|
Maria Tunku Sabri tiada niat mempersendakan berita kematian
myMetrorap
Syafil Syazwan Jefri
Kuala Lumpur: Pengacara dan personaliti TV, Maria Tunku Sabri tidak berniat untuk mempersenda mangsa pembunuhan dalam hantaran di Instagram, Ahad lalu.
Semalam, tular di media sosial apabila Maria memuat naik videonya sedang memasak resipi yang diberi nama Sayur Campur Special Sedih Kes Suami Tembak Isteri Sumbat Dalam Tong.
Ia berdasarkan berita pembunuhan seorang wanita berusia 38 tahun di Bandar Penawar, Johor yang mayatnya ditemui dalam sebuah tong air yang ditanam di sebuah ladang serai.
Maria ketika dihubungi berkata, dia menggunakan platform Instagram untuk berkongsi resipi serta berita terkini.
"Semalam, saya pun tak tahu yang hantaran saya itu tular. Namun, saya tak mahu melatah, jadi saya biarkan saja.
"Selain berkongsi resipi di Instagram, saya juga berkongsi berita terkini yang berlaku ketika itu. Kebetulan, ketika saya muat naik hantaran itu, berita yang ada adalah mengenai isteri yang dipercayai dibunuh suaminya," katanya kepada Harian Metro.
Menurut bekas pengacara program Jalan Jalan Cari Makan itu, pengikutnya sendiri sedia maklum mengenai sikapnya yang suka bergurau.
"Kalau pengikut saya yang sudah lama mengikuti saya di Instagram, tentu mereka sedia maklum yang saya suka bergurau.
"Namun, saya tegaskan di bahagian bawah kapsyen dalam hantaran itu saya tidak tujukan kepada sesiapa, sebaliknya berkongsi nasihat secara umum," katanya.
Maria berkata, dia menerima cemuhan daripada netizen, bahkan ada juga yang membuka akaun media sosial palsu semata-mata nak menulis komen negatif.
"Ada yang menulis komen dengan bahasa kasar. Ada yang dari segi penampilan bukan main nampak seperti agamawan, tetapi cara memberi nasihat tidak seperti yang sepatutnya.
"Saya mesej orang-orang ini dan saya doakan supaya mereka diberikan kesejahteraan dalam kehidupan sebelum menyekat akaun mereka," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 8:41 PM
|
|