|
BORAK LOKASI: Rahsia Siti Nurhaliza di dapur
By admin • August 13, 2009 • No Comments [Edit]
Oleh Norhayati Nordin
[email protected]
Rap
JIKA di pentas nyanyian, namanya unggul sebagai penyanyi wanita nombor satu negara. Berilah apa saja lagu, pasti dapat didendangkan dengan lontaran vokal memukau. Namun, sejauh mana pula agaknya kepakaran Datuk Siti Nurhaliza Tarudin di dapur?
Tentunya ramai peminat beliau di luar sana ingin mengetahui rahsia Siti Nurhaliza di dapur. Kata orang, sehebat mana seorang wanita dalam kariernya, pasti ke dapur juga. Justeru, nantikan program Cita Rasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza pada Ramadan ini.
Berlatarkan dapur di rumahnya sendiri di Bukit Antarabangsa, Siti Nurhaliza yang mesra dengan panggilan Siti nyata tidak kekok. Bahkan, pengarah yang bertanggungjawab memastikan program masakan itu berjaya, Erma Fatima mengakui cukup senang bekerja dengan Siti.
Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmat berkata bekerja dengan Siti juga bukan kali pertama baginya. Ini kerana, Siti pernah menjayakan teater Sirah Junjungan arahannya di Istana Budaya (IB) Mac tahun lalu sempena sambutan Maulidur Rasul.
“Siti diundang untuk menyanyi saja, tetapi beliau ternyata profesional, komited dan sangat bersungguh-sungguh. Beliau sanggup datang latihan walaupun jadual seninya padat. Bagi Siti, latihan sangat penting kepada dirinya sebagai seorang penghibur.
“Justeru, sebaik penerbit Global Station Sdn Bhd (GSSB), Datin Zaiton Muhd Jiwa menawarkan program ini untuk diarahkan, saya tidak menolak. Malah, ia juga kali pertama saya mengarah program masakan dan agak membosankan. Namun, inilah tanggungjawab, kepercayaan orang dan pengalaman baru.
“Bahkan, menariknya saya juga boleh belajar resipi dihidangkan. Cuma, ‘mood’ mengarah itu tidak sama seperti menghasilkan drama. Mengarahkan program masakan tidaklah susah sangat, tetapi memerlukan ketelitian pada setiap syot yang diambil.
“Apapun, bekerja dengan Siti memang senang. Beliau seorang berdisiplin tinggi dan paling penting semua resipi dimasaknya adalah hasil tangan sendiri. Justeru, jangan lupa saksikan program Cita Rasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza pada 1 Ramadan ini.
“Dalam setiap episod, Siti akan menghidangkan dua menu pilihannya. Oleh itu, secara keseluruhan kira-kira 26 menu dimasaknya untuk dikongsi bersama penonton. Selain itu, Siti juga menjemput beberapa artis tanah air untuk menjayakannya bersama,” katanya.
Program Cita Rasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza akan menemui penonton di saluran Dunia Ria, TV2 sebanyak 13 episod, setiap Rabu, Khamis dan Jumaat pada jam 11.05 pagi. Pelbagai menu enak pernah dimasak Siti akan dikongsi bersama penonton untuk mencubanya di rumah.
Berusia 41 tahun, Erma sangat tegas dan serius ketika bekerja. Bahkan, dia juga disifatkan sebagai pengarah garang di kalangan kru yang bekerja di bawahnya. Bagi Erma, dia garang bertempat kerana mahukan hasil kerja yang baik serta berkualiti.
“Kalau tidak betul buat kerja, memanglah saya kena garang. Oleh itu, mereka (kru) perlu sabar dan telinga kena tebal mendengarnya. Saya pun dulu, sebagai pelakon ‘cepat belajar’ dengan pengarah yang garang. Semuanya kerana mahukan terbaik.
“Selain itu, tempoh penggambaran juga terhad selama tujuh hari. Jadi, semestinya setiap waktu itu sangat berharga dan tidak wajar disia-siakan. Apapun, dalam program ini Siti turut mengundang wakil media, jurusolek serta pereka busana yang selalu bekerjasama dengannya,” katanya.
SENARAI KRU PRODUKSI
PROGRAM: Cita Rasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza
TERBITAN: Global Station Sdn Bhd (GSSB)
PENERBIT EKSEKUTIF: Zetty Alia Datuk Ramli
PENERBIT: Datin Zaiton Muhd Jiwa
PENGARAH: Erma Fatima
PENOLONG PENGARAH: Mohd Fazli Yahya
PENGURUS PRODUKSI: Fuza Umar
TATARIAS: Rohaya Abdullah
PROP: Ramli Hassan
PENASIHAT MASAKAN: Chef Zam
PENGARAH TEKNIKAL: Tom Ling
PENATA CAHAYA: Zainol Abidin Abu Hassan
PENATA BUNYI: Mohd Hafiz Hamil
JURUKAMERA 1: Mat Ruzi Mohd Saman
JURUKAMERA 2: Yusree Md Rasid
JURUKAMERA 3: Zainol Abidin Abu Hassan
PERALATAN PENGGAMBARAN: Prima Betawin
TETAMU JEMPUTAN: Datin Noniswara, Ahmad Idham, Rosyam Nor, Rubiah Suparman, Nabil (Raja Lawak 2), Salih Yaacob, Datuk Shah Reza, Chef Zam, Radzwan Radzwill, Nurul Shukor, Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, Hartati Hassan Basri, Wartawan Eksekutif Metro Ahad, Abie Abdullah, Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa.
sumber: harian metro online |
|