Bolot 7 trofi, Imaginur menang besar ungguli FFM33
KUALA LUMPUR – Menepati ramalan, filem Imaginur terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd. memenangi anugerah utama Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsung di sini, sebentar tadi. Dalam kategori sama, naskhah arahan Nik Amir Mustapha itu menewaskan pesaing terdekat, Abang Adik, sekali gus membawa pulang trofi dan geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000. Lima filem lain yang turut bertanding dalam kategori sama termasuklah Duan Nago Bogho (Kalamariff Holdings), Sheriff: Narko Integriti (Skop Productions & Astro Shaw), Mechamato Movie (Animonsta Studios), Hungry Ghost Diner (Kinovisuals) dan Rain Town (Current Pictures). Pengarahnya, Nik Amir Mustapha, kemenangan tersebut disifatkan sebagai satu penghargaan besar buat Imaginur yang mengangkat kesihatan mental dan kekeluargaan. “Terima kasih para juri, FINAS dan penonton. “Tanpa penonton yang sokong, filem kita tidak akan sampai ke tahap ini. Benarlah promosi dari mulut ke mulut sangat berkesan. Terima kasih kepada calon yang lain. Kami sangat berbangga dengan anda semua hari ini,” katanya selepas diumumkan sebagai pemenang utama. Lebih membanggakan, Nik Amir turut membawa pulang trofi Pengarah Terbaik. Manakala, kategori Lagu Tema Terbaik juga menjadi milik Imaginur menerusi lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari. Tidak cukup dengan itu, Imaginur turut membolot kategori Cerita Asal Terbaik (Redza Minhat dan Nik Amir Mustapha). Malam ini, setiap pemenang membawa pulang menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas bakal menerima RM10,000 dan trofi. Bertemakan EMAS (Evolusi Sinema Malaysia), FFM33 menerima 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding yang merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/07/bolot-7-trofi-imaginur-menang-besar-ungguli-ffm33/
|