WONG bersama anjing yang terselamat. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Hulu Selangor: "Saya harap anggota penyelamat dapat mencari dan menyelamatkan Uncle Ng dan lima anjing kami," kata seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Wong, 50, mangsa yang terselamat dalam runtuhan tanah di tapak perkhemahan diFather's Organic Farm di sini, hari ini.
Wong berkata, dia bersama seorang rakan dan tiga anjing berada dalam satu khemah, sementara seorang lagi kenalan dikenali sebagai Uncle Ng, 60, berada di khemah sebelah juga bersama tiga anjing.
"Ketika kejadian, saya masih tidur sebelum kawan kejutkan dan beritahu terdengar bunyi kuat dari luar khemah. Kami keluar dan tengok ada tanah runtuh, tidak sampai dua, tiga saat saja khemah kami dah tertimbus. Memang tak sempat nak lari.
"Namun kami diselamatkan pengunjung lain tapi khemah Uncle Ng yang berada di sebelah tak sempat nak buat apa-apa. Ketika itu tanah sudah timbus habis.
"Saya bersama kawan dan seekor anjing saja dapat diselamatkan, yang lain tak sempat," katanya.
Menurutnya, dia hilang kata-kata dan hanya mampu berdoa terselamat daripada kejadian tanah runtuh itu.
"Ini kejadian pertama dilalui sepanjang melakukan aktiviti perkhemahan. Malah, ini juga pertama kali kami berkhemah di sini. Sewaktu tengok tanah runtuh dan tanah timbus khemah, saya hanya fikir hidup atau mati saja.
"Sekarang masih rasa terkejut dan trauma, tak tahu nak cakap apa. Semua barang kami pun tertimbus termasuk kereta, cuma, bila sampai di sini (Balai Polis Hulu Yam Bharu), sempat 'call' kawan dan minta dia maklumkan kepada keluarga.
"Kami datang berkhemah di sini sejak kelmarin dan sepatutnya hari ini keluar. Tidak sangka pula kami berdepan insiden tanah runtuh awal pagi tadi," katanya.
Anggota SMART bergerak ke lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. - Foto IHSAN PASUKAN SMART
HULU SELANGOR: Lima lagi mangsa kejadian tanah runtuh yang meninggal dunia, ditemui setakat jam 1 tengah hari tadi.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia ketika ini seramai 16 orang.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata berdasarkan rekod, terdapat 17 lagi mangsa yang sedang dicari.
"Pihak polis menggunakan kaedah inkubator dan sistem penyodok dalam mencari dan menyelamatkan mangsa.
"Pada masa ini juga, kekuatan pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi keselamatan ditambah membabitkan 15 agensi. Dari segi penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut sama membantu adalah Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerak Am (PGA)," katanya di lokasi kejadian.
Lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm. - Foto IHSAN BOMBA
51 dewasa, 30 kanak-kanak berdaftar di tapak perkhemahan
16 Disember 2022 02:24pm
Antara mangsa tanah runtuh yang berjaya diselamatkan berada di Balai Polis Hulu Yam Bharu dan diberi rawatan oleh pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL). - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Seramai 51 dewasa dan 30 kanak-kanak mendaftar untuk bermalam di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, yang dilanda tanah runtuh awal pagi tadi, kata individu bertanggungjawab di tapak perkhemahan itu yang hanya ingin dikenali sebagai Chang.
"Jumlah itu terdiri daripada mereka yang telah mendaftar di tapak perkhemahan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Bagaimanapun Chang berkata, beliau tidak pasti sama ada terdapat kanak-kanak berusia bawah empat tahun di tapak perkhemahan kerana mereka tidak perlu mendaftar, dan hanya kanak-kanak berumur antara empat dan 12 tahun perlu mendaftar.
Chang berkata, mereka yang berkhemah kebanyakannya mempunyai pertalian keluarga dan tidak melibatkan kumpulan pelajar sekolah atau universiti.
Laporan awal media menyebut kira-kira 100 orang berada di tapak perkhemahan itu yang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik berkenaan.
Setakat 11 pagi, 53 mangsa telah dibawa keluar dari tempat kejadian manakala sembilan maut dalam kejadian itu.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian. - Bernama
Tanah runtuh: Tapak perkhemahan beroperasi secara haram
Oleh MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR 16 Disember 2022 02:22pm
Kor Ming semasa sidang akhbar selepas melakukan tinjauan kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di sini pada Jumaat.
HULU SELANGOR - Pengusaha tapak perkhemahan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di sini tidak memperoleh lesen kebenaran sebagai tapak aktiviti perkhemahan.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tiada sebarang lesen diluluskan oleh Majlis Perbadanan Hulu Selangor kepada pengusaha terbabit.
"Ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Jalan Saliran dan Bangunan 1974 (133) dan sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM50,000," katanya pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan di lokasi kejadian.
Kor Ming berkata, pengusaha terbabit hanya memperoleh kelulusan menduduki (KM) hanya bagi tujuan tanaman sayuran organik.
Bagaimanapun, jelas beliau, sebarang aktiviti perkhemahan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Saya menasihatkan pengusaha yang ingin menjalankan aktiviti perkhemahan di kawasan berisiko perlu dan wajar mendapat nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geo Sains Malaysia," jelas beliau.
Sehubungan itu, tegas beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang telah ditetapkan.
Katanya, semua PBT diarahkan untuk memastikan sebarang aktiviti berisiko sama ada di lereng bukit, air terjun dan tapak perkhemahan berisiko dikosongkan selama tujuh hari di seluruh negara.
"Kerajaan akan pantau keadaan cuaca dan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk mendapatkan ramalan tepat," katanya.