Allahyarham Datuk Ismail Kamus.
Kredit foto: Facebook
Tokoh dakwah terkemuka di negara ini, Datuk Ismail Kamus meninggal dunia di rumahnya di Ampang, Selangor pada pukul 12.30 tengah malam, 8 Mei.
Khabar sedih tentang pemergian Allahyarham yang berusia 72 tahun itu dikongsi oleh Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia melalui Facebook.
"Tokoh pendakwah tanah air dan Pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Tuan Guru Datuk Ismail Kamus telah kembali ke rahmatullah jam 12.30 pagi, 8 Mei 2020 di kediaman beliau di Ampang.
"Semoga Allah SWT menempatkan beliau di tempat yang mulia di sisi Allah SWT," katanya.
Kredit foto: Facebook
Sementara itu, Edisi9 melaporkan, Ismail sebelum ini difahamkan menjalani rawatan di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur sejak 26 April lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham melalui Twitter.
"Rasa sedih menyelubungi suasana tengah malam ini di bulan Ramadan al-Mubarak tatkala mendapat perkhabaran pemergian Ustaz Datuk Ismail Kamus ke rahmatullah," katanya.
Anak Allahyarham, Mohd Firdaus memaklumkan, solat jenazah bapanya dijadualkan berlangsung di Masjid As-Sobirin, AU5 Keramat pada jam 9 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU5, Keramat.
Pemergian Ustaz Ismail yang banyak berjasa dalam usaha mengembangkan syiar Islam pasti amat dirasai oleh umat Islam di negara ini. - CARI |