Kuala Lumpur: Pelawak dan ahli perniagaan, Shuib, 40 menyifatkan tindakan denda RM17,500 yang dikenakan ke atas syarikatnya sebagai ujian dalam perniagaan.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata, dengan apa yang sudah berlaku itu membuatkan dia bersedia memperbaiki mana yang kurang dalam perniagaannya.
"Pihak syarikat juga sudah mengaku salah dan membayar denda dikenakan.
"Inilah adat orang berniaga. Saya kena bersedia menghadapi apa saja ujian yang datang dalam perniagaan. Apapun, sedikit sebanyak tercalar juga jenama Bubblebee dengan berita yang dilaporkan," katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, media melaporkan syarikat Bubblebee Sdn Bhd didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.
Dua pengarahnya, Shuib dan Koh Choon Guan, 33, yang mewakili syarikat itu dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis.
Mahkamah juga memerintahkan mereka dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan berkenaan.
Mengikut tiga pertuduhan, syarikat itu mengaku bersalah atas tuduhan, sebagai majikan utama kepada seorang lelaki berusia 25 tahun, gagal membayar caruman majikan dan pekerja kepada Perkeso membabitkan bulan Oktober hingga Disember 2023 lalu, berjumlah keseluruhan RM97.80. Ia sebagai mana dikehendaki mengikut Seksyen 6 (1) dan (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekarja 1971.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Bubblebee mengaku bersalah gagal membayar caruman keseluruhan RM17.40 bagi elaki sama untuk tiga bulan yang serupa mengikut Sesyen 18 (1) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Sistem Insurans Pekerjaan (Pendaftaran dan Caruman) 2017.
Semua perbuatan itu dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Industri Alam Perdana, Taman Putra Perdana Puchong pada jam 8.30 pagi setiap tarikh 16 hari bulan untuk November 2023 hingga Januari lalu.
Bagi pertuduhan ketujuh, syarikat berkenaan didakwa gagal mematuhi saman bawah Seksyen 110 (1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 di Pejabat Perkeso Selangor, pada jam 11 pagi, 10 Januari lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 110 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.