalan lagi, dia juga tidak mengetahui atas alasan apa atau kepada siapa status tersebut ditujukan selain mempertikaikan kenapa isu itu ditimbulkan.
"Saya sudah bersama Zamani terlalu lama dan kenapa sekarang baharu isu sebegini ini ditimbulkan.
"Sekiranya benar apa yang didakwa itu keluar daripada mulut Zamani sendiri, lakukan siasatan kerana sebagai peguam dia lebih mengetahui caranya," katanya.
Bagaimanapun kata Aalan, dia berharap Ahmad Zaharil lebih memberi tumpuan kepada sebutan kes Zamani berhubung isu dadah yang akan disebut di mahkamah pada 10 April ini berbanding perkara-perkara lain.
Sementara itu, Aalan berkata, keadaan Zamani kini semakin pulih selepas mendapat rawatan pemulihan dadah di sebuah pusat pemulihan di ibu negara.
|