|
Salam
Airil terkejut senario dunia hiburan tempatan
Oleh Sakini Mohd Said
[email protected]
Rap
SESUATU yang pasti, kehidupan Khairil Azam Pilus atau Aril, 24, tidak lagi seperti dulu sejak memegang gelaran naib juara Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh.
Semuanya berubah dan ia bukanlah sesuatu yang asing kerana seperti mereka sebelumnya, jadual artis kelahiran program realiti nyanyian pastinya padat.
Apatah lagi, rezeki mula terbentang luas kepadanya kerana baru beberapa hari konsert kemuncak AF7 berakhir, dia dan pemenang ketiga AF7, Afiq Hakim Ahmad atau Akim disambar terbang ke Jakarta untuk terbabit dengan penggambaran sebuah drama muzikal usahasama Astro dan produksi di sana.
Sekembalinya dari Indonesia, Aril hanya sempat meletak bagasi di rumah dan terus diterbangkan ke Ipoh untuk membuat persembahan di majlis resepsi perkahwinan pengkritik tetap AF7, Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila Abdul Hamid.
Tidak sempat beramah-mesra dengan peminatnya, Aril terpaksa memohon maaf kerana terpaksa terus pulang ke Kuala Lumpur berikutan terikat dengan jadual kerja yang diatur Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).
Seperti kebanyakan artis baru yang mula berasa tempias populariti dan kehidupan sebenar dunia glamor apabila berkecimpung dalam bidang seni, hakikat itu turut dirasai Aril.
Katanya, cabaran untuk artis baru sepertinya lebih besar apabila perlu bersaing dengan ramai artis termasuk penyanyi senior yang sudah menempa nama dan mempunyai banyak pengalaman.
"Saya seronok menjadi artis dan inilah karier impian yang ditunggu selama ini.
"Bukan kerana glamor, tetapi kepuasan untuk turut serta memeriahkan lagi persada dunia hiburan tempatan. Malah, tidak pernah terfikir sebelum ini cita-cita menjadi artis akan tercapai jua.
"Selepas menjadi artis, kehidupan yang dilalui sangat berbeza. Sekiranya dulu, saya boleh buat apa saja tanpa mengambil tahu pandangan orang, kini banyak hati dan perasaan yang kena saya jaga terutamanya keluarga.
"Sudah tentu saya tidak mahu melakukan sesuatu perkara yang boleh menghiris perasaan keluarga, rakan-rakan dan sesiapa mengenali diri ini.
"Justeru, setiap pagi saya akan sentiasa mengingatkan diri tujuan sebenar pembabitan dalam dunia hiburan tempatan agar tidak melencong arah suatu hari nanti," katanya.
Menurut Aril, ketika di akademi, dia pernah berimaginasikan rentak dunia seni.
Namun, apabila keluar dari akademi, dia dapati realitinya adalah jauh berbeza dari apa yang selalu diimpikannya selama ini.
"Secara jujur, saya agak terkejut dengan senario sebenar persada seni dan barulah saya tahu betapa susahnya apabila berhadapan dengan realiti.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sewaktu berada di akademi, banyak pengetahuan berkaitan dengan dunia hiburan tempatan didedahkan.
"Dengan pengetahuan yang ada ini, sedikit sebanyak membantu saya menerokai pentas hiburan," katanya.
Biarpun adik kepada Izwan Pilus ini dilihat agak sepi kemunculannya berbanding Akim dan juara AF7, Hafiz, namun secara realiti, Aril bertungkus-lumus mencipta nama dalam industri hiburan tempatan berdasarkan aktiviti yang perlu dipenuhi.
"Mungkin kerana kurang muncul di kaca tv, ramai menganggap saya tidak menerima tawaran atau tidak aktif. Tetapi, yang betulnya saya banyak mendapat tawaran membuat persembahan mengikut aktiviti anjuran AESB," katanya. |
|