|
santapan pagi
Malam indah MR ARROGANT
Oleh Syanty Octavia Amry
Malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang diadakan buat julung kali anjuran TV3 dan TV9 berlangsung dengan gah menyaksikan drama bersiri Love You Mr Arrogant (LYMA) mengungguli tiga anugerah daripada tujuh yang dipertandingkan.
Selain memenangi kategori Drama Pilihan, kategori Pelakon Lelaki Pilihan dimenangi Azlee Khairi manakala Pasangan Hero & Heroin Pilihan dimenangi oleh Azlee Khairi dan Zara Zya menerusi drama sama.
Diadakan secara langsung dari Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, acara yang turut disiarkan di TV3 itu, mengiktiraf pemenang hasil d aripada undian peminat melalui pemilihan drama yang dipertandingkan dalam slot TV3 dan TV9 seperti Akasia, Samarinda, Lestary, Aksi, Ratu, Azalea, Zehra, Aurora dan 9X.
Tidak hanya mengiktiraf drama-drama yang disiarkan di saluran berkenaan, Anugerah DFKL turut membuka ruang kepada anak muda menunjukkan bakat dan kreativiti dalam menghasilkan filem pendek mengikut cita rasa mereka sendiri melalui anugerah khas yang diwujudkan iaitu Drama Pendek Pilihan.
Ditemui selepas majlis, pengarah LYMA, Eoon Suhaini berkata, dia tidak sangka menang kerana saingan daripada drama lain tidak kurang hebatnya.
"Saya tak sangka akan menang. Mungkin semua ini berkat kesabaran saya selama ini di mana saya bermula dari bawah untuk mencapai sehingga ke tahap sekarang. Banyak cabaran yang harus saya lakukan untuk membuat cerita LYMA lebih menarik.
"Selain menerapkan konsep baru supaya lari daripada cerita dalam novel yang penonton suka, saya juga membuat kajian bagi memastikan mendapat pelakon yang betul untuk watak utama cerita ini.
"Memang sukar membuat pilihan ketika itu dan tidak sangka pemilihan Zara Zya dan Azlee Khairi turut menobatkan mereka sebagai pemenang pada malam ini," katanya.
Empat kategori lain ialah Pelakon Wanita Pilihan, Nur Fathia (Diandra), Pengarah Pilihan, Raja Ahmad Alauddin (Sebenarnya Saya Isteri Dia), Penulis Skrip Pilihan, Mufid Suhaimi (Dalam Setiap Sujud), Barisan Pelakon Pilihan, (Sebenarnya Saya Isteri Dia) dan Drama Pendek Pilihan, Singh Susu.
Sementara itu, Azlee Khairi juga tidak menyangka gandingan bersama Zara memberi peluang mereka menang di samping dia sendiri menang kategori Pelakon Lelaki Pilihan.
"Bekerja dengan Zara satu perkara yang susah, namun apabila sudah bersama-sama di dalam drama LYMA banyak perkara dimudahkan kerana kami sentiasa melakukan latihan apatah lagi semua kru terbabit banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan.
"Saya juga sangat-sangat berterima kasih kepada penerbit LYMA yang memberi peluang saya memegang peranan utama.
Memang sukar melakukan watak Arrogant sedangkan saya sendiri bukanlah begitu orangnya," katanya.
Anugerah DFKL dihoskan oleh dua pengacara yang berbakat dan lincah berceloteh iaitu Sherry Al Hadad dan Zulin Aziz serta mendapat tajaan utama daripada Loreal Paris.
Hadir menghiburkan penonton ialah Awie, Erra Fazira, Drama Band, Nomad, Kumpulan Bocey, Dayang Nurfaizah, Black Hanifah, Jaclyn Victor dan Hyper Act.
Bagi Nurfathia pula, dia langsung tidak terfikir akan menang pada malam itu. Malah tidak memikirkan siapakah pesaing terdekat, kerana menyangka Zara Zya atau Siti Saleha yang layak menang.
"Memang terkejut dan tidak menyangka sama sekali kerana langsung tidak terfikir soal kemenangan ini. Kehadiran saya sekadar memeriahkan suasana apatah lagi drama lakonan saya turut tercalon di dalam beberapa kategori.
"Bagaikan tidak percaya kerana peminat memilih saya menerusi watak dalam drama Diandra sedangkan orang lebih mengenali saya dengan watak lemah lembut seperti di dalam drama Dalam Setiap Sujud.
"Tidak saya nafikan kemenangan ini berkat sokongan peminat yang mungkin juga datangnya daripada peminat setia drama bersiri Ariana Rose sehinggakan apabila mereka menyaksikan persembahan teater Bidasari lakonan saya baru-baru ini, semua asyik memanggil saya Ariana Rose," katanya.
Senarai pemenang Anugerah DFKL:
Drama Pilihan: Love You Mr Arrogant
Pelakon Lelaki Pilihan: Azlee Khairi (Love You Mr Arrogant)
Pelakon Wanita Pilihan: Nur Fathia (Diandra)
Pengarah Pilihan: Raja Ahmad Alauddin (Sebenarnya Saya Isteri Dia)
Penulis Skrip Pilihan: Mufid Suhaimi (Dalam Setiap Sujud)
Pasangan Hero & Heroin Pilihan: Azlee Khairi & Zara Zya (Love You Mr Arrogant)
Barisan Pelakon Pilihan: Sebenarnya Saya Isteri Dia
Drama Pendek Pilihan: Singh Susu
32
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|