Kuala Lumpur, 2 April : Lima penyokong cedera dalam kekecohan ketika beberapa minit perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara Kuala Lumpur dan Perak hampir tamat, di Stadium Majlis Perbandaran, malam tadi.
Sehingga pagi ini, hanya dua masih dirawat di hospital manakala tiga lagi sudah dibenarkan pulang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata pihaknya sudah memulakan siasatan dan dalam proses mengenal pasti individu terbabit dalam insiden itu.
Sehingga ini, katanya, belum ada tangkapan dibuat namun proses siasatan bermula.
"Polis juga sedang menyiasat jenis senjata atau objek yang digunakan berikutan tiada saksi tampil memberikan keterangan.
"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku beberapa minit sebelum perlawanan tamat.
“Ketika itu, sebahagian penyokong mula keluar meninggalkan stadium sebelum berlaku letupan mercun dan pembakaran suar di luar stadium," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, anggota polis yang berkawal kemudian membuat pemeriksaan sebelum mendapati dua kumpulan penyokong bergaduh dan bertindak meleraikannya.
Ali berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Insiden pada 10.45 malam itu dipercayai berpunca selepas sekumpulan penyokong membaling batu dari luar stadium sebelum keadaan bertukar kecoh.