Edited by qwerty02 at 12-6-2022 12:56 PM
Karakter sisi lain
FATTAH keluar zon selesa buktikan mampu lakon watak jauh berbeza dari kebiasaan.
MELAKONKAN watak nelayan dalam telefilem Matahari Tak Bercahaya yang ditayangkan di TV3 pasti saja menimbulkan rasa skeptikal dalam kalangan penonton dengan menganggap penampilan dimiliki Fattah Amin tidak sesuai dengan watak sebegitu. Namun, jauh di sudut hati Fattah, 32, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, dia sudah lama mengimpikan untuk melakonkan watak yang jauh berbeza dari kebiasaan yang pernah dilakonkan sebelum ini.
Dalam erti kata lain, Fattah juga pelakon filem KL Special Force bersedia untuk muncul comot dan kotor untuk watak seperti nelayan, pekebun atau apa saja watak seumpamanya.
"Kalau kita tengok drama luar negara, contoh KDrama, kalau watak macam ini (nelayan), itu penampilan mereka iaitu memang sudah sedia ada rupa. Tapi, bagi saya itu adalah cabaran sebagai pelakon yang mana bukan saja cuba membawa watak itu dari segi lakonan, tapi juga dari segi pakaian dan cara kita membawa satu watak.
"Kalau itu semua sudah kuat, kadang-kadang orang tak nampak perkara lain dah, orang akan fokus pada watak itu. Sebagai pelakon itu adalah tanggungjawab dan tugas. Penonton pula perlu terima pelakon itu dari sisi lakonan bukan menilai dari segi fizikal. Sebab apa pun sebagai pelakon, kalau ikutkan semua pelakon realitinya bukan watak itu. Cara lakonan yang membawakan watak itu yang penting”, katanya.
FATTAH sedia keluar dari zon selesa.
Menurut Fattah yang lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, sudah sampai waktu dia keluar dari zon selesa dan membuktikan dia mampu melakonkan watak yang tidak pernah dibuat.
"Saya sudah 10 tahun dalam bidang ini, memang nak cuba dan watak lain yang tak pernah bawa. Mungkin ada yang beranggapan saya kena bawa watak seperti selalu iaitu 'good looking'. Malah, mungkin disebabkan ramai pengarah dan penerbit rasa macam tu dan nak bagi watak macam ini (nelayan) mereka agak skeptikal.
"Saya sendiri pula memang jarang dapat watak macam ini. Jadi apabila dapat, ini masa saya kena buktikan. Kita tak boleh pandang watak itu, nelayan saja kena pelakon tertentu, tak semestinya, ia bergantung pada cara lakonan," katanya.
Dalam masa sama, Fattah juga suami kepada pelakon Fazura beranggapan tidak salah untuk dirinya memilih jalan cerita dan watak untuk muncul dalam mana-mana projek drama atau telefilem.
"Pada usia kerjaya sekarang, sudah sampai masa saya lebih titik beratkan watak dan jalan cerita. Sebab ia untuk perjalanan kerjaya pada masa depan juga.
"Jadi, di situ juga saya boleh mengorak langkah di mana orang akan nampak, penonton dan terutama peminat saya melihat ada kelainan dan sesuatu yang baharu dalam setiap projek, watak yang diambil dan pegang. Jadi, mereka kan pun berasa 'enjoy' dapat melihat sisi lain saya," katanya. Seperkara yang turut menjadi tanda tanya dalam kerjaya Fattah hari ini juga apabila namanya sudah kurang diangkat dalam mana-mana acara anugerah. Timbul persoalan mana pergi peminat Fattah Amin?
"Sekarang saya memang kurang berlakon dan muncul di kaca TV. Semua tahu saya sibuk dalam masa sama ada bisnes bersama isteri. Mungkin sebab itu juga, kekurangan di kaca TV jadi kurang juga tercalon. Apabila tak tercalon tak adalah peminat nak undi.
"Tapi, peminat saya ada saja. Mereka sentiasa sokong setiap produk saya. Macam filem yang nak keluar ini, Mat Kilau, mereka sudah merancang nak buat 'Movie Day Out' (MDO). Dalam masa sama, bila tahu saya ada projek telefilem Matahari Tak Bercahaya, mereka sentiasa ternanti-nanti. Mereka akan cakap, saya jarang berlakon, tapi sekali muncul watak dan cerita mesti 'best'. Peminat pun 'looking forward' nak tengok", katanya.
ANTARA babak Fattah dalam telefilem Matahari Tak Bercahaya.
Berkongsi lanjut mengenai telefilem Matahari Tak Bercahaya terbitan Zeel Production yang diarahkan oleh Nurlina Syafiqah Zakbah juga dikenali sebagai Uchee Fukada itu, watak Shazan yang dilakonkan memerlukannya banyak bermain emosi.
"Watak Shazan ini seorang ayah dan suami yang sangat isteri, keluarga dan bapa penyayang. Sesuatu berlaku pada isteri yang membuatkan dia berasa satu bebanan yang perlu dikongsi iaitu isteri dijangkiti HIV.
"Jadi, dia yang banyak memberi semangat pada isteri untuk sama-sama tempuh cabaran dan dugaan. Bila isteri kena HIV terlalu banyak tohmahan dan caci maki diterima. Shazan menjadi tempat isterinya mengadu," katanya. Mengenai lakonannya bersama Nad Zainal yang melakonkan watak isteri bernama Mastura, Fattah menyifatkan gandingan mereka berjaya apabila dapat menghidupkan watak masing-masing.
"Ini adalah projek pertama yang menggandingkan saya dan Nad sebagai watak utama. Memang bangga dapat berlakon dengan pelakon berbakat. Sangat 'enjoy' bawa watak masing-masing.
"Apabila dapat tahu skrip ditulis oleh Maizura Ederis dan Marr Mohamad dan ia berdasarkan kisah sebenar, saya dapat rasa ia cerita yang menarik. Penonton memang tak sabar nak tengok ia ditayangkan di kaca TV," katanya.
|