|
Post Last Edit by srisaujana at 31-1-2010 23:54
Kami mahu buktikan
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Credit: Bintang Popular - Berita Harian Ahad, 31 Januari 2010


PERJALANAN yang baru bermula pernah terganggu kerana asakan kontroversi. Bukan permintaan mereka, sebaliknya semua itu terjadi tanpa pernah terdetik niat di hati untuk melukakan sesiapa. Lantaran masih hijau dalam menangani kekalutan, keikhlasan mereka pernah disalahertikan. Menyesali juga tidak akan membawa ke mana-mana.
Justeru, mereka cuba bangun daripada kesilapan lalu dan memperbetulkan kekhilafan diri untuk pantas memahami tuntutan industri hiburan.
Hafiz atau nama lengkapnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, tidak menolak permulaan karier nyanyiannya dipenuhi pancaroba. Laluan yang disusun selesa anak kelahiran Kuching, Sarawak itu selepas menjulang trofi juara Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh perlahan-lahan diuji.
Pada masa sama dua teman seangkatannya ketika di AF7, Khairil Azam Pilus atau Aril dan Afiq Akim Ahmad atau Akim lebih menonjol serta diberi perhatian berbanding dirinya. Hafiz tidak melatah dengan semua itu. Sebaliknya dia melihat persepsi peminat itu sebagai cabaran.
“Setiap kami mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Tidak timbul soal siapa melebihi siapa kerana setiap kita sudah tertulis rezekinya. Cuma Hafiz tanamkan dalam diri untuk terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan diri supaya dapat bertahan lama dalam industri hiburan,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Masih Jelas yang turut membawanya mara ke final Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) bersyukur kerana kehadirannya masih meraih sokongan padu peminat. Buktinya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, nama Hafiz tersenarai dalam Top 5 Artis Baru Lelaki Popular. Kategori itu menyaksikan Hafiz disaingi dua teman baiknya iaitu Akim dan Aril selain juara Mentor musim ketiga, Black dan pelakon baru, Gambit Saifullah.
“Meraih pencalonan sudah memadai untuk membuat Hafiz rasa bersyukur. Bukan mudah untuk membolosi Top 5, apatah lagi permulaan perjalanan karier Hafiz juga diuji dengan beberapa kontroversi. Alhamdulillah, Hafiz masih diberi sokongan dan dipercayai peminat. Ia sekali gus memberi kekuatan kepada Hafiz untuk meneruskan usaha dan pada masa sama, menghargai segala teguran dan kritikan,” katanya.
Dilihat sebagai pelajar AF7 paling menyerlah, Akim yang memenangi tempat ketiga pada pertandingan itu semakin selesa menempatkan dirinya dalam senarai popular. Populariti lagu Bengang dibantu kemunculannya dalam drama bersiri, Kau & Aku memacu nama Akim untuk menerima dua nominasi pada ABPBH 2009.
Pencalonan yang barangkali memberi sedikit keselesaan kepada Akim untuk membawa pulang trofi kemenangan berdasarkan popularitinya yang sedang menjulang. Bagaimanapun, jejaka kelahiran Johor Bahru yang dicalonkan dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular enggan meletak harapan terlalu tinggi.
“Semua teguran dan kritikan yang membina diterima Akim dengan hati terbuka. Teguran itu bermakna mereka menyayangi bakat Akim dan tidak mahu Akim terus leka serta mengambil ringan segala yang berlaku,” katanya akur kealpaan dirinya membuatkan ramai memandang serong malah ada menyifatkan dia sudah besar kepala serta terlalu yakin.
“Akim berharap akan terus diberikan ruang untuk memperbaiki kelemahan serta jurang komunikasi supaya tidak lagi timbul salah faham yang akhirnya memakan diri sendiri,” katanya yang kini berusia 19 tahun.
Aril lega jadi finalis ABPBH 2009
Barangkali ketika ini, percikan populariti lebih terarah kepada Hafiz dan Akim terutama selepas mereka bersaing pada kemuncak AJL24, 10 Januari lalu. Tetapi semua itu tidak menimbulkan iri hati kepada Aril. Biarpun sebelum ini namanya melonjak kesan populariti drama bersiri, Kau & Aku, Aril percaya setiap manusia sudah tercatat rezekinya.
“Saya tidak perlu rasa rendah diri atau ketinggalan jika rezeki untuk mereka terlebih dulu tiba. Saya percaya setiap manusia akan ada waktunya dan saya sedang berusaha untuk mencapai apa yang pernah mereka kecapi. Memang kami bersaing tetapi saya tidak mahu semua itu dilihat dari sudut negatif. Mereka tetap sahabat yang sentiasa menyokong untuk sama-sama melakar kejayaan,” katanya.
Juga berada dalam senarai Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2009, Aril berkata, pencalonan itu sedikit sebanyak menjadi penawar selepas menempuh beberapa episod kontroversi.
“Awal kontroversi dulu saya cuma melihat pada sudut negatif membuatkan saya tertanya sendiri apakah kehadiran saya diterima ramai.
Tidak saya sangka dalam segelintir yang memerhati, masih ada yang menghargai malah menyokong langkah saya untuk bertapak dalam industri hiburan. Pencalonan ini memberi persepsi baru dalam karier saya. Syukur masih ada yang menerima dan ingin melihat saya maju,” katanya.
Konsert eksklusif Roket!
BERTUAH kerana menaungi Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) dan Enfiniti Productions, tiga nama ini diberi kepercayaan untuk menjayakan konsert eksklusif, Roket!, malam ini. Konsert selama 90 minit itu juga menjadi penutup kepada program realiti tujuh episod, Roket! Destinasi: Bintang yang bersiaran di Astro Ria sejak 22 Januari lalu.
Berlangsung di Borneo Rainforest @ Sunway, Petaling Jaya, ketiga-tiga bakat muda ini dibimbing Datin Seri Tiara Jacquelina, Stephen Rahman-Hughes, Pat Ibrahim dan Juliza Adzlizan dalam teknik persembahan untuk memberi kepuasan kepada peminat. Akui Aril, peluang keemasan yang diberikan itu akan dimanfaatkan untuk mencungkil sisi terbaik dalam diri mereka supaya muncul sebagai penghibur disegani.
Agak teruja untuk memulakan konsert itu, Aril berkata, mereka menjalani pelbagai latihan dengan kesungguhan sejak tujuh minggu lalu.
“Saya sendiri tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti. Konsert ini adalah penghargaan juga menjadi medan kepada kami untuk meluahkan semangat, perasaan serta berkongsi pengalaman dengan audiens. Ia bukan satu kerja mudah, sebaliknya menuntut komitmen padu serta kesungguhan tidak berbelah bagi. Semua ini pengalaman baru buat kami, banyak yang dipelajari untuk menyempurnakan projek ini,” katanya.
Roket! menampilkan Hafiz, Aril dan Akim bekerjasama dengan kumpulan pemuzik terkemuka diketuai Lee Sze Wan yang pernah berkarya untuk pementasan Puteri Gunung Ledang the Musical dan P Ramlee the Musical. Tiket masuk berharga RM38 termasuk minuman boleh ditempah menerusi talian 03-7958 7877 atau [email protected]. |
|