|
Zul-Isma Kecundang Di Separuh Akhir 'SB'
Credit: mStar Online Isnin Disember 21, 2009
![](http://mstar.com.my/archives/2009/12/21/mstar_hiburan/014078966.jpg)
KUALA LUMPUR: Malam Debaran Sehati Berdansa minggu ke-9 telah menyaksikan pasangan Zul dan Isma gagal untuk melangkah ke pentas akhir minggu hadapan apabila tersingkir malam tadi.
Pasangan itu mendapat keputusan undian terendah, 58 peratus berbanding pasangan Sein dan Nana, 70 peratus dan pasangan Sazzy dan Nazril dengan 61 peratus.
Penyingkiran pasangan ini bagaimanapun membolehkan mereka menyumbang sebanyak RM9,000 kepada badan kebajikan yang diwakili mereka, Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia.
Menurut Isma yang ditemui di majlis sidang media selepas itu, dia sedikit kecewa kerana terpaksa akur dengan penyingkiran itu.
Tambahnya, dia dan suami, Zul bagaimanapun berpuas hati dan gembira dengan segala usaha dan komitmen yang telah mereka berikan sepanjang sembilan minggu berada dalam program realiti tarian popular ini.
"Saya akui memang agak sedih dan hampa sebab tidak dapat teruskan cabaran ke Malam Kemuncak minggu depan.
"Namun, saya akur dengan keputusan ini. Kami telah memberikan yang terbaik sepanjang sembilan minggu di sini, mungkin setakat ini saja rezeki kami.
"Saya dan suami sangat gembira dengan apa yang telah kami usahakan. Kami sedikit pun tidak tertekan walaupun terpaksa menari dua jenis tarian untuk minggu ini.
"Walaupun tak berjaya ke Malam Kemuncak, tapi kami telah berikan yang terbaik. Mereka lebih layak ke Malam Kemuncak," kata Isma yang gagal menahan emosinya.
Zul pula menyifatkan, dia tidak pernah menyangka akan bertahan sehingga ke minggu ke-9.
Ketika ditanya mengenai penarikan diri oleh pasangan Oshin dan Firdaus daripada program itu minggu ini, Penerbit Eksekutif Sehati Berdansa, Norazian Zahir berkata, keputusan itu adalah sesuatu yang berada di luar kawalan dan tidak dijangka sama sekali. Pengunduran Oshin adalah disebabkan oleh masalah kesihatan.
Pentas akhir Malam Kemuncak Sehati Berdansa di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 26 Disember depan jam 9 malam akan menyaksikan persaingan dua pasangan, Sazzy dan Nazril serta Sein dan Nana. |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by Rorine at 23-12-2009 09:15
Zul nafi terlalu yakin
Credit: utusan Malaysia Online 23 Disember 2009
![](http://www.utusan.com.my/pix/2009/1223/Utusan_Malaysia/Hiburan/hi_01.1.jpg)
PASANGAN Zul dan Isma menyerahkan replika cek bernilai RM9,000 kepada Zainal Azhar Ahmad (kiri) selepas terkeluar daripada persaingan Sehati Berdansa 3 di peringkat separuh akhir di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
PERINGKAT separuh akhir program realiti televisyen (TV), Sehati Berdansa 3 (SB3) merupakan tangga terpenting bagi melayakkan dua pasangan pesertanya bersaing merebut gelaran juara pertandingan tersebut.
Sayangnya, nasib kurang menyebelahi pasangan Zul dan Isma apabila mereka tersingkir bagi memberi laluan buat pasangan Sazzy dan Nazril serta Sein dan Nana meneruskan persaingan pada peringkat separuh akhir, baru-baru ini.
Meskipun pasangan itu sering mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi para penonton dan juga pujian melangit daripada pengkritik tetap Joseph Gonzales, tetapi itulah hakikat yang terpaksa mereka terima.
Hakikatnya undian SMS yang tidak menentu selain kritikan mengatakan gaya persembahan Zul yang seolah-olah terlalu yakin untuk mara ke final SB3 jelas kelihatan melalui raut wajahnya setiap kali dia mengadakan persembahan turut diperkatakan.
Bagaimanapun, bekas anggota kumpulan 2 By 2 itu menafikan dia terlalu yakin setiap kali beraksi bersama pasangannya. Sebaliknya, ia merupakan sesuatu yang harus dilakukannya bagi memberikan gaya persembahan terbaik.
"Memek muka itu datangnya dari hati. Ia tidak boleh ditukar-tukar. Kalau ada orang kata saya over confident (terlalu yakin), saya tidak tahulah daripada sudut yang mana. Bagi saya, keyakinan itu kena ada untuk kita melakukan sesuatu.
"Kami sendiri tidak terfikir untuk berada sehingga ke tahap ini. Itu mungkin suatu energy (tenaga) untuk kami. Tidak ada over confident. Dulu semasa menyanyi bersama kumpulan 2 By 2 saya bergerak ke sana ke mari menari dan menyanyi.
"Tetapi apabila juri memuji ia sebagai menghargai kemampuan saya," katanya menjawab persoalan itu pada sidang media selepas berakhirnya peringkat separuh akhir SB3 di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambil akur dengan keputusan yang ditentukan 50 peratus oleh markah juri dan 50 peratus melalui SMS itu, Zul tidak menafikan telah melakukan sedaya upayanya dalam setiap jenis tarian yang ditugaskan kepadanya.
Biarpun Joseph Gonzales cukup terhibur dengan kebanyakan aksi tarian Zul dan Isma, namun Pengurus Artis & Repertoire syarikat rakaman SRC itu tidak menafikan menempuh kesukaran dalam menarikan sesetengah jenis tarian.
"Tarian Jaiha Bollywood merupakan tarian yang paling mencabar saya dan Isma. Selain menari kami juga berlakon dalam tarian itu. Kami juga terpaksa menari tanpa henti, malah alunan muziknya juga agak laju," ujarnya.
Isma sewaktu ditemui selepas usainya peringkat separuh akhir program realiti TV terbitan Astro Ria itu turut tidak dapat menahan rasa sedihnya sehingga menitiskan air mata saat namanya dan Zul diumumkan tersingkir daripada program itu.
Isma yang juga kakak kepada penyanyi kumpulan New Boyz, Tomok, mengakui dia amat kecewa kerana tidak dapat bertanding pada final SB3 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 26 Disember ini.
"Saya kecewa sebab tidak dapat meneruskan cabaran ke final SB3. Tetapi pada masa sama saya gembira kerana berjaya sampai hingga ke minggu kesembilan pertandingan ini. Mungkin nasib tidak menyebelahi kami.
"Ia juga bukan rezeki kami. Kami tidak terfikir untuk ke final tetapi apabila sudah berada pada tahap ini memang teringin beraksi di final SB3. Tidak dinafikan saya dan Zul memang kecewa," kata Isma atau nama sebenarnya Ismaliza Ismail, 30.
Dengan penyingkiran Zul dan Isma itu, mereka berjaya mengumpul wang berjumlah RM9,000 bagi disumbangkan kepada Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia yang diserahkan kepada Pengerusinya, Zainal Azhar Ahmad.
Berdasarkan keputusan SMS pada peringkat separuh akhir SB3 yang diacarakan oleh Awal Ashaari itu pasangan Sein dan Nana menerima undian 70 peratus, Sazzy, Nazril (61 peratus) dan Ismal, Zul (58 peratus).
Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi menolak dakwaan atau khabar angin mengatakan penyingkiran Zul dan Isma itu merupakan salah satu percaturan stesen TV terbabit bagi meraih lebih banyak SMS.
Ia antara lain berdasarkan populariti finalisnya iaitu Sazzy Falak yang merupakan seorang pelakon dan pengacara program TV serta pembabitan selebriti seperti Sein yang dikenali ramai sebagai bekas anggota kumpulan Ruffedge.
"Dakwaan itu tidak ada kena mengena dengan keputusan pada malam ini. Astro Ria tidak ada kena mengena apatah lagi membuat percaturan bagi menentukan pasangan peserta manakah yang akan bersaing pada final SB3 kelak.
"Ini kerana, 50 peratus undian datangnya daripada para penonton dan 50 peratus lagi daripada juri. Cuma untuk final nanti 100 peratus pemilihan pemenang SB3 akan ditentukan melalui undian SMS," katanya pada sidang media.
Azlin turut menjelaskan, SB musim ketiga pada tahun ini menawarkan hadiah yang lebih tinggi untuk disumbangkan kepada persatuan-persatuan yang diwakili oleh bakal juara dan naib juara pertandingan itu.
Katanya sebelum ini juara SB hanya menyumbang RM15,000 kepada persatuan amal yang diwakili berbanding RM20,000 pada tahun ini, begitu juga dengan naib juara sebanyak RM15,000 berbanding RM10,000 pada tahun sebelumnya.
Pada majlis itu, pasangan Sazzy dan Nazril serta Sein dan Nana pula tidak menyembunyikan rasa gembira mereka apabila terpilih bertanding pada peringkat akhir SB3 yang mempertandingan pasangan golongan selebriti suami isteri.
Sazzy yang pernah menarik perhatian ramai penonton menerusi lakonannya dalam filem Gol & Gincu arahan Bernard Chauly menyifatkan, pembabitannya dalam SB3 sebagai antara pengalaman yang sukar dilupakannya.
"Pembabitan saya dalam SB3 adalah pengalaman manis saya bersama Nazril. Menang atau kalah adalah perkara nombor dua. Saya berasa bangga kerana menyertai SB3 apatah lagi berjaya sehingga ke tahap ini," komennya.
Keputusan separuh akhir SB3 yang menyaksikan pasangan Sein dan Nana kini berada di atas berdasarkan undian SMS turut berkobar-kobar bagi memperlihatkan gaya tarian mereka untuk tontonan para peminat peringkat final kelak.
Jelasnya, biarpun gembira kerana terpilih bersaing di final SB3, tetapi pada masa sama Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 26, berasa sedih di atas penyingkiran pasangan Isma dan Zul.
"Syukur rezeki berpihak kepada kami. Ini adalah ketentuan Allah Yang Maha Esa. Kami sudah lakukan yang terbaik. Tetapi sayangnya ada pasangan yang tersingkir. Kalau boleh saya mahu ketiga-tiga pasangan ini ke final," jelasnya.
Selain Isma dan Zul, pasangan Oshin dan Firdaus juga tidak bersaing di final SB3 selepas difahamkan pasangan itu menarik diri pada peringkat separuh akhir pada saat-saat akhir kerana masalah kesihatan.
Penerbit Eksekutif SB3, Norazian Mohd. Zahir menjelaskan, masalah yang dihadapi oleh pasangan Oshin dan Firdaus itu tidak dapat dielakkan di mana pihaknya menerima keputusan itu dengan tangan yang terbuka.
"Khamis lalu masa rakaman Oshin telah dimasukkan ke hospital kerana dia terlalu lemah dan stres. Dia (Oshin) tidak mampu menari. Pada mulanya dia ada simptom mengandung tetapi ia negatif selepas pemeriksaan doktor," ujarnya.
SB3 akan sampai ke kemuncaknya pada 26 Disember ini apabila ia akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya mulai pukul 9 malam sehingga 10 malam.
Selain Joseph Gonzales selaku pengkritik tetap dan dua lagi pengkritik jemputan pada SB3, final pertandingan menari itu kelak akan mempertandingan tarian kontemporari Melayu dan Latin untuk para finalisnya.
Juara SB3 akan menerima sebuah kereta dan pakej percutian, manakala pasangan terbabit akan menyumbangkan wang tunai RM20,000 kepada persatuan yang mereka wakili, sementara koreografer pula menerima pakej percutian.
Sementara naib juaranya pula akan menerima hadiah berupa pakej pelancongan, manakala pasangan terbabit akan menyerahkan wang tunai RM15,000 kepada persatuan yang mereka wakili dan koreografer pula mendapat pakej percutian. |
|
|
|
|
|
|
|
Post Last Edit by Rorine at 24-12-2009 11:00
Balas pengorbanan isteri
Credit: Kosmo! Online 24 Disember 2009
![](http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2009/1224/Kosmo/Hiburan/hi_01.1.jpg)
BIARPUN mereka sudah disatukan sebagai pasangan suami isteri, hakikatnya ada sebilangan masyarakat yang tertanya-tanya apa perlunya si suami, Zulkifli Majid atau Zul selalu berkepit dengan isterinya, Isma ke sana ke mari.
Bayangkan ada sahaja kelibat Zul di sisi Isma tatkala isterinya mengadakan persembahan mahupun menjayakan sesi fotografi, seolah-olah mereka tidak mampu berpisah walaupun sekejap.
Tidak dinafikan, ada yang gemar melihat keintiman Zul dan Isma. Tidak terkecuali, ada yang mula bosan dengan Zul yang seperti ingin menumpang populariti wanita berusia 30 tahun itu selepas mencipta kedudukan dalam dunia seni menerusi Akademi Fantasia 7 (AF7).
Tambahan pula pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 16 April 1998 turut menyertai program Sehati Berdansa musim ketiga, biarpun terkeluar minggu lalu, menguatkan lagi andaian bahawa Zul punya agenda untuk meraih semula glamor yang pernah dikecapi lebih sedekad lalu.
Sewaktu pasangan itu muncul di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini, pertanyaan sama terus diajukan kepada Zul tanpa berselindung demi mendapatkan kepastian daripada tuan badan.
Tenang sekali wajah Zul tatkala 'ditembak' dengan soalan yang menyentak hati itu. Enggan mengulas lebih lanjut, Zul sebaliknya mengisyaratkan lampu hijau kepada Isma atau nama lengkapnya Ismaliza Ismail untuk merungkaikan terlebih dahulu apa yang tersurat dan tersirat dalam lubuk jiwanya agar tidak lagi disalah erti.
"Zul sentiasa berada di sisi sebab dia membantu menguruskan karier seni saya yang baru hendak bermula. Saya sedar Zul juga tidak boleh berterusan jaga saya kerana dia bekerja dengan Suria Records Sdn. Bhd. (SRC) dan bergelar komposer.
"Selain berada di bawah kendalian Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zul kena selalu ada dengan saya sebagai tempat rujukan dan panduan kerana dia lebih berpengalaman dalam dunia seni.
"Saya sendiri tidak ada sebarang masalah kalau Zul terus jaga saya. Memanglah suatu hari nanti saya kena pandai-pandai bawa diri sendiri dalam dunia seni. Tetapi saya rasa lebih bagus kalau ada suami yang menemani ke mana-mana.
"Cuma Zul pernah cakap kepada saya apabila sudah sampai masanya saya bergerak sendiri, dia tidak akan mengikut lagi saya seperti awal-awal bergelar artis. Dia bagaimanapun sekadar pantau saya dari jauh," katanya bersungguh-sungguh sambil menerangkan hakikat sebenar.
Usai sahaja Isma menggulung kesimpulan, Zul mula menambah butir bicara isterinya. Zul memberitahu dia tidak lagi memerlukan kemasyhuran, jauh sekali mendampingi isterinya di laman seni semata-mata harapkan sanjungan semula.
![](http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2009/1224/Kosmo/Hiburan/hi_01.2.jpg)
TIDAK timbul soal siapa tumpang populariti siapa kerana yang penting bagi Zul dan Isma mereka perlu saling menyokong.
Kalau hendak cakap tumpang glamor isteri, memang tidak benar sama sekali. Sudah puas rasanya saya melibatkan diri dengan industri nyanyian sejak tahun 1995 bersama kumpulan 2 By 2.
"Kemudian saya sertai SRC pada tahun 1999 dan pada waktu sama saya menggubah lagu. Cuma kalau dia jadi penyanyi, saya anggap ia sebagai bonus tambahan kerana Isma dapat kembangkan bakatnya dan pendapatan keluarga kami juga bertambah.
"Saya hanya bantu dia dari belakang saja. Tidak wujudlah istilah saya sengaja menempel dengan isteri sebab inginkan glamor," ujar Zul dalam nada serius.
Soal cemburu tidak timbul
Selepas menamatkan program AF7 beberapa bulan lalu, kehidupan Isma kini dilihat drastik berubah.
Tidak hanya menerajui status sebagai isteri dan ibu di rumah seperti sebelumnya, Isma sebaliknya kini menjadi individu yang dikenali ramai dan punya pemuja sendiri.
Lantaran itu, sebagai suami apakah Zul tidak pernah sesekali bimbang dengan isterinya yang memijakkan kaki di gelanggang seni yang cukup lengkap dengan pelbagai gosip dan kritikan?
Menjawab tentang atmosfera tersebut, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kau Mawarku itu bagaimanapun tidak pernah khuatir dengan permainan dan asam-garam dunia hiburan yang dijalani oleh isteri kesayangannya.
![](http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2009/1224/Kosmo/Hiburan/hi_01.3.jpg)
"Soal cemburu atau bimbang tidak pernah timbul. Saya bagaimanapun kagum dengannya kerana sebelum berkahwin, dia sudah membuat album.
"Disebabkan ingin mendirikan rumah tangga dengan saya, dia sanggup lepaskan peluang untuk jadi artis sebab syarikat rakamannya enggan membenarkan dia ada sebarang komitmen kalau mahu album dia dilancarkan. Dia terus memilih untuk jadi suri rumah tangga sepenuh masa pada masa itu.
"Sekarang dia sudah bersedia sepenuhnya untuk jadi penyanyi walaupun rezekinya agak lewat. Lepas dia kahwin, saya tetap tidak halang dia daripada terus menyanyi. Dia banyak menerima undangan nyanyian untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan lain-lain.
"Sehinggalah AF6 membuka peluang kepada golongan ibu menyertainya namun, dia tidak boleh masuk dek tengah mengandung. Dia cuba nasib pada AF7 dan rezeki terus berpihak kepadanya.
"Waktu itu saya hanya cakap kepada dia kalau dapat, tangani dengan baik mulut-mulut nakal di luar sana tentang kemasukan ibu beranak lima melibatkan diri dengan AF7 maka itu saja sudah memadai kepada saya.
"Alhamdulillah, dia sahut cabaran saya dan terus kekal sehingga ke peringkat akhir AF7. Justeru, saya cukup kagum apabila lihat kegigihan dia yang bersungguh-sungguh untuk menunjukkan bakatnya dalam bidang nyanyian kepada khalayak.
"Saya juga berkata kepadanya walaupun suami sendiri kerja dengan syarikat rakaman namun saya akan biarkan dia belajar dari bawah," jelas Zul sambil mengerling manja ke arah isterinya.
Tampil dengan album duet
Walaupun punya rencana untuk tidak bergantung harap dengan suami sendiri dalam langkahnya ke persada seni, Isma tetap tidak mampu menolak untuk menyanyikan karya garapan Zul.
Lagu pertama dihasilkan Zul manakala liriknya digarap oleh Slen kepada itu Isma berjudul Bisikan... Godaan dilagukan pada peringkat akhir AF7. Selepas itu, Isma muncul dengan single kedua bersama AESB dengan mendendangkan lagu gubahan Zul dan liriknya ditulis oleh Zimi (Sofaz), Berbicara.
Terbaru, Isma berpadu suara dengan Zul menerusi lagu Andai Bisa yang sedang berkumandang di corong-corong radio tanah air.
Beritahu Zul, lagu yang mengambil masa selama dua bulan untuk disudahkan sepenuhnya itu merupakan karya berentak balada mengisahkan tentang kisah cinta mereka sebelum berakhir ke jenjang pelamin.
![](http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2009/1224/Kosmo/Hiburan/hi_01.4.jpg)
SUDAH lebih 11 tahun menyulam cinta, pasangan ini sudah dikurniakan lima cahaya mata.
"Lagu dengan tema cinta ini berkisar pasangan yang saling sayang-menyayangi namun ada sedikit sikap ego dalam diri salah seorang daripada mereka. Dari situlah idea untuk menghasilkan lagu ini bermula daripada awal percintaan sehingga berkahwin. Sebenarnya ada jugalah kena-mengena dengan cerita kami.
"Penghasilan lagu ini menjadi permulaan kami untuk muncul berdua. Kami mahu lihat reaksi daripada peminat terlebih dulu sebelum merancang pelbagai perkara.
"Kami ada menerima cadangan daripada orang di sekeliling yang mahukan kami buat album penuh. Tetapi kami sekadar memulakan dengan lagu Andai Bisa sebelum merancang untuk membuat album duet penuh," jelas Zul.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|